PENGALAMAN MANIS...pengunjung juga berpeluang mempelajari cara membuat wau.
JIKA dulu mereka dianggap gila dan melakukan kerja sia-sia oleh penduduk kampung sendiri, namun setelah lima tahun bertapak, akhirnya tiada siapa yang menidakkan kehebatan kumpulan wanita berhati waja ini.
Walaupun pernah dilemparkan dengan kata-kata yang mampu melemahkan semangat, semua tidak langsung memberi kesan kepada mereka, malah ia dijadikan pembakar semangat untuk terus berjaya.
Diketuai Rusnita Ngah, 40, kumpulan wanita yang ditubuhkan sejak 2007 itu semakin giat berusaha dan satu demi satu menunjukkan kejayaan membanggakan kepada wanita di Kampung Mangkok, Setiu, Terengganu.
Paling membanggakan apabila Rusnita yang menjadi Pengerusi Persatuan Wanita Kampung Mangkok, Setiu (Pewanis) membuka lembaran kehidupan baru kepada ahlinya dengan membantu menambah pendapatan wanita yang dulunya hanya suri rumah.
Menceritakan kembali pengalaman dan cabaran menubuhkan Pewanis, pengerusinya ada cerita menarik untuk dikongsi bersama.
“Saya akui untuk memulakan persatuan ini banyak cabarannya. Ia bermula apabila wakil daripada WWF-Malaysia datang dan kebetulan mereka menemui saya.
“Mereka mencadangkan saya menubuhkan kumpulan wanita yang tidak bekerja. Saya bersetuju dan mula mencari ahli dari rumah ke rumah untuk menarik suri rumah menyertai persatuan ini selama seminggu.
“Pada mulanya, mereka meragui kepentingan Pewanis kepada masyarakat khususnya golongan wanita menyebabkan ada antara ahli yang keluar daripada persatuan.
“Selepas ada ahli yang menarik balik penyertaan mereka, akhirnya saya dapat mengumpulkan empat wanita yang benar-benar percaya dengan keupayaan Pewanis,” jelas ibu kepada enam anak ini.
Selepas percaya dengan persatuan yang ditubuhkan, mereka berbincang untuk mengadakan aktiviti bagi menjana pendapatan dan perbelanjaan untuk aktiviti yang akan diadakan kelak.
Di bawah rumah kecil yang disewa sebanyak RM30 sebulan itu, mereka mengambil keputusan untuk memulakan aktiviti membuat kerepek pisang dan dihantar ke kedai berhampiran.
Malangnya, produk yang dihasilkan itu tidak memberi keuntungan kepada penjual kerana tidak mendapat sambutan.
Sekali lagi, mereka berlima memerah otak untuk membuat aktiviti lain bagi menarik perhatian bukan saja masyarakat setempat, bahkan pelancong tempatan mahupun asing.
Akhirnya, masing-masing bersetuju untuk membuat demonstrasi mengenai proses pembuatan kerepek pisang bermula daripada langkah awal hingga siap dibungkus dengan bayaran sebanyak RM10 setiap orang kepada yang berminat.
Kegiatan mereka bertambah aktif apabila menjengah 2008. Ketika itu WWF-Malaysia diambil alih River Foo yang bertindak sebagai Pegawai Kanan Perhubungan Komuniti Malaysia WWF-Malaysia.
“Melalui WWF-Malaysia, kami diberi pendedahan terhadap kepentingan menjaga alam sekitar terutama mengenai pokok bakau.
“Setelah berbincang dan berlandaskan suntikan semangat daripada WWF-Malaysia, tercetuslah idea menanam pokok bakau secara sukarela.
“Ia dilakukan kerana kami sedar serta memahami bahawa kehadiran pokok bakau melengkapkan ekosistem di kawasan sekitar dan memberi kesan kepada kedatangan pelancong,” katanya yang begitu mementingkan kebersihan alam sekitar.
Usaha yang dilakukan persatuan itu berjaya melahirkan barisan hadapan yang mempertahankan keseimbangan alam semula jadi termasuk flora dan fauna di kawasan mereka.
Setelah melihat impak besar terhadap aktiviti dilakukan, Pewanis iaitu kumpulan terdiri daripada wanita komuniti tempatan digabungkan di bawah pimpinan WWF-Malaysia dan Nestle (Malaysia) Bhd, mengorak langkah untuk mencari tempat sesuai bagi memberi keselesaan kepada pengunjung.
Akhirnya, mereka mengambil keputusan menyewa rumah dan dicat menggunakan warna merah jambu, sekali gus memberikannya nama Pink House.
Selain menjadi pusat aktiviti Pewanis, ia juga dianggap sebagai ikon untuk Kampung Mangkok kerana usaha murni mereka menjaga alam sekitar dan menjana pendapatan suri rumah.
Tidak hanya memberi fokus kepada penanaman bakau dan demonstrasi membuat kerepek pisang, Pewanis juga menjalankan program jelajah dari satu pasar ke pasar lain untuk memberi kesedaran kepada penjual agar menghentikan jualan telur penyu.
Ini kerana mereka memahami kandungan logam berat di dalam telur penyu memberi kesan kepada kesihatan pada masa akan datang. Ia juga dilakukan sebagai usaha bagi mengelakkan penyu yang semakin pupus di kawasan mereka.
