Thursday, July 5, 2012

Mahu pembelaan sewajarnya



DALAM industri hiburan tempatan, golongan artis terutamanya pelakon dan penyanyi biasanya akan bernaung di bawah persatuan yang memainkan peranan utama untuk menjaga kebajikan ahli-ahlinya.

Beberapa persatuan seperti Persatuan Seniman Malaysia (Seniman), Persatuan Karyawan Malaysia (Karyawan) dan Persatuan Penyanyi, Pemuzik, Penulis Lagu Tanah Air (Papita) sememangnya sudah cukup sinonim dalam kalangan penggiat seni.

Sekiranya terdapat artis yang berhadapan dengan masalah kewangan atau kesihatan, biasanya persatuan sebegini yang dilihat akan tampil untuk membantu atau menghulurkan sumbangan kepada yang memerlukan.

Bagaimanapun, terdapat lagi sebuah persatuan yang turut bergiat aktif dalam industri seni iaitu Persatuan Pekerja Profesional Filem Malaysia (Profima) yang turut bernaung di bawah Gabungan Persatuan Karyawan Filem Malaysia (Gafim).

Biarpun persatuan ini agak kurang dikenali ramai, Profima sebenarnya merupakan sebuah persatuan yang ditubuhkan khusus untuk golongan pekerja belakang tabir atau kru produksi.

Menyingkap serba sedikit mengenai sejarah Profima, ia mula ditubuhkan pada tahun 1993 dan dikenali sebagai Persatuan Pekerja Filem Malaysia (PPFM). Namun, pada tahun 2009 nama persatuan ini diubah kepada Profima.

Diterajui oleh Khir Mohd. Noor yang kini bertindak sebagai Presiden Profima, sehingga tahun 2012 persatuan berkenaan telah mempunyai ahli yang berdaftar sebanyak 11,117 orang.

Menurut Khir, terdapat 102 bidang tugas profesional di balik tabir seperti penerbit eksekitif, pengarah fotografi, jurukamera, pereka produksi, pengarah seni, pengurus produksi dan lain-lain lagi.

"Matlamat Profima sebenarnya agak sama dengan persatuan-persatuan lain iaitu bertujuan menjaga kebajikan para ahli yang terdiri daripada pekerja belakang tabir serta aktif dalam penerbitan filem, drama, dokumentari dan iklan.

"Sehingga kini persatuan ini juga telah melahirkan pelbagai tenaga kerja profesional dalam bidang masing-masing dan ada yang pernah berkhidmat dengan syarikat produksi antarabangsa," ujarnya.


PEMBAYARAN yang kurang setimpal dengan hasil kerja pekerja belakang tabir menjadi satu isu dalam kalangan mereka. Ia bagaimanapun ditepis pihak produksi yang mendakwa bayaran yang diberi setimpal dengan pekerjaan yang dibuat.


Jelas Khir, sepanjang tiga tahun menerajui persatuan tersebut, terdapat beberapa pembaharuan yang dilakukan seperti menukar nama dan logo persatuan ketika mula-mula dilantik sebagai presiden.

Ujarnya, dia turut memberi penekanan kepada mereka yang mahu mendaftar sebagai ahli Profima perlu memiliki insurans sebagai jaminan sekiranya berlaku perkara yang tidak diingini.

"Bagi saya insurans ini memang sangat penting kerana ia membantu kerana para pekerja belakang tabir sebenarnya turut berdepan dengan risiko yang besar terutamanya mengalami kemalangan.

"Pihak persatuan memberi kebebasan kepada para ahli untuk memilih sebarang insurans, malah Profima turut menyediakan insurans dengan jumlah bayaran yang sangat murah iaitu RM35 setahun," jelasnya.

Katanya lagi, insurans yang disediakan oleh Profima bukan sahaja merangkumi kemalangan sewaktu bekerja, tetapi ahli turut layak mengemukakan jumlah tuntutan apabila berlaku kemalangan di luar waktu bekerja.

Sementara itu, sebagai sebuah persatuan yang memiliki lebih 11,000 ahli, Khir menyatakan, persatuan berkenaan turut menitikberatkan mengenai kebajikan ahli sewaktu bekerja.

Ujar Khir, tidak dinafikan terdapat segelintir syarikat produksi atau penerbit yang dilihat tidak menjaga kebajikan pekerja seperti mengabaikan makan dan minum serta kerja lebih masa sehingga 18 jam sehari tanpa mendapat bayaran yang setimpal.

"Itulah antara masalah yang sering dihadapi oleh pekerja belakang tabir dan akhirnya mereka membuat aduan kepada persatuan. Segala aduan yang diterima itu akan dipertimbangkan untuk tindakan selanjutnya.

"Biasanya, setelah menerima aduan pihak kami akan terus turun ke lokasi untuk menyiasat mengenai aduan tersebut. Kalau memang benar perkara tersebut berlaku kami akan menasihati penerbit supaya tidak mengabaikan pekerja," jelasnya.

Selain itu, Khir juga memberitahu, satu lagi dilema yang sering dihadapi oleh pekerja belakang tabir adalah mengenai bayaran yang diterima oleh mereka sangat kecil ketika terbabit dalam sesebuah penggambaran.


KEBANYAKAN pekerja belakang tabir dikatakan menerima bayaran yang rendah kerana kos pembikinan sesebuah naskhah bertambah.


Jelasnya, sebagai contoh seorang pengurus produksi sekadar mendapat bayaran sebanyak RM1,800 untuk penggambaran sebuah telefilem, manakala ada jurukamera yang dibayar hanya RM300 untuk satu episod drama.

"Melalui pemerhatian saya sendiri, kira-kira 80 peratus pekerja belakang tabir tidak mampu untuk memiliki rumah sendiri kerana pendapatan yang kecil dan ia berpunca daripada jumlah bayaran yang mereka terima.

"Jadi, buat masa ini isu berkenaan yang sedang kami usaha untuk pertahankan dan berharap jumlah bayaran kepada pekerja belakang tabir dapat dinaikkan serta bersesuaian dengan taraf hidup sekarang," tegasnya yang mahukan penerbit lebih bertimbang rasa mengenai bayaran.

Ujarnya, jika keadaan sebegitu terus berlaku tanpa ada sebarang pertimbangan, tidak mustahil graduan lepasan universiti atau kolej dalam bidang perfileman tidak berminat untuk berkecimpung dalam kerja-kerja belakang tabir.

Naikkan bayaran

Mengulas mengenai jumlah bayaran rendah yang diterima oleh pekerja belakang tabir, Presiden Persatuan Penerbit Televisyen Malaysia (PTVM), Jurey Latiff Rosli mengakui keadaan tersebut benar-benar berlaku.

Jelas Jurey, salah satu punca situasi sebegitu berlaku kerana penerbit drama masih lagi menerima jumlah bayaran yang sama sejak 17 tahun lalu daripada stesen televisyen untuk sesebuah drama atau telefilem.

"Pada hari ini kos untuk menerbitkan drama dan telefilem kini sudah meningkat dua kali ganda. Jadi, kami terpaksa memberi bayaran yang rendah kepada pekerja belakang tabir.

"Sebenarnya pihak kami sudah melakukan perbincangan dengan pihak stesen televisyen supaya jumlah bayaran dapat dinaikkan, tetapi sampai sekarang masih belum ada lagi perubahan," jelasnya.

Tambah Jurey, pihak penerbit juga tidak mendapat sebarang bayaran apabila sesebuah drama atau telefilem itu diulang siar banyak kali kerana sudah termaktub dalam kontrak bahawa hak cipta sesebuah penerbitan sudah menjadi milik stesen televisyen sepenuhnya.

"Penyelesaian untuk mengatasi masalah yang berlaku ini lebih mudah kalau stesen televisyen bersetuju menaikkan kadar bayaran. Pihak penerbit juga tiada masalah untuk menaikkan kadar bayaran kepada pekerja-pekerja belakang tabir," ujarnya.

Tiada isu


SERAMAI 11,000 pekerja belakang tabir mendaftar sebagai ahli Persatuan Pekerja Profesional Filem Malaysia (Profima) yang menjaga kebajikan mereka.


Penerbit Excellent Pictures Sdn. Bhd., Ahmad Idham Ahmad Nadzri pula mempunyai pandangan yang sebaliknya dengan menegaskan tiada isu yang perlu diperkatakan mengenai bayaran kepada pekerja belakang tabir.

Menurut Idham, isu mengenai bayaran timbul apabila ada cakap-cakap belakang segelintir pihak yang tidak berpuas hati, sedangkan dia menyifatkan bayaran yang diterima kebanyakan pekerja belakang tabir tidaklah terlalu rendah.

"Sebelum bermulanya sesuatu penggambaran, saya akan memberitahu bayaran yang akan diberikan kepada pekerja belakang tabir. Mereka ada hak untuk terima atau tolak sekiranya tidak berpuas hati dengan jumlah tersebut.

"Namun, apa yang menghairankan saya apabila ada segelintirnya yang meluahkan rasa kurang senang dengan jumlah yang diterima. Kalau mereka rasakan terlalu rendah, kenapa pula mereka bersetuju menerimanya sebelum itu," ujarnya.

Menurut Idham, dia tidak merasakan bayaran kepada pekerja belakang tabir terlalu rendah dengan memberi contoh seorang pekerja yang menguruskan makan dan minum semasa penggambaran boleh mendapat bayaran RM800 untuk tempoh bekerja selama lapan hari.

"Sebagai seorang penerbit saya ada hak untuk menentukan berapa jumlah yang saya akan bayar. Sekiranya berpuas hati sudah tentu mereka terima sahaja dan sebab itu saya rasakan isu mengenai bayaran ini tidak perlu dibangkitkan," ujarnya yang mengamalkan waktu kerja tidak melebihi 12 jam sehari kepada pekerjanya.

No comments:

Post a Comment

Tinggalkan Komen Anda Sini: