Saturday, July 14, 2012

Ramli Sarip di IKIM

Pada konsert Alunan Kalbu, Ramli Sarip akan menghiburkan hadirin dengan lagu-lagu menyentuh rohani selama 45 minit.

MENJADI fitrah manusia sukakan kepada hiburan. Malah, tanpa hiburan menjadikan seseorang berasa sunyi dan kemurungan yang boleh mengakibatkan tekanan perasaan yang serius.

Oleh itu, hiburan menjadi suatu keperluan bagi manusia dalam mengecapi kehidupan yang lebih bahagia dan bermakna.

Mengambil langkah itu, penyanyi terkenal tanah air, Ramli Sarip berkata, hiburan menerusi nyanyian yang disampaikan bersama mesej dakwah mampu memberikan kesan positif dan membahagiakan pendengar.

Dalam Islam pun tidak menghalang penganutnya meninggalkan hiburan selagi tidak melampaui batasan dan bercanggah dengan hukum syariat yang ditetapkan.

Ini sebagaimana yang ditunjukkan oleh Nabi Muhammad SAW melalui perbuatan ketika hayatnya bersama umat Islam yang lain.

Ramli berkata, melalui alunan lagu yang didendangkan dengan lirik yang bermanfaat boleh memberi pengajaran kepada pendengar jika dapat menghayati lirik melalui lagu tersebut dengan baik.

Tambahnya, ia terbukti melalui pengalamannya sepanjang bergiat dalam bidang seni suara tanah air yang berjaya mengubah sahabat dan ramai pendengar selepas menghayati lirik lagu yang dinyanyikan.

"Mengikut pengalaman saya, lagu yang mempunyai lirik yang bagus, disampaikan pula dengan nyanyian dan kaedah yang betul dapat menyentuh perasaan pendengar untuk mengambil sesuatu pengajaran daripada lagu tersebut.

"Buktinya, ada dalam kalangan kenalan saya yang dulunya mempunyai tabiat buruk dapat berubah dengan hanya mendengar dan menghayati lagu berunsur keinsafan ini.

"Bukan itu sahaja, lirik dengan lagu yang sedap didengar pastinya menjadi nyanyian orang ramai dan secara tidak langsung boleh menjadi zikir atau peringatan kepada dirinya sendiri," katanya.

Ramli berkata demikian ketika ditemui pada sidang akhbar konsert 'Alunan Kalbu' sempena Karnival 20 Institut Kefahaman Islam Malaysia (IKIM), Kuala Lumpur, baru-baru ini.

Konsert akan diadakan pada 14 Julai, bermula pukul 8.30. Ia merupakan salah satu acara dalam karnival tersebut yang berlangsung pada 13 hingga 15 Julai di perkarangan IKIM, Jalan Langgak Tunku, Jalan Duta, Kuala Lumpur.

Konsert turut akan diserikan dengan persembahan bersama Iwan Syahman. Ramli Sarip akan mendendangkan lagu berkonsep akustik selama 45 minit.

Antara aktiviti lain yang akan diadakan termasuk persembahan badut dan belon, persembahan Drum Simponi Malaysia, persembahan artis Deevotes, UNIC, demo memasak, gerai jualan dan banyak lagi.

Ramli berkata, sasaran konsert yang bakal diadakan adalah mengajak orang ramai untuk hadir terutamanya golongan muda untuk menghayati lagu yang akan dinyanyikan.

"Remaja masa kini bukan seperti dulu. Mereka lebih sukakan sesuatu yang lebih santai dalam hidup mereka.

"Oleh itu, saya berharap orang-orang muda dapat hadir pada konsert percuma ini untuk sama-sama berhibur sambil mengambil iktibar daripada lagu yang ingin dinyanyikan. Saya juga menjanjikan sesuatu kelainan daripada konsert ini," katanya.

No comments:

Post a Comment

Tinggalkan Komen Anda Sini: