Saturday, July 21, 2012

Segalanya ular sawa di Ulu Bendul


ORANG ramai teruja untuk bermain dengan ular yang terdapat di Taman Ular Ulu Bendul.


JIKA Perlis berbangga dengan taman ular terbesar di Asia Tenggara yang menempatkan pelbagai spesies ular berbisa, Negeri Sembilan juga tidak kurang hebatnya. Terletak di Hutan Rekreasi Ulu Bendul, Kuala Pilah, Negeri Sembilan taman ular sawa yang terdapat di situ merupakan satu-satunya di Asia.

Ular spesies pythonidae atau ular sawa merupakan spesies ular tidak berbisa. Antara spesies ular yang tergolong dalam kumpulan ini dan mempunyai saiz terbesar di dunia ialah anaconda.

Taman Ular ini dibuka pada 1 Oktober 2010. Ia menghimpunkan pelbagai spesies ular sawa dari seluruh negara terutama di benua Afrika dan Asia.

Berkeluasan empat hektar, taman ular ini dikendalikan Jabatan Perhutanan Negeri. Ia merupakan cetusan idea Menteri Besar Negeri Sembilan, Datuk Seri Mohamad Hasan yang mahu mencipta kelainan dan menjadikannya sebagai produk ekopelancongan negeri ini.

Spesies terancam

Pengarah Jabatan Perhutanan Negeri Sembilan Ahmad Fadzil Abdul Majid berkata, penubuhan taman ini bertujuan untuk mengumpul dan memelihara spesies ular sawa yang semakin terancam dan perlu dilindungi.

Taman ular ini juga dibina sebagai pusat penyelidikan bagi spesies ular sawa dan tarikan pelancongan.

Bagi menarik lebih ramai pelancong, taman ular ini ditempatkan di Taman Rekreasi Ulu Bendul. Persekitaran Ulu Bendul yang kaya dengan kayu jaras, pokok kecil dan pokok besar dan terdapat anak sungai amat sesuai untuk habitat ular sawa.

Pada peringkat awal, taman itu hanya mempunyai tujuh ekor ular sawa yang terdiri daripada spesies ular sawa hijau, sawa batik Asia, dua ekor sawa pendek dan dua ekor sawa Burma.

Selepas dua tahun, haiwan-haiwan ini membiak sehingga 45 ekor ular yang terdiri daripada spesies seperti Colombia rainbow boa, Brazilian rainbow boa, carpet phyton dan yellow anaconda.

Beberapa ekor ular di taman itu lahir di taman berkenaan, manakala yang lain dibawa dari negara lain seperti Brazil.

Ahmad Fadzil berkata, taman ular sawa ini juga mencatat sejarah apabila buat julung-julung kalinya menerima anggota baharu selepas dua ekor ular betina jenis yellow anaconda yang dipelihara di taman itu melahirkan 30 ekor anak.

Induk pertama reptilia tersebut melahirkan tiga ekor anak pada 3 Mei lalu, manakala induk kedua pula melahirkan 27 ekor.

"Ular spesies anaconda tidak menetaskan telur, tetapi melahirkan anak. Kebiasaannya musim mengawan haiwan itu pada bulan Oktober dan November. Dengan kelahiran baharu ini menjadikan jumlah yellow anaconda daripada tiga ekor kepada 33 ekor," katanya.


ULAR yang dipelihara di taman ular ini menjalani pemeriksaan kesihatan yang kerap.


Bagi memastikan tahap kesihatan ular terutama anak yang baru dilahirkan terjamin, pihaknya telah menjalinkan kerjasama dengan Institut Penyelidikan Veterinar, Ipoh, Perak.

Institusi itu bertanggungjawab melakukan pemeriksaan kesihatan terhadap kesemua ular di taman ini setiap tiga hingga enam bulan.

Pengunjung meningkat

Setiap ular akan diambil sampel seperti darah, najis, kloaka, air liur dan kutu untuk menguji tahap kesihatan mereka.

"Sampel makanan ular dan air minumannya juga diambil oleh institusi itu untuk dikaji dan diuji bagi memastikan ia benar-banar baik dan sesuai untuk kesihatan ular," katanya.

Ular-ular itu diletakkan dalam sangkar khas yang sesuai dan mudah dilihat pengunjung.

Sejak taman ular itu diwujudkan, kedatangan pengunjung ke Taman Rekreasi Ulu Bendul semakin meningkat.

Tahun lalu, kedatangan pelawat mencatatkan sehingga 10,000 orang. Sehingga April tahun ini lebih 8,000 orang telah melawat taman ular sawa itu.

"Jumlah pengunjung meningkat lebih dua kali ganda pada hujung minggu, cuti umum dan cuti sekolah," katanya.

Bagi menggalakkan kedatangan pengunjung, pihaknya turut menganjurkan pertunjukan ular.

Pihak pengurusan juga merancang untuk menambah baik taman itu seperti menambah ruang pameran dan spesies ular sawa terutama yang jarang ditemui selain mengindahkan kawasan sekitar.

No comments:

Post a Comment

Tinggalkan Komen Anda Sini: