Friday, July 6, 2012

Rosni, Zurliyanti pilihan juri



KEBERANIAN seorang guru, Rosni Johari, 36, mempertaruhkan resipi baharu telah membawa tuah kepadanya apabila dinobatkan sebagai juara kategori kek pada pertandingan Cabaran Daisy Sehebat Chef 2012. Acara itu berlangsung di pusat beli-belah AEON AU2, Setiawangsa, Kuala Lumpur baru-baru ini.

Idea untuk mencipta Kek Roselle Qaseh Daisy timbul apabila rakan sekerjanya, Ali Long, yang mengusahakan tanaman roselle mencadangkan kepada Rosni supaya menghasilkan kek yang berbeza iaitu campuran buah roselle.

Tanpa berfikir panjang, guru yang mengajar Ekonomi Rumahtangga di Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Penanti, Bukit Mertajam, Pulau Pinang itu membuat keputusan menyahut cabaran tersebut.

Sejak menjual minuman yang berasaskan buah roselle lima tahun lalu di sekolah pada Hari Kantin atau Hari Kokurikulum produk tersebut mendapat sambutan menggalakkan dalam kalangan pelajar.

Bercerita mengenai percubaan pertamanya menggunakan buah roselle itu, Rosni mengakui pada mulanya agar sukar untuk membuat kek menggunakan pes roselle.

Namun, kesungguhan beliau tanpa mengenal putus asa mempraktikkan kesemua petua dan teknik yang diajar Chef Liza Zainol membuahkan hasil.

Kek berbentuk gitar itu menjadi pilihan juri untuk menobatkannya sebagai juara kategori kek. Rosni berjaya membawa pulang RM5,000, barangan Corningware dan Corelle bernilai RM5,000, sijil dan plak Kosmo!.

Bagaimanapun, ibu kepada empat orang anak itu setakat ini belum membuat sebarang perancangan. "Insya-Allah saya akan membuat kenduri kesyukuran dengan wang kemenangan itu," katanya yang pernah menjuarai pertandingan Pencarian Chef dan Saji Rempah Mak Dara bagi peringkat Selangor di pusat beli-belah SACC Mall, Shah Alam tahun lalu.


ROSNI (kiri) dan Zurliyanti merupakan juara Cabaran Daisy Sehebat Chef 2012.


Cabaran Daisy Sehebat Chef 2012 merupakan program anjuran Kosmo!, Minyak Jagung Daisy dan rakan strategik Corningware dan Corelle.

Turut hadir pada majlis itu ialah Pengarang Rencana Kosmo! Najibah Hassan, Pengurus Iklan Kosmo!, Stella Abdullah, Pengurus Besar Bahagian Pemasaran Makanan Lam Soon Edible Oils Sdn.Bhd., Lo Wye Kan dan Pengurus Besar Perwira Nadi Trading Sdn.Bhd., Pang Tieh Yee.

Gementar

Pertandingan Cabaran Daisy Sehebat Chef 2012 telah berlangsung selama empat minggu bermula di Plaza Angsana, Johor Bahru pada 10 Jun 2012 dan diikuti Zon Tengah di pusat beli-belah AEON AU2, Setiawangsa, Kuala Lumpur (17 Jun) serta Zon Utara di Alor Star Mall, Kedah (23 Jun).

Pertandingan peringkat akhir pula diadakan di pusat beli-belah AEON AU2, Setiawangsa, Kuala Lumpur.

Sementara itu, juara kategori biskut, Zurliyanti Mohd. Abdul Aziz, 36, yang berasal dari Sungai Petani, Kedah, tidak menduga nasib menyebelahinya kerana kesemua finalis yang berentap mempunyai kehebatan masing-masing.

Meskipun berpengalaman luas hampir sedekad dalam pembuatan biskut dan kek, beliau mengakui gementar pada cabaran akhir kerana peserta perlu memasak di lokasi.

"Sebelum ini, saya pernah menyertai pertandingan tetapi cara penyertaannya berbeza kerana saya hanya menghantar sekeping gambar resipi yang dicipta kepada penganjur tetapi hari ini para peserta perlu memasak di hadapan para juri," katanya yang mempertaruhkan biskut Sanggul Mak Dara dalam pertandingan itu.


WYE KAN (empat dari kiri), Chef Liza (lima dari kiri), Stella (enam dari kanan), Tieh Yee (lima dari kanan) bersama barisan pemenang dan para juri di pusat beli-belah AEON AU2, Setiawangsa, Kuala Lumpur baru-baru ini.


Pasangan kembar kepada Zurliyani, finalis kategori kek dalam pertandingan yang sama bersyukur dengan kemenangan itu.

Ibunya, Asma Ismail, 64, yang juga guru masakan banyak membantunya dalam melakukan dekorasi biskutnya itu.

Lebih mengujakan anak kelima daripada lapan beradik itu berkata, beliau juga sudah mendapat tempahan daripada orang ramai untuk Hari Raya Aidilfitri.

"Selepas juri menilai pemarkahan, para pengunjung diberi peluang merasai setiap ciptaan hidangan peserta, tidak sangka ada yang berminat untuk membuat tempahan," katanya sambil memberitahu beliau akan menggunakan petua dan teknik dalam perniagaannya nanti.

No comments:

Post a Comment

Tinggalkan Komen Anda Sini: