Saturday, July 14, 2012

Bersyukur jadi tetamu Allah

Wajah-wajah ceria anggota rombongan Program Umrah Rakyat setibanya di Lapangan Terbang KLIA, Sepang walaupun dalam keadaan sedikit uzur dan kurang upaya.

SEBAGAI mutawif untuk Program Umrah Rakyat (PUR), Abdul Razak Halifah Ali, 39, mengakui beliau melalui pengalaman yang cukup berbeza berbanding mengetuai dan mengendalikan umrah yang biasa.

"Jemaah yang mengikuti rombongan PUR ini boleh disifatkan sebagai yang terbaik setakat ini. Bukanlah tidak timbul sebarang masalah, masalah tetap ada.

"Tetapi mereka benar-benar menghargai keberadaan diri sepanjang di Tanah Suci Mekah dengan melakukan ibadah umrah, tidak lebih daripada itu," katanya.

Bukan kerana mereka tidak mampu untuk berbelanja, membeli belah yang lazimnya dilakukan oleh para jemaah umrah dan haji yang lain.

Tetapi jemaah PUR sedar peluang umrah ini mungkin hanya sekali itu sahaja, maka ia diisikan dengan tujuan ibadat semata-mata.

"Selama 11 hari dan 9 malam di sana, mereka langsung tidak membuang masa dan menimbulkan masalah yang rumit-rumit. Mudah untuk mengendali mereka walaupun kebanyakan sudah berusia dan uzur," katanya.

Menurut Abdul Razak yang telah berkhidmat sebagai mutawif sejak 1996, iaitu hampir 16 tahun lamanya beliau mendapati anggota jemaah PUR yang di bawah bimbingan beliau ini sangat mendengar kata dan mematuhi arahan.

"Bila kita kata hendak keluar pergi menziarahi tempat-tempat bersejarah dan semua perlu tunggu di lobi hotel pukul 7 petang misalnya, pukul 6.30 petang mereka semua telah sedia menunggu, malah tak sabar-sabar untuk pergi melawat.

"Tetapi yang pasti kita dapat melihat mereka begitu seronok melakukan ibadat sama ada melakukan tawaf, saie dan bertahalul.

"Malah ramai yang mampu melakukan lebih dari sekali umrah sepanjang berada di sana.

"Pantang ada peluang, mereka lebih banyak menghabiskan masa di Masjidil Haram berbanding duduk terperap di dalam bilik ataupun membeli belah," kata Abdul Razak.

Beliau setuju bahawa para jemaah PUR ini begitu menghargai setiap sen yang disumbangkan oleh pihak penaja, bertanggungjawab dan memikul amanat supaya beribadat dengan sempurna.

Sementara itu, salah seorang ahli rombongan umrah PUR, warga emas, Judah Sani, 72 yang juga ibu tunggal kepada lima orang anak berkata, walaupun telah selamat tiba, beliau masih tidak percaya telah menjejakkan kaki di Tanah Suci Mekah dan Madinah untuk menunaikan umrah.

"Macam tidak percaya makcik dah sampai Mekah, macam mimpi sahaja rasanya apabila cita-cita makcik ini tercapai juga akhirnya.

"Allah sahaja yang tahu betapa makcik sangat berhajat ke Mekah, seronok mendengar daripada cerita mereka yang pernah ke sana. Sehingga makcik terbayang-bayang dan termimpi-mimpi seolah-olah makcik berada di hadapan Kaabah," katanya yang berasal dari Bukit Merah, Taiping, Perak.

Tetapi apabila mengenangkan ketiadaan simpanan yang mencukupi serta kekangan kemampuan anak-anak untuk membiayai nya, membuatkan Judah memendam keinginannya itu.

Sehinggalah pada suatu hari, bila dia didatangi anak saudara yang mengajaknya mengikuti rombongan PUR.

"Makcik pada mulanya tidak percaya dengan pakej ini. Bukankah banyak yang berlaku penipuan sehingga menyebabkan jemaah terkandas dan akhirnya tidak dapat pergi (umrah), jadi manalah tahu yang ini juga cuba hendak menipu," katanya.

"Tetapi alhamdulillah, segala-galanya diuruskan dengan baik dan lancar sehinggalah buat pertama kalinya makcik berpeluang memegang pasport dan visa umrah makcik sendiri, akhirnya makcik sedar, makcik berjaya menjadi tetamu Allah!" katanya.

Bagi pasangan warga emas, suami isteri, Nyian Awang, 68 dan Asnah Mohd. Noh yang berasal dari Batu Kurau, Perak, satu-satunya menantu lelaki mereka yang sudi membiayai bagi memastikan hajat ibu bapa mertuanya ke Tanah Suci, tercapai.

"Dahulu pakcik seorang nelayan, tidak mampu hendak ke Tanah Suci dan kalau boleh hendak pergipun bersama makcik kamu, tapi alhamdulillah menantu kami itu menyertai PUR ini dan tanpa perlu membayar penuh kerana sebahagian kecil lagi kami tokok tambah sendiri, akhirnya tercapai juga hasrat kami berdua ke Tanah Suci ini, alhamdulillah," kata Nyian.

No comments:

Post a Comment

Tinggalkan Komen Anda Sini: