Sorok barang dalam kain
Rakaman CCTV menunjukkan suspek wanita memasukkan barang yang dicuri ke dalam kain.

PARIT BUNTAR, Buntar - Sebuah pasar raya di sini mengalami kerugian RM2,000 setelah sebahagian barang runcit premis itu dicuri sekumpulan individu disyaki warga asing secara terancang, minggu lalu.

Penyelia pasar raya yang hanya ingin dikenali sebagai Eau berkata, kejadian berlaku pada 13 Julai lalu sekitar jam 7.30 malam apabila empat lelaki dan tiga wanita melarikan tiga beg berisi pewangi kenderaan, barangan makanan dan lampin pakai buang setelah berlagak seperti pelanggan kedai.

Menurutnya, kesemua suspek didapati memasuki premis pasar raya itu secara serentak setelah dihantar seorang individu lain dengan menggunakan sebuah kereta.

“Kesemua suspek masuk ke dalam kedai secara berpisah dan memenuhkan raga dengan barangan runcit sebelum berkumpul di suatu penjuru kedai yang terlindung daripada rakaman kamera litar tertutup (CCTV) untuk memasukkan barang ke dalam beg.

“Berdasarkan siasatan kamera CCTV, kami mendapati terdapat seorang wanita yang bertindak memantau pergerakan pekerja kedai dan jika ada kakitangan kami meluru ke arah mereka, wanita terbabit terus berpura-pura bertanyakan barang untuk mengalih perhatian,” katanya sewaktu ditemui Sinar Harian, di sini, semalam.

Kata Eau, keadaan kedai yang dipenuhi pelanggan menyebabkan pihaknya tidak menyedari perbuatan licik kumpulan itu dan lebih mengejutkan, rakaman CCTV mendapati mereka menyembunyikan satu beg barangan yang dicuri di dalam kain salah seorang suspek wanita.

Jelasnya, ketika kejadian, dia sedang dalam waktu rehat dan percaya perbuatan itu dilakukan setelah ketiadaannya.

“Rakaman CCTV jelas menunjukkan mereka memasukkan beg berisi barang dicuri ke dalam kain salah seorang suspek.

“Dua lagi beg dilarikan seorang suspek wanita tidak bertudung manakala suspek lain beredar dari kedai sebaik sahaja menerima panggilan telefon kira-kira 15 minit kemudian,” katanya.

Eau berkata, laporan polis dibuat di Balai Polis Parit Buntar pada malam kejadian dan pihak mengesyaki kes kecurian itu dilakukan oleh satu sindiket curi barang runcit.

“Saya turut mendapat maklumat kejadian sama berlaku di sebuah pasar raya berdekatan sehari selepas itu dan percaya sindiket ini terdiri daripada penjenayah profesional,” katanya.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Kerian, Superintendan Mat Fauzi Nayan ketika dihubungi, mengesahkan laporan kes kecurian itu dan menegaskan perkara itu masih dalam siasatan.