Kini, usaha mereka menampakkan hasilnya. Melalui penyertaan ahli berjumlah 40 orang itu, mereka juga dapat melihat kejayaan apabila penduduk kampung mula sedar mengenai kepentingan menjaga alam sekitar dan ada kalangan mereka yang tidak lagi memakan telur penyu.
Tambah membanggakan, mereka juga menerima pelancong tempatan mahupun asing dari Singapura, China dan Amerika Syarikat selain pelajar, syarikat swasta serta badan bukan kerajaan (NGO) untuk datang ke Pink House kerana berminat dengan aktiviti dijalankan.
Kejayaan bermakna kepada Kampung Mangkok itu juga memberi kebanggaan kepada Mek Kiyah Yaacob, 42. Kesedaran untuk mengubah kehidupan keluarga membuatkan dirinya tekad menyertai Pewanis pada 2007.
Ibu kepada enam anak ini yang dulunya menjadi suri rumah kini berasa bangga dan bertuah kerana sejak menyertai Pewanis, ia secara tidak langsung memudahkannya mendapat pekerjaan bagi membantu suami yang bekerja sendiri untuk menambah pendapatan.
“Jika dulu, saya hanya suri rumah tetapi kini sudah bekerja setelah menyertai Pewanis bagi menambah pendapatan keluarga.
“Saya mengambil keputusan untuk menyertai Pewanis kerana ingin mengubah masa depan diri sendiri yang hanya duduk saja di rumah tanpa melakukan sebarang aktiviti bersama rakan lain.
“Tetapi setelah menyertai Pewanis, saya dapat rasakan perubahan pada diri sendiri. Saya berasa penyertaan ini membuatkan diri lebih berkeyakinan dan tidak lagi susah untuk bergaul dengan orang lain,” katanya yang bertindak sebagai bendahari persatuan wanita itu.
Walaupun pada waktu siang Mek Kiyah sibuk menjalankan tugas lain sebagai pekerja, dia tidak pernah ambil ringan mengenai Pewanis di sebelah malamnya.
Membuat kerepek pisang dan melayan tetamu yang datang sudah menjadi rutin bagi dia dan ahli Pewanis lain yang dilakukan bersama-sama.
“Persatuan ini memberi semangat kepada diri mengenai aktiviti berfaedah dan menjana pendapatan sampingan kepada penduduk kampung.
“Jika dulu rasa malu yang menebal ketika berjumpa orang kini dapat dihakis sedikit demi sedikit, apatah lagi diberi latihan dan ceramah untuk berhadapan dengan pelancong,” katanya yang begitu gembira kerana menjadi sebahagian daripada keluarga Pewanis.
Sementara itu, menurut Ahli Jawatankuasa Pewanis, Suriana Wahab, 36, menyertai persatuan wanita ini memberi peluang kepada dirinya untuk melawat negeri lain.
Pernah mengikuti lawatan hingga ke Semporna, Sabah, dia dan ahli Pewanis diberi peluang untuk mengenali kehidupan di kawasan terbabit di samping berkongsi idea bersama persatuan wanita di sana mengenai pengurusan kumpulan.
Tambah menarik, mereka didedahkan dengan masyarakat Bajau Laut yang begitu mementingkan kebersihan di kawasan sekitar mereka walaupun tempat yang agak sempit kerana sedar mengenai kepentingannya kepada ekosistem.
“Saya berasa seronok kerana dapat melihat sendiri sikap mereka yang begitu mementingkan kebersihan alam sekitar walaupun kawasan diduduki agak sempit.
“Ia sedikit sebanyak dapat membuka minda mengenai sikap mereka membabitkan kebersihan dan pengetahuan ini boleh dibawa balik ke sini bagi memberi kesedaran kepada diri sendiri serta masyarakat,” katanya yang mengakui kini sudah bijak menghias diri ketika berhadapan dengan orang lain.
Jelasnya, dulu dia hanya mengenakan kain batik dan baju-T di rumah dan setelah menyertai Pewanis, Suriana sudah bijak bergaya untuk tampil lebih kemas di hadapan tetamu.
Tambahan pula, dia juga berani untuk berkomunikasi di hadapan orang ramai, membuatkan penampilan diri bertambah yakin.
Tidak hanya pandai berkomunikasi dan bergaya, Suriana juga memiliki peluang untuk membantu menambah pendapatan suami yang bekerja sebagai pegawai keselamatan di sekolah bagi menyara empat anaknya.
“Sebelum menyertai Pewanis, semua keperluan dan keinginan dibiayai suami.
Tetapi kini, saya sudah boleh membantu suami kerana mendapat pekerjaan di tempat peranginan berdekatan.
“Pada waktu malam pula, saya berkumpul di Pink House untuk sama-sama berbincang mengenai perkembangan Pewanis.
“Saya bertuah kerana suami banyak menyokong untuk menyertai sebarang aktiviti yang dijalankan Pewanis berbanding hanya duduk berbual saja di rumah tanpa mendatangkan apa-apa manfaat,” katanya.
No comments:
Post a Comment
Tinggalkan Komen Anda Sini: