Tuesday, July 17, 2012

Mengekalkan warisan India Muslim

DUA pelancong asing menyaksikan Mohd. Salem Abu Backer menunjukkan kepakarannya menebar roti canai.


MASYARAKAT India Muslim juga dikenali sebagai mamak adalah merujuk kepada entik Tamil beragama Islam yang mula berhijrah ke Tanah Melayu sekitar abad ke-17 atau lebih awal lagi.

Mengikut catatan sejarah, Pulau Pinang atau dikenali sebagai Prince of Wales semasa dibuka oleh Sir Francis Light menjadi antara destinasi penghijrahan masyarakat itu ke Tanah Melayu.

Pada suatu ketika, bandar George Town menjadi penempatan kira-kira 1,000 peniaga India Muslim seawal abad ke-18 sebelum jumlah itu berkembang.

Kedudukan strategik Pulau Pinang sebagai negeri pelabuhan terkenal selain Singapura menjadi tarikan etnik India Muslim dari pelbagai negeri di India seperti Tamil Nadu, Kerala, Malabar, Bengal, Gujerat dan Bombay.

Bagi pewaris masyarakat India Muslim di Pulau Mutiara hari ini, adalah penting untuk mereka mengekalkan warisan dahulu malah, mendidik golongan muda mengenai susur galur keluarga besar tersebut.

Untuk memastikan ia terus dipulihara, masyarakat India Muslim yang kini menjangkau lebih 100,000 orang di Pulau Pinang menganjurkan Festival Kebudayaan dan Warisan India Muslim (IMCHC) sebagai satu acara tahunan.

Festival terbesar

Dalam kalendar pelancongan negeri, IMCHC pula merupakan acara yang amat dinanti-nantikan semasa sambutan Ulang Tahun Bandar Warisan George Town.

Buktinya, IMCHC 2012 yang berlangsung di perkarangan Masjid Kapitan Keling di Lebuh Buckingham baru-baru ini berjaya menarik kira-kira 10,000 pengunjung termasuk pelancong luar negara.

Memasuki tahun kedua penganjurannya, IMCHC 2012 yang dikelolakan bersama oleh Pengurusan Masjid Kapitan Keling dan Komuniti India Muslim Malaysia.

Sepanjang hari itu, perkarangan Masjid Kapitan Keling bertukar wajah menjadi ‘galeri hidup’ warisan serta kebudayaan masyarakat itu meliputi demonstrasi penyediaan makanan, perniagaan, permainan dan sejarah.

Dewan Makam Nordin dalam perkarangan masjid tersebut turut mempamerkan khazanah masyarakat India Muslim antaranya seni bela diri kalari payat, warisan tulisan Arab-Tamil dan adat perkahwinan.

Senario penjual nasi kandar pada zaman silam menggunakan kayu (kandar) serta suasana niaga di pelabuhan yang dihidupkan di sini turut mencuri mencuri tumpuan apabila tidak lekang daripada lensa pengunjung.

Biarpun makanan popular seperti pasembur, nasi kandar dan putu mayam warisan masyarakat India Muslim, tetapi ada pengunjung yang beranggapan ia diperkenalkan pedagang India semasa berlabuh di Tanah Melayu.

Selain itu, pengunjung turut dihiburkan dengan persembahan kebudayaan masyarakat berkenaan yang jarang-jarang dapat ditonton seperti qawali (permainan gendang dan kompang Arab) serta aksi pendekar kalari payat.

Begitu juga kejayaan perniagaan India Muslim Pulau Pinang seperti Barkath Foods yang merupakan pengilang gula-gula Hacks dan jus minuman Sunquick serta Mohamed Meera Sahib Sdn. Bhd. sebagai pengimport kurma terbesar di utara tanah air.

Cipta rekod Malaysia

Tarikan utama IMCHC kali ini adalah cubaan mencipta susunan roti canai terpanjang untuk dicatatkan dalam Malaysia Book of Records (MBOR).

Ternyata, usaha 15 penebar bersama dua penguli beberapa restoran terkenal menyiapkan 2,786 keping roti canai selama enam jam berbaloi apabila susunannya sepanjang 400 meter diiktiraf MBOR sebagai roti canai terpanjang.

Kerja menyusunnya oleh 30 sukarelawan sahaja mengambil masa dua jam. Cubaan mencipta rekod yang julung-julung kali dilakukan itu bagi memartabatkan roti canai iaitu hidangan sinonim dengan masyarakat India Muslim yang kini menjadi makanan seluruh rakyat Malaysia.

Sementara itu, Penyelaras IMCHC 2012, Mohd. Rizwan Abdul Ghafoor Khan berkata, penganjuran program itu bagi mempromosi adat resam dan amalan tradisi masyarakat India Muslim kepada orang ramai khususnya generasi muda agar tidak dilupakan begitu sahaja.

Menurutnya, penganjuran seperti itu dapat memberi kefahaman kepada kaum-kaum lain seperti Melayu, Cina dan India serta pelancong asing berhubung peranan serta sumbangan yang telah dimainkan oleh masyarakat itu di negeri ini sejak dulu lagi.

Daripada raut wajah para pengunjung, ternyata mereka berpuas hati dan gembira kerana dapat mengenali serta menikmati keunikan masyarakat yang sudah lama bertapak khususnya di Pulau Pinang.

Seorang pelancong dari England, William Stiendl memberitahu, dia amat bertuah kerana dapat mempelajari serta menyelami keunikan budaya dan warisan masyarakat India Muslim.

Meskipun sudah merantau ke beberapa buah negara sebelum ini, pengalaman seperti itu tidak dapat diperoleh di tempat-tempat lain.

“Walaupun sudah lima kali mengunjungi Malaysia, hanya di Pulau Pinang saya dapat melihat dan merasai keunikan masyarakat India Muslim,” katanya.

No comments:

Post a Comment

Tinggalkan Komen Anda Sini: