Sunday, July 15, 2012

OEM mohon maaf


SAMI tidak dapat meneruskan konsertnya seperti yang dijadualkan pada malam tadi kerana sebab yang tidak dapat dielakkan.


KONSERT Salaam penyanyi Sami Yusuf yang berlangsung buat julung-julung kali di Kota Singa pada hujung minggu lalu berlangsung dalam suasana meriah.

Kira-kira 3,000 orang penonton memenuhi ruang Stadium Tertutup Singapura di Kallang, Singapura pada malam Ahad lalu bagi menyaksikan persembahan tersebut.

Sami yang menyampaikan lagu-lagu popularnya seperti Healing, The Source, Ya Muhammad dan Make Me Strong itu mengundang keterujaan peminat di Malaysia kerana dia turut dijadualkan mengadakan konsert sama di sini semalam.

Bagaimanapun peminat di Malaysia terpaksa berputih mata apabila penganjur mengumumkan konsert tersebut ditunda pada saat-saat akhir Khamis lalu kepada satu tarikh yang akan diumumkan kelak.

Pihak penganjur, Offshore Entertainment Production (OEM) yang bertanggungjawab membawa Sami ke Kuala Lumpur dan Singapura memohon maaf kepada mereka yang sudah membeli tiket.

"Kami memohon maaf kepada peminat dan pembeli tiket yang telah membeli tiket konsert tersebut kerana penundaan ini. Ucapan terima kasih juga kepada semua pihak kerana menyokong usaha penganjuran konsert ini," ujar wakil OEM, Shuhainie Shamsudin ketika dihubungi Sensasi Bintang.

Konsert tersebut dijadualkan diadakan di Stadium Malawati, Shah Alam, Selangor pada pukul 9 malam tadi.

Pihak OEM bagaimanapun enggan mengulas lanjut mengenai sebab-sebab pembatalan tersebut. Pihaknya tidak dapat mengeluarkan sebarang kenyataan kerana ia melibatkan proses guaman.

Bagaimanapun Shuhainie menjelaskan bahawa pihaknya telah mengadakan persiapan akhir di stadium terbabit beberapa hari menjelang konsert.

"Pentas konsert dan kesemua kelengkapan telah pun disiapkan sejak Selasa lepas. Namun, pihak kami tidak menjangkakan tentang penangguhan ini," kata Shuhainie.

Konsert yang dijadualkan diadakan di malam tadi itu seperti perancangan asal menampilkan penyanyi Datuk Siti Nurhaliza dan pemuzik Mohram di samping kumpulan nasyid Rabbani dan UNIC sebagai pembuka konsert.

Penyanyi kelahiran Teheran, Iran dan membesar di London itu dijadualkan berduet dengan Datuk Siti Nurhaliza melalui lagu You Came To Me.

OEM turut menggesa peminat yang telah membeli tiket tersebut untuk menebus semula wang tunai masing-masing dengan melayari laman web www.airasiaredtix.com.

"Kami akan mengembalikan semula wang tunai mengikut harga tiket yang dibeli. Semula tiket perlu ditebus dalam tempoh 14 hari bermula hari Sabtu (14 Julai) daripada ejen-ejen tiket yang dilantik," kata Shuhainie lagi.

No comments:

Post a Comment

Tinggalkan Komen Anda Sini: