
JIKA anda seorang yang sukakan perhatian, saya ada satu kereta yang sesuai untuk anda. Cuba pandu Peugeot RCZ. Jentera kompak dua pintu dengan rekaan luar di luar kotak dan bumbung kaca yang mengelembung itu pasti akan membuatkan pemandunya perasan semua orang memandang ketika memandunya di atas jalan raya.
Inilah hasilnya jika sebuah jentera konsep dizahirkan di kilang pengeluaran. RCZ yang pada asalnya diberi nama 308 RCZ Concept, diperkenalkan buat kali pertama pada Frankfurt Motor Show 2007.
Jentera yang menjenguk pasaran Malaysia pada Mei 2011 itu menandakan era baharu dalam penghasilan kenderaan gaya hidup Peugeot. Maksudnya, kenderaan itu bukan sekadar boleh membawa pemiliknya dari lokasi A ke B, malah menjadi pernyataan fesyen kepada pemiliknya.
Justeru, disebabkan oleh identitinya yang kuat dan tersendiri, sesiapa pun tidak akan tersalah teka RCZ dengan kenderaan jenama lain. Penerima anugerah Red Dot Design Award 2010 itu dikatakan memiliki rekaan yang menghubungkan antara reka bentuk sekarang dan masa depan.
Harus tahu juga bahawa kenderaan itu merupakan model pertama keluaran Peugeot yang tidak menggunakan nombor '0' pada namanya.
Sebenarnya, penantian untuk memandu uji RCZ agak lama. Akhirnya peluang itu terhidang di depan mata. Kebetulan pula ada tugasan di Litar Antarabangsa Sepang (SIC), maka dapatlah saya menguji kemampuan sebenar RCZ ketika menyusuri lebuh raya Maju Expressway (MEX) menuju ke Sepang, Selangor.

Harus diakui bahawa RCZ menawarkan kualiti pemanduan yang dinamik. Rekaan tubuh yang mengutamakan aspek aerodinamik, dibantu oleh suspensi jenis topang MacPherson pada roda belakang dan Deformable U shape cross member (roda belakang) memberikan keyakinan kepada pemandunya untuk mengambil selekoh.
Kawalan stereng kuasa elektro-hidraulik juga tepat dan seimbang. Tidak terlalu berat atau ringan ketika mengemudikan jentera itu di lebuh raya atau sekadar hendak memakirnya di ruang yang sempit.
Kualiti serapan bunyi kabin
Padanan enjin petrol daripada keluarga enjin Prince dengan transmisi manual enam kelajuan pula memang memuaskan hati. Hantaran kuasa daripada enjin turbo bersesaran 1.6 liter yang turut digunakan oleh MINI Cooper S itu kepada roda hadapan terasa cukup bertenaga. Setiap inci kuasanya dapat dinikmati dengan pantas apabila pedal minyak ditekan pada bila-bila masa.
Tipikal enjin turbo, kuasa tork boleh diperoleh pada putaran enjin (rpm) serendah 1,700rpm. Jadi, memulakan perjalanan di lampu isyarat memang mengujakan. Saya sukakan kualiti serapan bunyi kabin RCZ. Maksudnya, bunyi ngauman enjin boleh dinikmati dengan jelas jika anda mahukannya. Tetapi jika dipandu secara santai, ia senyap dan menenangkan.
Walaupun bertransmisi manual, memandunya di jalan raya yang sesak tidaklah terlalu memenatkan. Klacnya lembut. Cuma, kalau saya membeli RCZ, perkara pertama yang akan dibuat adalah memendekkan sedikit klac agar kaki kiri tidak perlu diangkat terlalu tinggi selepas gear dimasukkan.
Sekiranya anda tidak berminat atau tidak mahir menggunakan gear manual, jangan bimbang kerana ada versi automatik ditawarkan oleh pengedarnya, Nasim Sdn. Bhd. Malah harganya lebih murah iaitu cuma RM218,888 seunit di atas jalan dengan insurans.
Kereta sports itu boleh membuatkan sesiapa sahaja terlupa untuk memandu perlahan. Biarpun begitu, penggunaan minyaknya tetap menjimatkan. Peugeot mendakwa RCZ hanya memerlukan 6.9 liter petrol untuk setiap 100 kilometer yang merangkumi perjalanan di bandar dan lebuh raya.
![]() |
| RIM aloi berwarna hitam bersaiz 19 inci yang disalut dengan tayar berprestasi daripada Continental. |
Benar, rekaan luarannya cukup mengagumkan. Tetapi ruang kabin RCZ tidak memberikan impresi yang sama. Rekaan papan pemukanya membosankan dan sangat ringkas.
Ia hanya menyalin reka bentuk papan pemuka yang ada pada model-model massa Peugeot yang lain terutama 308 hatchback. Ia sekali gus langsung tidak mencerminkan statusnya sebagai kereta gaya hidup yang eksklusif. Mujur ada jam analog yang diletakkan di antara corong pendingin hawa, nampak mewahlah sedikit.
Bagi mereka yang gemar mendengar muzik, kekurangan itu pasti terubat dengan kualiti bunyi janaan enam unit pembesar suara jenama JBL.
RCZ ialah sebuah coupe dengan konfigurasi tempat duduk 2+2. Kerusi hadapannya luas dan selesa. Sementara ruang tempat duduk belakangnya begitu terhad. Hanya boleh dihuni oleh kanak-kanak.
Namun begitu, ruang kargonya masih boleh menempatkan beg pakaian untuk bercuti atau balik ke kampung selama beberapa hari tanpa sebarang masalah.
Sering dibandingkan dengan pesaingnya seperti Volkswagen Scirocco dan Audi TT, RCZ bagaimanapun mampu menawarkan sesuatu yang berbeza.
Mungkin ada yang beranggapan pemanduannya tidak secemerlang Scirocco atau TT, namun bumbung kaca, rim aloi bersaiz 19 inci (standard) dan tiang aluminium itu pasti boleh dijadikan modal untuk sesiapa sahaja berbangga memiliknya.

No comments:
Post a Comment
Tinggalkan Komen Anda Sini: