Rebecca tak  mahu  terlalu  teruja
Rebecca Nur Al Islam

LUMRAH buat semua wanita ingin memiliki cahaya mata sendiri bagi melengkapkan lagi rumah tangga dibina.

Begitu juga dengan pelakon, Rebecca Nur Al Islam, yang kini hamil lima bulan setelah pernah keguguran.

Tak putus-putus memanjat kesyukuran kepada Ilahi, Rebecca bersyukur kerana hasratnya bergelar ibu bakal terlaksana tidak lama lagi. “Alhamdulillah, saya bersyukur dengan kurniaan ini.

Sekarang kandungan saya telah berusia lima bulan dan jika semuanya berjalan dengan baik, saya dijangka akan bersalin pada awal November ini.

“Perasaan pada awal disahkan mengandung tidak dapat digambarkan. Suami saya juga turut gembira” katanya. Tambah Rebecca, walaupun gembira dengan kehamilan ini, dia dan suaminya tidak mahu terlalu teruja sehinggalah bayi dalam kandungannya selamat dilahirkan.

“Saya harap peminat dapat mendoakan yang terbaik untuk saya dan cahaya mata yang bakal dilahirkan ini,” katanya.

Terpaksa lunas tanggungjawab

MENYENTUH mengenai karier seninya, Rebbeca berkata, ketika kehamilannya berusia dua bulan, dia terpaksa menjalani sesi penggambaran dua drama bersiri Dejavu di Kinabalu dan Trilogi Cinta 2 yang kini masing-masing sedang ditayangkan di TV3 dan RTM.

Jelasnya, ketika itu dia tidak tahu dirinya sedang hamil dan atas rasa tanggungjawab dia harus melunaskannya hingga kedua drama itu selesai.

“Saya akui rasa tercabar untuk meneruskan penggambaran kedua-dua drama tersebut kerana ketika itu saya mudah letih. Bagaimanapun, saya bersyukur dapat menyelesaikannya dengan baik.

“Buat masa sekarang, saya tidak lagi menerima mana-mana tawaran lakonan kerana mahu rehat secukupnya,” ujarnya.

Bagaimanapun, Rebecca berkata, dia akan meneruskan lakonannya setelah melahirkan cahaya matanya nanti.

“Saya tidak akan berhenti dalam bidang lakonan. Cuma buat masa terdekat ini saya akan bercuti panjang sehinggalah selamat melahirkan cahaya mata ini," katanya.