Saturday, July 7, 2012

Hubungan selesa Pinkan-Febry

PINKAN RATNASARI MAMBO


BEKAS duo kumpulan Ratu, Pinkan Ratnasari Mambo atau nama pentasnya Pinkan Mambo, 31, lebih selesa berbicara perihal kerjaya, album dan matlamat hidup berbanding sisi peribadi.

Namun, saat ditanya mengenai kisah cintanya bersama pemain bola sepak Medan Chief, Febrianto Wijaya, Pinkan tidak menolak.

Malah katanya mereka kini bahagia bersama biarpun belum merancang untuk menoktahkan percintaan mereka ke titik pernikahan.

"Kami sudah bersama lebih setahun dan saya selesa bersamanya. Dia pun selalu meluangkan masa bersama saya dan mengajar anak lelaki saya bermain bola sepak," ujar ibu kepada Mohd Alfa Razel, 7 dan Michelle Ashley Razel, 6.

Soal kahwin, ujar Pinkan: "Kami ada merancang cuma belum tegaskan lagi saat yang sesuai. Buat masa sekarang berdoa saja."

Pinkan dan Febrianto mula berpacaran sejak penyanyi itu membuat persembahan di sebuah pulau persendirian di Indonesia lebih kurang setahun lalu untuk meraikan kejayaan pasukan bola sepak Febrianto. Mereka mulai serius selepas sebulan perkenalan.

Sebelum itu, Pinkan pernah menjalinkan hubungan dengan Sandy Sanjaya dan dikurniakan dua orang cahaya mata. Namun, berpisah sekitar tahun 2009.

Menguruskan kerjaya dan dua orang anak yang sedang membesar bukan tugas mudah bagi Pinkan. Katanya, dia perlu lebih pintar memanipulasi waktu untuk keluarga dan karier.

"Tugas seorang ibu tunggal bukan mudah dan saya perlu pintar menguruskan masa. Kadangkala terpaksa mencuri waktu untuk berlibur dengan anak-anak," ceritanya yang ditemui ketika sidang akhbar pelancaran album ketiganya, Tentang Cinta di pejabat Sony Music Malaysia, Kuala Lumpur baru-baru ini.

Menghurai dengan lebih lanjut album Tentang Cinta yang mencerminkan kematangan imej dan muzik penyanyi kelahiran Jakarta Indonesia itu, kata Pinkan ia lebih mengetengahkan unsur cinta.

"Cinta menjadi tema menarik untuk diangkat ke dalam album ini dan antara lagu yang benar-benar menyentuh perasaan saya adalah lagu Tentang Cinta ciptaan Ade Govinda," katanya.

Selain itu, lagu-lagu lain yang dimuatkan dalam album 13 lagu itu adalah Cintaku Dimutilasi, Jangan Pergi, Menunggu, Diam, Memaafkanmu, Rindu Menggila dan lagu duet bersama Titiek Puspa berjudul Si Hitam.

Pinkan menyifatkan kedatangannya ke Kuala Lumpur baru-baru ini membuka peluang baru untuk lebih serius berkarier di Malaysia.

Malah, dia berhasrat untuk merakamkan sebuah lagu bersama Awi Rafael yang dikatakan mempunyai gaya luar biasa ketika beraksi di atas pentas.

No comments:

Post a Comment

Tinggalkan Komen Anda Sini: