Saturday, July 14, 2012

PUR: Tunaikan impian

sebahagian daripada 80 jemaah umrah yang merupakan kumpulan perintis Program Umrah Rakyat (PUR) gembira menjejakkan kaki di balai ketibaan Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) Sepang, baru-baru ini.

SEJAK kita dilahirkan ke dunia sehingga sekarang, dapatkah kita menghitung akan segala nikmat yang Allah berikan?

Ini termasuklah nikmat kehidupan, nikmat makan minum, nikmat rumah kediaman, nikmat kesihatan, nikmat memiliki harta benda, nikmat memiliki keluarga, nikmat memiliki kerjaya yang hebat dan pelbagai lagi nikmat yang pasti tidak terkira banyaknya.

Maka, sebagai umat Islam amat digalakkan untuk melakukan ibadat umrah bagi mengucapkan syukur kepada Allah akan segala nikmat yang tidak terhitung itu.

Kerana matlamat untuk mengejar pelbagai ganjaran ibadah itulah maka Tanah Suci Mekah dan Madinah tidak pernah sunyi walau sesaat daripada kunjungan umat Islam yang berkemampuan.

Namun, bagaimana pula mereka yang tidak diberikan nikmat kesenangan dan tiada kemampuan, terutama dari segi kewangan? Tidakkah di sudut hati mereka tersimpan juga niat untuk menjadi tetamu Allah di Tanah Suci?

Ada pula yang mampu dari aspek kewangan tetapi tidak sampai 'seru' malah faktor kesibukan dan tidak ada masa pula dijadikan alasan.

Tetapi ada pula yang terlalu ingin ke Tanah Suci, ditambah dengan kudrat yang masih kuat dan sihat tetapi soal kemampuan kewangan pula yang menjadi penghalang.

Lalu, seorang hamba Allah yang sangat memahami akan impian golongan yang tidak berkemampuan itu, berusaha merealisasikan impian yang dianggap mustahil supaya menjadi kenyataan.

Impian itu benar-benar menjadi satu kenyataan, sebagaimana yang disaksikan sendiri di balai ketibaan Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) Sepang baru-baru ini.

Sebanyak 80 jemaah umrah pulang dengan selamatnya dari Tanah Suci Mekah, Mereka ini bukan rombongan umrah yang biasa. Tetapi mereka adalah kumpulan perintis Program Umrah Rakyat (PUR).

PUR merupakan program yang boleh disifatkan yang pertama di negara ini yang memberikan peluang kepada golongan yang tidak berkemampuan mengerjakan umrah melalui pakej istimewa.

Ia dijayakan oleh Syarikat Fayrooz Marketing Sdn. Bhd. milik Zakaria Hassan yang merupakan Ketua Pegawai Eksekutif merangkap Pengerusi Eksekutif syarikat tersebut.

"Secara mudahnya, syarikat kami bertanggungjawab merealisasikan impian suci dua pihak, iaitu jemaah umrah yang tidak mampu dan satu pihak lagi merealisasikan individu-individu umat Islam negara ini yang menginfakkan atau melakukan sedekah amal jariah dengan mengeluarkan sebahagian daripada simpanan wang dan harta mereka untuk menaja atau membiayai kos umrah bagi jemaah yang tidak kemampuan," katanya ketika ditemui di KLIA ketika menunggu ketibaan jemaah umrah PUR, baru-baru ini.

Tegas Zakaria, melalui PUR seorang peserta hanya perlu membayar RM2,999 sahaja untuk membolehkan mereka mengerjakan pakej umrah bernilai RM5,500 yang dikendalikan Fayrooz Travel Associates. Baki daripada bayaran peserta itu akan dibayar oleh penaja.

Maka akui Zakaria, tidak timbul soal jemaah berhutang kerana ia adalah pembiayaan yang diberkati Allah kerana puncanya daripada poket atau simpanan jemaah itu sendiri sambil bakinya ditampung oleh pihak penaja.

Melalui program itu mereka akan mengerjakan umrah untuk 11 hari sembilan malam dengan menikmati pelbagai kemudahan yang disediakan.

Malah, sebaik sahaja tiba di KLIA telah tersedia sebuah bas untuk membawa kumpulan jemaah itu pulang ke negeri masing-masing. Jadi, pihak keluarga dan saudara-mara tidak perlu bersusah payah menanti di KLIA.

Zakaria sangat bersyukur kerana usaha beliau dan syarikatnya sehingga kini berjaya merealisasikan impian hampir 200 jemaah.

"Umat Islam kini mula tahu bagaimana untuk membelanjakan harta mereka ke jalan Allah. Telah timbul kesedaran bagi membantu umat Islam yang memerlukan," katanya.

Tidak dinafikan jika seseorang itu mampu, seorang itu boleh mengerjakan umrah berkali-kali dalam seumur hidup demi merebut ganjaran yang dijanjikan oleh Allah.

"Jika dahulu seseorang itu sanggup membelanjakan sehingga RM30,000 atau RM40,000 bagi sesebuah pakej umrah, untuk dia pergi seorang diri mahupun bersama isteri dan ahli keluarga.

"Tetapi kini dengan bayaran sebanyak itu, dia boleh membiayai ramai jemaah. Mungkin sehingga lima atau enam orang dan dia sendiri akan mendapat pahala umrah yang sama dengan orang yang beliau taja itu.

"Tidakkah ini lebih lumayan berbanding pergi berkali-kali sehingga boleh menimbulkan iri hati pada orang lain seolah-olah seperti menunjuk-nunjuk?

"Adalah lebih baik lagi jika membantu orang lain untuk mengerjakan umrah dan kita sendiri turut beroleh pahala yang sama," katanya.

Zakaria percaya seperti mana tokoh agama yang lain bahawa wang yang ada adalah lebih afdal jika dibelanjakan untuk membiayai jemaah umrah dan haji berbanding seseorang itu pergi berkali-kali ke Tanah Suci.

"Setiap jemaah yang ditaja itu tidak sahaja begitu gembira berpeluang akhirnya ke Tanah Suci tetapi sampai ke akhir hayat mereka tidak akan putus-putus mendoakan kesejahteraan individu yang menaja mereka," katanya.

No comments:

Post a Comment

Tinggalkan Komen Anda Sini: