|
|
AKIM AHMAD melafazkan keterujaannya. Laksana mendapat anak pertama apabila album perdana dengan tajuk Akim Ahmad keluar menghadap pendengaran khalayak.
Dia turut berkongsi gelisah, kalau-kalau album ini tidak mendapat perhatian tetapi katanya, dia sudah berbuat sehabis baik dalam menghasilkan buah tangan yang sudah lama dinantikannya ini.
Terdapat 10 buah lagu dalam albumnya itu termasuk tujuh buah lagu baharu, manakala tiga buah lagu popularnya iaitu Inilah Cinta, Bengang dan Janji dihasilkan dalam bentuk akustik.
Antara lagu baharu dalam album tersebut ialah Daya Cinta, Menunggu, Tentang Dia, Yang Nyata, Dunia dan Syurga, Mesti Ada Cinta dan Kembali.
Dalam kesemua lagu yang dinyanyikan, Akim memberitahu, lagu berjudul Daya Cinta merupakan lagu yang paling sukar untuk dihasilkan.
“Boleh dikatakan lagu tersebut memang paling mencabar buat diri saya berbanding lagu-lagu lain. Untuk mendapatkan penghayatan serta hasil yang terbaik saya terpaksa menangis semasa merakam lagu itu,” yang mahu dikenali sebagai penyanyi dan komposer.
Ujar Akim lagi, lima tahun daripada sekarang dia mahu fokus dengan kerja-kerja belakang tabir. Vokalis dengan nada tersendiri ini kuat bercita-cita menghasilkan banyak lagu-lagu dan lirik dan bergelar seorang komposer.
ILHAM HATI
Ilham memang daripada jiwa dan hati saya. Sebab itu untuk album perdana saya, banyak lagu dan lirik yang saya ilhamkan sendiri. Tetapi saya turut berkolaborasi dengan komposer lain seperti Omar K dan Audi Mok. Ilham datang bila-bila masa. Saya hairan bila yang menganggap muzik itu haram sedangkan ilham membuat muzik itu datang dari Allah juga.
KENA PAKSA MAIN GITAR
Saya belajar main gitar sejak tingkatan satu kerana dipaksa seorang teman. Katanya, saya hanya asyik menyanyi dan ada baiknya saya belajar main gitar. Kami dahulu sama-sama terlibat dalam sebuah grup. Kemudian saya cuba main piano. Saya berhasrat untuk belajar bermian piano selepas puasa dan raya nanti. Itu cita-cita saya.
PENGARUH BESAR
Dalam hidup saya, ayah dan ibu adalah pengaruh terbesar saya. Tanpa mereka, saya tidak akan muncul dengan sebuah album dan berdiri tegak seperti sekarang. Kalau dalam muzik, saya tidak meletakkan satu pengaruh khas dalam mendengar. Saya dengar variasi kerana mahu mempelbagaikan ilmu dan pengamatan dalam muzik. Tetapi kalau pengaruh kuat adalah daripada grup-grup dari Sweden dan Britain seperti Abba.
MASA ITU EMAS
Saya suka mengumpul jam kerana bagi saya masa itu emas. Hobi mengumpul jam ini memang sejak daripada sekolah lagi dan saya menyimpan baik semua jam yang saya beli. Saya cenderung membeli jam jenama Seiko. Saya juga ada kumpul cermin mata tetapi tidaklah menjaga sebaik jam.
MULUT MANIS
Saya memang seorang yang bermulut manis. Barulah perempuan suka kalau lelaki bermulut manis (ketawa besar). Tidaklah, ini kerana saya dibesarkan dalam famili yang tidak bermasalah dan sangat mengambil berat. Bagi saya dengan berkata-kata manis maksudnya kita menghargai.
RAGUT
Saya menasihatkan agar kaum Hawa berjalan dengan kaum Adam dan jangan jalan bersendirian. Jika tidak pun, jalan dengan seseorang yang mempunyai kudrat lebih daripada dirinya. Ini untuk pertahanan daripada menjadi mangsa ragut.
No comments:
Post a Comment
Tinggalkan Komen Anda Sini: