Saturday, July 21, 2012

Pulau sarat monumen kolonial


REKAAN dalaman Bangunan Hobe Fort yang pernah menjadi salah satu daripada sistem pertahanan Taiwan.


MEMPUNYAI bangunan pencakar langit, Taipei 101 yang tersenarai sebagai antara tujuh keajaiban dunia, Taiwan pasti akan membuka mata sesiapa sahaja yang melawati negara jajahan Belanda itu.

Terbahagi kepada tiga wilayah utama iaitu Taipei, Taichung dan Tainan, Taiwan dahulunya dikenali sebagai Formosa.

Ia diambil daripada bahasa Portugis, 'Ilha Formosa yang bermaksud pulau indah kerana kedudukan muka buminya yang dikelilingi pulau-pulau menarik.

Berkeluasan kira-kira 36,000 kilometer persegi dengan kepadatan penduduk seramai 23 juta orang, negara kepulauan itu juga terkenal dengan binaan unik monumen bersejarah kesan peninggalan sejak ratusan tahun lalu ketika Taiwan dijajah oleh kuasa Barat.

Bagi mereka yang kali pertama melawat ke negara yang kebanyakan rakyatnya terlibat dalam sektor perkhidmatan itu, masalah mungkin terjadi apabila anda mahu bertanyakan sesuatu ataupun ketika tersesat jalan.

Walaupun orang Taiwan terkenal dengan sikap peramah, namun bahasa Inggeris kurang 'laku' digunakan dalam perbualan harian kebanyakan rakyatnya. Rata-rata penduduk tempatan memilih untuk bertutur dalam bahasa Mandarin. Bahasa itu digunakan secara meluas khususnya dalam kalangan orang muda.

Selain itu, mereka juga boleh berbahasa Min Nan atau lebih dikenali sebagai dialek Hokkien. Begitupun, pelancong yang memerlukan bantuan dan hanya boleh berbahasa Inggeris mungkin boleh bertanyakan kepada golongan pekerja profesional di lokasi pelancongan tertentu.

Binaan sejarah

Salah satu tarikan bersejarah yang pasti memukau pengunjung ialah Fort San Domingo yang terkenal dengan seni bina Sepanyol.

Terletak di daerah Tamsui dan dibina daripada kombinasi batu serta kayu, Fort San Domingo ialah bangunan tertua di Taipei.

Dibina pada tahun 1628 ketika Taiwan di bawah jajahan Sepanyol, bangunan berusia lebih 300 tahun itu diangkat sebagai bangunan paling bersejarah di negara itu.

Bangunan merah itu pernah ditukar nama kepada Fort Antonio pada tahun 1644 selepas orang Belanda mengusir penjajah Sepanyol keluar dari daerah Tamsui.

Ketika di bawah penaklukan Belanda, monumen tersebut digelar pula sebagai Red Hair Castle oleh penduduk tempatan yang menyamakannya dengan rambut orang Belanda yang kebanyakannya berwarna perang.


PENGUNJUNG boleh menaiki bot ke destinasi pilihan di Tasik Sun Moon selain menggunakan kenderaan darat.


Menurut seorang pemandu pelancong yang mahu dikenali sebagai Jeff, bangunan merah berbentuk empat segi itu seterusnya dijajah oleh kuasa Inggeris pada tahun 1868 dan menjadikannya sebagai pejabat pentadbiran.

"Sehingga tahun 1980, bangunan yang asalnya berwarna putih itu dikembalikan semula kepada Taiwan," katanya.

Selain bangunan utama yang dijadikan pejabat dan penjara, Fort San Domingo turut mempunyai vila dan asrama manakala di luar bangunan dua tingkat itu terdapat empat buah meriam besar bagi melindungi kota berkenaan daripada serangan musuh.

Jelas Jeff, pengunjung dapat menikmati pemandangan indah Bukit Guan Ying dan sekitar daerah Tamsui jika mereka berada di puncak bangunan tersebut.

Tidak jauh dari Fort San Domingo, terdapat satu lagi bangunan bersejarah iaitu Hobe Fort yang dibina pada tahun 1886 oleh Gabenor Taiwan pertama, Ming-Chuan Liu bagi mengukuhkan lagi sistem pertahanan pulau berkenaan.

Selain terowong bawah tanah yang digunakan sebagai tempat perlindungan askar semasa perang, pengunjung juga boleh melihat tempat simpanan peluru meriam.

"Meriam yang dibeli daripada British dipasang di dalam bangunan berkenaan sebagai persediaan perang. Namun, disebabkan kota tersebut tidak pernah terlibat dalam perang besar termasuk Perang Dunia, Hobe Fort masih mengekalkan rupa bentuk asalnya," kata Jeff.

Tarikan lain di Taiwan ialah Muzium Istana Negara yang menempatkan koleksi barangan antik berusia hampir 5,000 tahun daripada era dinasti Song, Yuen, Ming dan Qing.

Muzium yang dikunjungi sekitar 10,000 pengunjung setiap hari itu mempamerkan lebih 650,000 koleksi harta pusaka dan warisan budaya China seperti barangan gangsa, jed, seramik, barangan hiasan dan bahan bacaan lama.

Menurut seorang pemandu pelancong bernama Jennifer, salah satu barang peninggalan yang terkenal di muzium tersebut ialah jed kubis Cina yang mempunyai seni ukiran halus serta warna yang berseri.

"Keistimewaan kubis Cina itu terletak kepada ukiran belalang yang berada di atasnya yang menunjukkan ketelitian hasil kerja tangan orang Cina zaman dahulu," katanya.

Bagi mereka yang tidak takut kepada ketinggian dan ingin melihat keindahan pemandangan Sungai Tamshui, Menara Kekasih merupakan pilihan utama dan pasti akan menjanjikan pengalaman istimewa buat pengunjungnya.




Menara yang boleh berputar 360 darjah pada ketinggian 28 tingkat itu memakan masa dua tahun untuk disiapkan dan boleh memuatkan 80 orang pada satu-satu masa.

Buah pinang hilang mengantuk

Lawatan ke Taiwan boleh dikatakan tidak sempurna jika tidak berkunjung ke Tasik Sun Moon yang merupakan tasik terbesar di pulau itu.

Nama Sun Moon diberi kerana tasik itu berbentuk bulat seperti matahari di sebelah timur dan umpama bulan sabit di sebelah barat.

Bagi mereka yang gemar menawar harga semasa membeli-belah pula, pasar malam di sekitar Taiwan merupakan syurga buat mereka dengan pilihan pelbagai barangan seperti barangan kulit, pakaian, permainan, perkakasan elektrik, peralatan sukan, kedai makan, baju dan aksesori wanita.

Antara pasar malam terkenal yang harus dikunjungi ialah Pasar Malam Shilin iaitu pasar malam tertua di tengah-tengah kota Taipei.

Satu keistimewaan pasar malam di Taiwan ialah pengunjung boleh bermain pelbagai permainan tradisional yang menawarkan pelbagai hadiah kecil, tetapi menarik seperti patung, makanan dan minuman.

Satu lagi keistimewaan Taiwan ialah buah pinang yang boleh didapati di serata pulau itu terutamanya di gerai-gerai di tepi jalan.

Menurut seorang penjual buah pinang yang dikenali sebagai Lin, buah tersebut menjadi kegemaran pemandu lori disebabkan ia memiliki rasa pedas dan panas yang boleh menghilangkan mengantuk ketika memandu.

"Rasa buah pinang itu pedas sedikit, oleh itu pemandu lori terutamanya mereka yang terpaksa memandu jauh akan memakan buah ini sebagai 'ubat penyegar' semasa memandu," katanya.

Bagi mereka yang gemar melancong, Taiwan pastinya negara yang wajib dilawati kerana kunjungan ke sana semestinya memberi pengalaman yang sukar dilupakan.

No comments:

Post a Comment

Tinggalkan Komen Anda Sini: