BARU...(dari kiri) Pengarah Eksekutif Perodua, Zainal Abidin Ahmad; Pengarah Jualan dan Pemasaran Perodua, Zahari Husin dan Aminar Rashid memperkenalkan Alza Advanced Version baru.
PERUSAHAAN Otomobil Kedua Sdn Bhd (Perodua) meneruskan kecemerlangan prestasi jualan apabila menguasai pasaran 31 peratus daripada anggaran jualan keseluruhan industri (TIV) sebanyak 303,100 bagi enam bulan pertama tahun ini.
Pengarah Urusannya, Datuk Aminar Rashid Salleh berkata, sepanjang tempoh itu, Perodua mencatat jualan kenderaan 93,000 unit, meningkat 17 peratus berbanding 80,000 unit tahun lalu.
“Bagaimanapun, angka 2011 bukan ukuran sebenar kerana industri automotif waktu itu menerima kesan kekurangan alat ganti dari Jepun berikutan bencana yang menimpa negara itu pada suku pertama tahun lalu.
“Jika dibandingkan enam bulan pertama 2010 pula, jualan merosot dua peratus berikutan garis panduan baru yang diperkenalkan Bank Negara Malaysia pada Januari tahun ini,” katanya pada sidang media selepas semakan semula prestasi separuh pertama syarikat di Kuala Lumpur, semalam.
Beliau berkata, untuk enam bulan kedua tahun ini, pihaknya mengunjurkan 95,100 unit jualan kenderaan, seterusnya menjadikan jumlah jualan keseluruhan 188,023 unit sekali gus mengekalkan sasaran jualan awal 188,000 unit untuk tahun ini.
“Bagi separuh kedua tahun ini, kami jangkakan agak mencabar berikutan pelaksanaan garis panduan baru mengenai pinjaman bertanggungjawab, bersama dengan beberapa pelancaran baru di pasaran. Bagaimanapun, ketika ini kami sudah menyesuaikan diri dengan garis panduan itu.
“Meskipun bukan pada tahap yang kami mahukan dalam segi tempoh pemprosesan, kami boleh nampak perubahan,” katanya.
Menurutnya, angka tempahan kenderaannya ketika ini agak tinggi terutamanya dengan musim perayaan tidak lama lagi.
No comments:
Post a Comment
Tinggalkan Komen Anda Sini: