
BERCUTI ke Port Dickson barangkali satu perkara yang biasa, baik bagi warga kota di Kuala Lumpur dan apatah lagi bagi warga Negeri Sembilan. Ramai yang gemar menjadikan pantai peranginan itu sebagai pilihan berlibur bersama keluarga dan rakan-rakan.
Sekiranya ingin mencari kelainan dan ketenangan ketika bercuti atau mengadakan keraian di Port Dickson, Hotel Grand Lexis merupakan penginapan yang pasti memberi satu pengalaman menarik.
Apa yang membezakan Grand Lexis dengan hotel lain adalah penginapan berkonsep mewah menerusi 317 biliknya yang dilengkapi kolam renang.
Kolam renang peribadi di setiap bilik itu dianggap antara daya tarikan bagi mereka yang mahukan ketenangan beristirehat tanpa sebarang gangguan. Ia destinasi terbaik untuk pasangan yang ingin berbulan madu.
Ruang bilik seluas kondominium mewah 1,312 kaki persegi (121 meter persegi) itu mempunyai hiasan dalaman yang mempesonakan. Selain aturan ruang tidur, ia juga dilengkapi dengan kemudahan internet dan ruang dapur.
Grand Lexis yang terletak hanya dua kilometer dari bandar Port Dickson turut menawar pelbagai jenis tempat penginapan mengikut cita rasa pengunjung iaitu ruang bilik di bangunan utama hotel, taman berlandskap, taman dan calet air.
Pelbagai aktiviti
Bagi pengunjung yang ingin melakukan aktiviti riadah lain, mereka berpeluang mencuba aktiviti rekreasi yang disediakan seperti bola sepak pantai, bola tampar, memanah, menunggang basikal, basikal tiga roda, memancing dan skuba.
Kemudahan lain di kawasan resort kawasan seluas 10 hektar itu termasuklah karaoke, sauna, perpustakaan mini, gimnasium dan restoran.
Bagi pengunjung yang mahu menjamu selera, mereka boleh mendapatkan servis pesanan dan penghantaran makanan ke bilik. Atau jika tidak, aturkan langkah ke Restoran Duyung, Pool Cafe, Lanun Bar dan Restoran Genn Japanese.
Di situ, pelbagai seleksi masakan sama ada tradisional tempatan, hidangan barbeku, sajian Barat dan Jepun disediakan.
Sempena kedatangan Ramadan, pengunjung juga boleh merasai pengalaman berbuka puasa di Restoran Duyung yang menyediakan aneka jenis makanan secara bufet.
Dalam pada itu, Pengurus Besar Grand Lexis, Chan Hon Ming berkata, pelbagai kemudahan yang disedia bertujuan untuk memberi keselesaan kepada pengunjung yang datang dari dalam dan luar negara.

Ujarnya, walaupun Grand Lexis menyediakan percutian berkonsep mewah, namun pihaknya masih menawarkan tempat penginapan pada harga yang berpatutan kepada pengunjung.
“Hotel ini telah beroperasi hampir dua tahun dan kami di sini sentiasa mengutamakan aspek keselesaan, kebersihan, keselamatan dan keseronokan agar pengunjung dapat menikmati pengalaman yang menarik ketika berada di Grand Lexis,” katanya.
Hong Ming menambah, selain menawarkan perkhidmatan secara individu, program seperti hari keluarga, seminar, bengkel dan persidangan turut mendapat perhatian daripada sektor korporat.
“Kita juga ada menyediakan kemudahan dan perkhidmatan untuk pasangan mengadakan resepsi serta majlis perkahwinan,” katanya.
Jelas beliau, hotel itu baru-baru ini menerima sijil kepujian daripada TripAdvisor iaitu pengkritik dan juga pengulas percutian berdasarkan kajian daripada pengunjung yang pernah menginap di situ.
Segala maklumat untuk menginap di Grand Lexis layari www.grandlesixpd.com.
No comments:
Post a Comment
Tinggalkan Komen Anda Sini: