Saturday, July 21, 2012

Apabila gaya bertemu teknologi


BAGI menjangkau kelompok pembeli yang luas, Punto ditawarkan dalam banyak varian.


ORANG muda masa kini mungkin tidak berapa mengenali jenama Fiat berbanding generasi saya dahulu. Ketika itu, model-model Fiat seperti Punto, Coupe atau pun Multipla banyak di atas jalan raya Malaysia.

Berbelas-belas tahun dahulu, reka bentuk model-model tersebut mendahului zaman. Jadi, tidak hairanlah jika ramai yang menentang arus perdana dengan membeli kereta buatan Itali itu.

Nampaknya, formula reka bentuk yang cantik dan menawan hati bukanlah hak milik mutlak pengeluar kereta Korea sahaja. Malah ia terlebih dahulu digunakan oleh pengeluar lain.

Melalui Fiat juga kita boleh belajar bahawa reka bentuk yang cantik sahaja tidak memadai. Pengeluar kenderaan perlu ada model susulan yang sesuai.

Dua tiga tahun kemudian, pengimport Fiat, Torino Motor Industries (M) Sdn. Bhd. ada membawa beberapa model baharu seperti Punto dan Fiat 500, namun gagal mendapat sambutan. Fiat di Malaysia bagaikan sudah lenyap daripada pasaran.

Barangkali Malaysia dan ASEAN bukanlah pasaran penting buat Fiat kerana mereka masih mempunyai banyak produk untuk pasaran lain. Di United Kingdom (UK) misalnya, pembeli di sana sudah boleh membeli Fiat Punto 2012.

Harus tahu, segmen supermini yang disertai Punto adalah pasaran paling kompetitif dan dinamik. Tidak percaya? Kira-kira satu per empat daripada jumlah keseluruhan kereta baharu yang terjual adalah daripada segmen tersebut. Masakan tidak, kerana dalam pasaran itu sahaja terdapat lebih kurang 30 model daripada pengeluar Eropah, Jepun dan Korea yang bersaing bagi merebut kek pasaran.

Sejak dilancarkan pada tahun 1993, Punto telah menjadi peneraju pasaran dengan sebanyak 8.5 juta unit telah terjual di seluruh Eropah. Punto baharu disasarkan untuk menyambung legasi tersebut.


REKAAN papan pemuka Punto memang moden.


Memetik daripada sumber Newspress Punto 2012 menerima beberapa perubahan. Antaranya, reka bentuk luaran, varian warna, roda aloi, warna, material untuk ruang kabin dan paling signifikan ialah enjin baharu TwinAir.

Ditawarkan melalui versi tiga atau lima pintu, Punto menawarkan pakej kereta yang kompak, mesra alam, cantik, selamat, selesa dan seronok dipandu. Terdapat lima varian yang berbunyi riang-ria seperti Pop, Easy, Lounge, GBT dan TwinAir.

Varian Pop direka untuk mereka yang sensitif dengan harga. Tetapi pada masa yang sama mahukan stail. Pada bahagian dalaman, kerusinya dirias dengan kemasan denim dan semua model didatangkan dengan Daytime Running Lights (DRL).

Varian Easy pula dijangka menjadi model terlaris melalui kombinasi ciri-ciri gayaan dan teknologi. Beberapa perbezaan antara model Easy dengan Pop adalah kewujudan hendal pintu dan tingkap dengan warna sama seperti badan kereta, kunci kawalan jauh, kerusi belakang boleh pisah 60/40, cermin boleh panas (heated) dan penyaman udara kawalan manual.

Lucu bunyinya kerana di Malaysia beberapa spesifikasi itu adalah standard. Namun di Eropah lain pula cara tawarannya.

Varian Lounge merupakan model dengan spesifikasi tinggi. Ruang kabinnya didatangkan dengan kemasan baharu terutama pada papan pemuka. Peralatan lain ialah kerusi yang lebih sporty, perehat lengan (depan), kawalan suhu, kawalan luncur (cruise control), lampu ambien pada papan pemuka dan lampu kabus hadapan.

Varian GBT pula dihasil sempena meraikan sokongan Fiat kepada British Cycling. Varian itu berasaskan kepada model Easy dengan rim lebih sporty, suspensi yang direndahkan, cermin privasi gelap, spoiler belakang dan skirt sisi sama warna dengan warna badan.

Varian TwinAir juga turut diasaskan daripada model Easy. Tetapi dengan rim bersaiz 15 inci diamond finish, penutup cermin belakang dan tiang pintu berkilat, kerusi unik serta cermin privasi yang digelapkan.

Selain perubahan kosmetik, barisan enjin Punto 2012 turut dirasionalisasikan. Apa yang baharu ialah penambahan enjin turbo TwinAir yang menawarkan prestasi enjin empat silinder tetapi ekonomikal seperti dua silinder. Teknologi MultiAir didatangkan menerusi dua varian dengan turbo dan tanpa turbo.

Falsafah teknologi TwinAir terletak pada kawalan kebuk pembakaran yang dibuat secara terus melalui injap kemasukan berbanding pada pendikit. Kaedah itu seterusnya memberi lebih penjimatan dan kuasa berbanding enjin dengan saiz sama.

Barisan enjin petrol disempurnakan lagi dengan tawaran enjin bersesaran 1.2 dan 1.4 liter yang menggunakan injap pemasaan variabel terkini bagi memastikan penggunaan minyak yang ekonomikal dan seronok untuk dipandu.

Tidak lengkap untuk pasaran Eropah jika tidak ditawarkan enjin diesel. Untuk Punto, dua jenis enjin diesel MultiJet 2 ditawarkan. Kedua-duanya memiliki kuasa berbeza iaitu 75hp dan satu lagi versi 85hp. Mengaplikasikan teknologi baharu, enjin tersebut hanya mengeluarkan karbon dioksida sebanyak 90g/km.

Varian baharu Punto yang dibawa masuk sebelum ini boleh ditemui di atas jalan raya tetapi amat sukar untuk ditemui. Sudah jadi seperti barang rare. Sudahnya saya pernah terserempak model baharu dijual pada harga yang lebih murah dari harga sebenar di dalam laman web jual beli barangan.

Mungkin pasaran ASEAN tidak penting untuk Fiat memberi perhatian serius atau boleh jadi prioriti mereka lain. Tidak seperti jenama Eropah lain seperti Peugeot, Volkswagen atau Renault yang nampak nilai dan potensi duit orang Malaysia.

Untuk info, Fiat adalah pemilik jenama eksotik iaitu Ferrari dan jenama seksi Alfa Romeo. Anehnya kedua-dua jenama itu ada pula dijual secara rasmi di tempat kita.

No comments:

Post a Comment

Tinggalkan Komen Anda Sini: