
BIARPUN wanita Muslimah berpakaian menutup aurat, itu sebenarnya tidak menjadi halangan kepada mereka untuk bergaya mengikut peredaran zaman.
Menyedari hakikat itu, kini terdapat banyak butik yang membuka perniagaan pakaian Muslimah selain pentas peragaan fesyen busana yang sealiran dengan syariat tersebut.
Tidak terkecuali, Azya Bazar telah dilangsungkan dengan tema fesyen high street untuk wanita Muslimah sekali gus membuka peluang kepada blogger tempatan yang menjual pakaian Muslimah moden.
Tapak bazar yang dibuka selama dua hari bermula 2 hingga 3 Jun lalu di The Strand Encorp, Kota Damansara nyata berjaya menarik golongan remaja yang mahu tampil bergaya ke majlis santai mahupun formal.
Dalam pameran tersebut, kira-kira 30 gerai telah dibuka dan menjual pelbagai jenis barangan. Antaranya adalah seperti selendang, jubah, kaftan, telekung, kasut, perhiasan tudung dan pinggang serta minyak wangi tanpa alkohol.
Rata-rata pengunjung ketika ditemui menyifatkan bazar berkenaan banyak membantu mereka meningkatkan pengetahuan mereka tentang fesyen terkini terutamanya dalam soal pemakaian selendang dengan cara mudah.
![]() |
| SELENDANG warna-warni kini semakin diminati dalam kalangan remaja. |
Seorang pengunjung, Afifi Aizira, 20, berkata, bazar tersebut memudahkan pengunjung sepertinya mempelajari cara-cara memakai selendang yang pelbagai potongan dan jenis.
Pakaian sopan
Pelajar institusi pengajian tinggi awam (IPTA) itu mengakui, pameran berkenaan banyak membantunya mendapatkan pakaian seperti yang diinginkan seperti skirt labuh.
Tambahnya, jika berkunjung ke pusat beli-belah, sukar baginya untuk mendapatkan pakaian yang kelihatan sopan.
"Kesemuanya lengan pendek. Memang susah jika mahu mendapatkan pakaian yang benar-benar menepati cita rasa wanita bertudung," katanya ketika ditemui Kosmo! di bazar itu.
Tambahnya, di Azya Bazar, dia memperoleh banyak barangan yang jarang didapati di pusat beli-belah.
Selain daripada deretan bazar yang menampilkan pelbagai gaya dan koleksi berhijab, pelbagai acara menarik turut diadakan.
Antara aktiviti yang dilangsungkan adalah demonstrasi pemakaian pelbagai stail dan gaya ikatan tudung, pertunjukan fesyen amal serta sesi bual bicara bersama pakar motivasi, Dr. Azizan Osman yang berganding dengan pakar perunding imej, Fiona Tahir untuk membincangkan topik Wanita Luar Biasa.
Sementara itu, pereka fesyen Allya Mysara Couture, Kimi Iskandar Ismail yang tampil mengadakan demonstrasi ikatan selendang memberitahu, dia berkongsi beberapa tip kepada golongan Muslimah yang mahu memakai selendang.

Mengulas lanjut mengenai perkara berkenaan, Kimi berkata, dengan menggunakan satu pin sahaja, seseorang wanita itu boleh kelihatan menarik dengan cara lilitan yang betul.
"Saya hanya menggunakan satu pin dan seterusnya mengambil setiap penjuru kain untuk membuat lilitan. Kaedah itu cuma mengambil masa satu minit," jelasnya.
Dia yang ditemui selepas membuat demonstrasi mengakui masih ramai wanita tidak arif mengenakan pakaian dan warna tudung bersesuaian.
Namun, dengan adanya bazar-bazar yang dibuka ia sememangnya membantu wanita menjawab permasalahan gaya seperti itu.
No comments:
Post a Comment
Tinggalkan Komen Anda Sini: