Saturday, July 7, 2012

Momen ManisKonsert The Legendary


DARI kiri, Zainal, Sheila, Amy dan Jamal memukau penonton di pentas persembahan.


STADIUM Merdeka, Kuala Lumpur malam 30 Jun lalu bergema dengan sebuah konsert yang sekian lama dinanti peminat. Bagi peminat tegar empat figura yang bergabung di atas satu pentas buat pertama kalinya, melepaskan konsert tersebut, bererti melepaskan sejarah yang tidak akan berulang kembali.

Nun di tengah padang, di atas panggung, silih berganti empat diva membuat persembahan. Bukan calang-calang figura. Mereka sudah membina reputasi dan punya tanda aras sendiri dalam industri seni, sebab itu, selayaknya juga, konsert yang menggabungkan mereka berempat digelar Konsert The Legendary.

Mereka, terdiri daripada satu-satunya penyanyi wanita iaitu Datuk Sheila Majid yang bergabung dengan tiga hero muzik tempatan, Jamal Abdillah, Zainal Abidin dan Amy Search.

Satu gabungan yang cukup mencetus magis tanpa sempadan. Sementelah, mana mungkin menidakkan kredibiliti mereka berempat yang sudah terukir indah dalam kanvas seni.

Selepas beberapa siri jelajah termasuk di Sabah, Pulau Pinang dan Johor Bahru, pengakhiran konsert yang ditutup di Kuala Lumpur merupakan penutup yang telah meninggalkan momentum terbaik untuk semua peminat mereka.

Masakan tidak, mendengar lunak dan lenggok indah vokal Sheila dalam untaian lagu indah lagi malar segar miliknya seperti Pengemis Muda, Warna, Sinaran, Aku Cinta Padamu juga Ku Mohon telah cukup mengubat kerinduan buat penyanyi hebat tersebut yang telah lama tidak membuat persembahan secara terbuka. Persona Sheila tidak perlu diterjemah dalam tulisan, cukup dalam senyuman puas setiap peminatnya pada malam itu.

Ia kemudian disambung dengan kehebatan vokal lelaki milik Jamal Abdillah. Tanpa memerlukan banyak gimik, Jamal yang terkenal dengan vokal konsistennya membuai emosi dan mengajak lebih 6,000 penonton 'berpesta' dengannya. Lagu-lagu yang cukup sinonim dengannya seperti Azura, Penghujung Rindu dan Kekasih Awal dan Akhir serta Gadis Melayu menjadi santapan buah semua yang hadir.

Tidak ketinggalan, penghibur tersebut mendendangkan lagu duet ciptaan Malique, Aku Maafkan Kamu sebelum pentas diisi oleh teman seperjuangan seterusnya, Zainal Abidin.

AMY SEARCH menyempurnakan lagi kehebatan Konsert The Legendary di Stadium Merdeka, Kuala Lumpur 30 Jun lalu.


Zainal Abidin yang juga penggerak utama konsert tersebut kemudian menyambung keunggulan malam tersebut dengan beberapa lagu hit miliknya termasuk Suraya, Memori Luka, Orak Orek Kamu, Alam, Hijau dan Bongkar. Kelincahan Zainal dan senyum manis serta celotehnya menjadi pemikat tambahan buat penyanyi ini.

Kehangatan malam yang hampir berpenghujung disempurnakan oleh persembahan Amy Search dengan lagu-lagu seperti Kongkang, Kerja Gila, Aku Dah Bosan dan tentunya, Isabella yang seperti menjadi lagu rasmi vokalis Search tersebut.

Tidak banyak yang boleh diulas mengenai konsert tersebut kerana ia telah berjalan dengan lancar dan mencapai piawaian konsert yang dibarisi figura hebat seperti mereka berempat. Ia menjadi lebih sempurna apabila pencahayaan pentas dan sistem bunyi yang menjadi penyokong utama sesebuah konsert berada dalam gred A yang kemudian berpadu dengan empat figura yang tahu bagaimana untuk memberi hiburan luar biasa kepada pencinta mereka.

Semuanya tentang Konsert The Legendary, biar dalam siri jelajah mereka ada yang tidak dapat disempurnakan (konsert di Sarawak terpaksa dibatalkan kerana tidak mendapat sambutan), juga barangkali terdapat kekangan dalam beberapa situasi, penutup di Stadium Merdeka adalah satu momen manis yang tak mungkin dilupakan.

No comments:

Post a Comment

Tinggalkan Komen Anda Sini: