Saturday, July 14, 2012

Meneroka London sebelum Olimpik


KOTA London sudah bersedia menyambut ketibaan atlet-atlet bertaraf dunia untuk Sukan Olimpik 2012.


APABILA Sukan Olimpik diasaskan sekitar 776 tahun Sebelum Masihi dahulu di kota purba Greece, London masih belum wujud.

Lebih daripada 2,000 tahun kemudian, kota yang dihuni lebih lapan juta penduduk itu, kini giat membuat persiapan terakhir bagi menyambut kehadiran jutaan peminat sukan dari seluruh dunia sempena temasya Sukan Olimpik 2012.

Dalam tempoh dua minggu sebelum temasya Olimpik bermula, kota London tetap menjanjikan pengalaman menarik kepada pengembara yang mahu meneroka pelbagai tarikan yang terdapat di dalamnya.

Koresponden Reuters di London mencadangkan beberapa aktiviti menarik yang boleh dilakukan dalam tempoh tiga hari di sana.

Jumaat

Mulakan kembara anda dengan bersantai di beberapa pusat hiburan di tengah-tengah kota itu untuk menghilangkan ketegangan bekerja sepanjang minggu.

Bagaimanapun, disebabkan demam Olimpik yang semakin dirasai di kota itu, mengapa tidak cuba menduga adrenalin sambil meluncur roller blade pada acara London Friday Night Skate.

Diadakan setiap malam Jumaat bermula pada pukul 8 malam ia diadakan di Hyde Park, taman diraja yang terbesar di London. Hyde Park juga bakal menjadi lokasi acara triathlon dan renang semasa Sukan Olimpik nanti.

Selepas puas meluncur, halakan kaki ke Sports Cafe yang terletak di barat London untuk menghilangkan dahaga sebelum melelapkan mata.

Sabtu

Mungkin ramai yang tidak mengetahui warga London sememangnya obses dengan aktiviti larian dan kecergasan. Tepat pukul 9 pagi, setiap hari Sabtu, anda boleh menemui mereka berkumpul di beberapa taman di sekitar London untuk menyertai Park Run, acara larian sejauh lima kilometer berserta catatan masa.

Ia bukanlah satu pertandingan, sebaliknya hanyalah aktiviti larian biasa yang memberi peluang sesiapa sahaja untuk menguji prestasi diri di samping bersaing umpama seorang atlet profesional.

Park Run bermula kira-kira lapan tahun lalu di Teddington, barat daya, London. Kini tradisinya diteruskan di beberapa dozen taman di sekitar bandar raya itu, malah turut menarik beberapa negara lain seperti Australia, Denmark, Iceland, New Zealand, Poland, Afrika Selatan dan Amerika Syarikat.

Berjuta-juta pelari telah menyertainya sebelum ini, justeru Sabtu merupakan hari terbaik untuk memulakan hari anda di samping mencatatkan masa peribadi terbaik. Tiada yuran dikenakan, namun setiap peserta perlu mendaftar lebih awal dalam laman web terlebih dahulu.

Jika perut berasa lapar, apa kata berkunjung ke Bonds, sebuah kafe yang bertemakan Olimpik di Threadneedle Street.

Di situ anda boleh menikmati pelbagai hidangan sarapan pagi yang unik seperti The Cylist, The Swimmer atau The Gymnast. Ia disediakan oleh Chef Stephen Smith yang pernah bertugas bersama chef terkenal dunia, Michel Roux Sr.


DALAM tempoh dua minggu lagi London bakal menjadi tuan rumah acara sukan terbesar di dunia, Sukan Olimpik 2012.


Seterusnya pergi ke Bank dan menaiki tren ke Stratford, iaitu lokasi utama berlangsungnya Sukan Olimpik. Sekadar peringatan kepada pengembara, ketika berlangsungnya temasya itu nanti, kebanyakan jadual perjalanan sistem pengangkutan awam di bandar raya itu dipinda semula. Untuk maklumat terkini, layari laman web Transport for London (www.tfl.gov.uk).

Sekiranya cuaca baik, anda boleh menyertai pakej lawatan yang disediakan ke tapak sukan itu. Salah satu pakej lawatan bermula pada pukul 2 petang dari Bromley-on-Bow sehingga ke Lowe Lea yang keseluruhannya mengambil masa dua jam dengan berjalan kaki.

Sambil berjalan, nikmati panorama sekitar perkampungan Sukan Olimpik yang mengagumkan seperti Aquatics Centre dan The Orbit.

Anda bukan sahaja mengenali atlet dan lokasi temasya itu dengan lebih dekat, malah perancangan masa hadapan yang telah disediakan selepas semuanya berakhir kelak.

Selepas mengharungi aktiviti tanpa henti sejak pagi hingga ke petang, ambil masa untuk merehatkan diri di spa. Terdapat pelbagai pilihan spa yang boleh dipilih, seperti Spa London di Old Ford Road atau Away Spa di Leicester Square.

Aktiviti itu mungkin menyebabkan perbelanjaan anda di bandar raya tersebut bertambah, namun ia tetap berbaloi lebih-lebih lagi ketika berendam di dalam jakuzi panas serta ditemani haruman buih yang mengasyikkan.

Seterusnya akhiri lawatan ke bandar Shoreditch, sebuah lokasi yang terletak di barat London. Di situ anda boleh menikmati kepelbagaian budaya di kota kecil berkenaan. Artis terkenal Britain, Terence Conran pernah menggelar Shoreditch sebagai Soho baharu London. Ia menawarkan lokasi untuk hiburan sambil menikmati makan malam yang enak dan menyelerakan.

Di The Boundary misalnya, merupakan sebuah bar dan restoran berkosepkan taman yang menawarkan panorama 360 darjah di sekitar Canary Wharf, Gherkin dan sisi barat London.

Bagi yang gemarkan hiburan malam, terdapat beberapa kelab hiburan terkenal yang boleh dikunjungi di bandar itu. Sambil bersantai, anda boleh mendengar irama-irama rancak di East Village dan Plastic People.

Jika ke Rich Mix anda akan dihidangkan dengan pelbagai persembahan seni dalam kalangan pemuzik, dramatis, penari atau penyair.

Ahad

Keesokan harinya selepas menikmati sarapan pagi, anda boleh menyertai aktiviti berbasikal komuniti atau lebih dikenali sebagai Boris Bike bersama warga London yang lain.

Ia diperkenalkan oleh Datuk Bandar London, Boris Johnson pada Jun 2010 sebagai salah satu kempen kesedaran terhadap alam sekitar. Kini dianggarkan terdapat lebih 5,000 basikal jenis itu yang disewakan kepada orang ramai di sekitar London.

Ia sejajar dengan matlamat Johnson yang mahu menjadikan basikal sebagai salah satu pengangkutan awam utama di London seperti juga teksi dan bas.

Dengan menunggang basikal, mulakan penjelajahan anda ke Stratford dan menghala ke arah timur ke Woolwich, di mana terletaknya Royal Artillery Barracks.

Lokasi itu bukan sahaja menjadi gelanggang acara menembak semasa temasya Olimpik nanti, malah turut mempunyai nilai sejarah dengan binaan era Raja George yang mengagumkan.

Pengembaraan seterusnya ialah di Greenwich Park yang bakal menjadi lokasi acara pertandingan pentatlon dan menunggang kuda.

Di situ anda boleh melawat Royal Observatory yang dibina pada tahun 1675 oleh Raja Charles II. Ia menjadi lokasi penentuan waktu dunia atau Greenwich Mean Time (GMT).

Ia juga merupakan satu-satunya planetarium di London dan menempatkan teleskop terbesar di United Kingdom.

Selain menjadi salah satu Tapak Warisan Dunia, Greenwich juga dikenali sebagai syurga gastronomi.v


PELBAGAI maklumat dan informasi boleh diperoleh tatkala berkunjung ke Muzium British.


Selain menikmati pelbagai hidangan di kafe dan restoran di sepanjang jalan, anda juga boleh berkunjung ke Greenwish Market untuk menikmati hidangan Sepanyol terkenal, spicy paella di Hola-Paella. Tidak cukup dengan itu, anda boleh juga menikmati pelbagai pai enak di Pie in the Skyz atau hidangan berdaging di Red Cow Covery.

Puas menikmati sajian yang enak dan menyelerakan, berkayuh pulang ke kota sambil menikmati panorama di sepanjang Sungai Thames.

Letakkan basikal anda di mana-mana 315 hentian basikal yang disediakan di bandar raya itu sebelum menuju ke Muzium British.

Jika berkesempatan, anda boleh berkunjung ke gerai cenderamata dan mendapatkan cenderamata khas bertemakan Olimpik London 2012 dan maskotnya yang terkenal iaitu Wenlock dan Mandeville.

No comments:

Post a Comment

Tinggalkan Komen Anda Sini: