SAYA mula membaca ruangan ini sejak remaja lagi sehinggalah kini melangkah usia 30-an. Banyak kisah yang dipaparkan berlaku dalam kalangan orang sekeliling saya. Ia banyak mematangkan saya dalam mengharungi rumahtangga. Namun saya tidak setuju dengan pandangan Wan Zee minggu lalu yang mendakwa 'Isteri pertama tak sedar diri'.
''Tidak ada wanita di dunia ini yang sanggup berkongsi kasih apa lagi bermadu. Biarpun suami boleh berkahwin empat,'' ujar Lela - senada dengan pandangan beberapa orang wanita lain dalam e-mel mereka.
Kata Lela, wanita dikurniakan sembilan nafsu dan satu akal manakala lelaki sebaliknya. Lelaki, tidak kira apa jawatan atau tarafnya, mereka kalah melawan nafsu, sama ada godaan nafsu sendiri atau godaan wanita. Kerana nafsu mereka hanya pada wanita.
''Berbeza dengan wanita walaupun ada sembilan nafsu tetapi telah dibahagikan kepada perkara seperti kecantikan, pakaian, hiasan, rumah, memasak dan sebagainya. Disebabkan nafsu lelaki hanya kepada wanita maka mereka cepat tergoda dan kalah melawan nafsu, akhirnya membawa kehancuran diri dan keluarga.
''Wanita yang jadi isteri kedua sering memberi alasan tidak berniat ambil suami orang tetapi akhirnya kalah dengan pujukan lelaki. Malangnya setelah berkahwin mereka salahkan suami kerana tidak beri cukup nafkah dan isteri pertama konon kawal suami.
''Sebenarnya pilihan di tangan anda, mahu bermadu atau tidak. Jika takut kena serang dan dikecewakan suami, jangan kahwin suami orang. Anda tidak patut kata berkahwin lebih baik daripada simpan kekasih gelap? Kenyataan ini hanya untuk menafikan gelaran perampas. Kekasih gelap ialah perampas suami orang secara sembunyi. Isteri kedua juga perampas. Bezanya, telah dirasmikan. Macam epal. Walau ada epal merah dan hijau, namanya tetap epal! Anda tetap perampas!
''Oleh itu jangan ambil, mencuri dan meminjam hak orang lain hatta sebesar zarah sekalipun, jika anda tidak mahu perkara yang sama berlaku kepada anda. Dalam cinta, wanita ialah musuh wanita." Itu pandangan Lela.
Demikian juga pengalaman pahit Puan Izani yang mendakwa hidupnya tertekan gara-gara gangguan orang ketiga. Bukan sekali dua suaminya tersangkut, banyak kali tapi kali ini serius. Itu ceritanya ketika kami bertemu baru-baru ini.
''Bayangkan setelah berbelas tahun berkahwin, ketika melahirkan anak ketiga suami buat hal. Mereka bertemu di tempat kerja, lantas berlarutan ke pusat-pusat hiburan. Bila dah bercinta, suami hilang pertimbangan. Fikirannya tidak pernah di rumah walaupun tubuh tersandar di kerusi. Kerana dia ghairah melayan keseronokan bercinta sambil bermain telefon dengan SMS.
''Ketika asyik bercinta, jangan cuba dekatkan diri dengannya apa lagi hendak bermesra, dia jadi hilang selera, sebab orang di luar sana telah lebih dahulu memenuhi nafsunya. Ketika itu bukan sahaja saya dibenci, anak-anak pun dia tak nampak.
''Curiga dengan perubahannya, saya siasat. Terkejut beruk saya apabila jumpa bil telefonnya hampir RM2,000. Semua nombor sama. Telefon dan SMS tak kira waktu, tengah malam pun ada. Ingatkan sebulan dua, rupanya dah lebih lima bulan suami saya Mz buat hal.
''Kerana mahu kepastian, saya telefon nombor tersebut, memang perempuan. Peliknya dia mendakwa tak kenal suami saya. Pabila saya kata saya bukan budak sekolah tadika, dia cepat-cepat letak telefon. Bila Mz balik, saya kena marah. Saya dituduh ganggu kerjanya konon wanita itu banyak membantu. Dia fikir saya bodoh, kalau setakat kerani di pejabat kawannya apa sangat yang dia boleh bantu?
''Lama juga aktiviti liar Mz berterusan. Waktu itu nasihat apa pun dia tak pakai hinggalah gajinya kena potong oleh majikan kerana panggilan telefon tak munasabah. Lepas itu hidup kami aman seketika hinggalah tiga tahun kemudian seleranya bertukar ke kelab malam. Di situ dia sangkut dengan GRO. Kali ini bil telefon tak banyak, tapi duit habis ke kelab.
''Hubungan dengan GRO Indonesia memang teruk. Saya dapat tahu ada dua orang kawannya terjebak kahwin dengan GRO itu kerana kelembutan dan urutan istimewa. Dah terjebak, daripada bisnes kawannya maju, akhirnya tinggal 'nyawa-nyawa ikan'.
''Puas saya nasihatkan Mz agar kembali ke pangkal jalan kerana anak-anak masih kecil dan bersekolah tapi bukan mudah. Melalui kawan saya berkenalan dengan salah seorang GRO, di situlah saya tahu aktiviti suami saya. Kerana sayangkan dia dan anak-anak, saya rayu GRO tersebut jangan ganggu suami saya. Entah macam mana mungkin doa saya dimakbulkan Allah, akhirnya Mz tersedar setelah melihat masalah perniagaan kawannya. Dia kembali ke pangkuan keluarga.
''Harapan saya supaya dia boleh bekerja dengan baik di samping menguruskan bisnes kecil-kecilan yang saya banyak bantu. Berkat kesabaran dan doa, bisnes kami maju.
''Malangnya apabila bisnes bertambah maju, kawan tambah ramai, Mz hilang pertimbangan, dia kembali melayan nafsu bercinta lagi. Kali ini dengan ibu tunggal muda yang dikenalkan oleh kawannya.
''Walaupun perkenalan masih baru tetapi Mz sudah lupa daratan.Duitnya banyak dilaburkan untuk wanita itu. Sejak akhir-akhir ini, dia sudah tak mahu lagi lihat muka saya. Dia lebih rela tidur atas kerusi panjang di ruang tamu daripada tidur di dalam bilik dengan saya.
''Mz juga sudah tidak lagi bercakap dengan anak-anak. Kalau dulu dia rajin juga berbual dan bergurau dengan mereka, mengajak berjalan ke bandar, membeli-belah dan sebagainya, sekarang kalau anak-anak tak tegur, dia langsung tidak bercakap. Malah adakalanya pertanyaaan anak-anak langsung tak dilayan. Dia khayal dalam dunianya sendiri.
''Sejak bercinta dia lepaskan semua tugas mengurus rumah, makan minum anak-anak, sekolah, tuisyen, pasar dan mendidik mereka kepada saya. Dia langsung tak ambil peduli. Walaupun dia beri belanja tetapi anak-anak perlukan bimbingan ayah mereka.
''Malangnya saya tak boleh lagi nasihat Mz. Dia bukan lagi suami yang saya kenal. Cepat naik angin. Dia pernah tanya, apa saya mahu? Dia akan beri! Saya tak mahu bercerai di usia lanjut. Biarlah Mz mendabik dada yang dia masih laku biarpun sudah berusia lebih 50 tahun.'' Itu cerita Izani tentang penderitaan yang terpaksa ditanggung apabila cintanya dirampas orang ketiga.
No comments:
Post a Comment
Tinggalkan Komen Anda Sini: