
SELAMA ini golongan pelakon sering diberi penghargaan menerusi pelbagai acara yang dianjurkan untuk memberi pengiktirafan kepada bakat mereka dalam bidang seni, namun hasil kerja para pekerja belakang tabir turut diiktiraf oleh Persatuan Pekerja Profesional Filem Malaysia (Profima) menerusi Anugerah Profima.
Sudah memasuki edisi yang ke-9 pada tahun ini, Anugerah Profima 2011 telah berlangsung di Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC) pada 1 Julai lalu dengan menghimpunkan seramai 700 pekerja belakang tabir.
Ketua Setiausaha Kementerian Penerangan, Komunikasi Dan Kebudayaan, Datuk Seri Kamaruddin Siaraf berkata, para pekerja belakang tabir sememangnya wajar mendapat pengiktirafan kerana sumbangan yang diberikan dalam pembangunan industri seni tempatan.
“Selain pelakon, kerja-kerja belakang tabir seperti pengurus produksi, jurukamera, jurusolek dan juruaudio juga memainkan peranan yang sangat penting dalam penerbitan sesebuah filem atau drama.
“Dengan adanya penganjuran anugerah sebegini, sudah tentu ia akan menjadi kayu pengukur kepada kepakaran dalam bidang masing-masing dan mendorong mereka supaya lebih berdaya saing,” ujarnya sewaktu menyampaikan ucapan pada acara pembukaan Anugerah Profima 2011.
Menurut Kamaruddin, pihak kerajaan turut menghargai sumbangan yang diberikan oleh para pekerja belakang tabir atau kru produksi dengan pelbagai kemudahan yang disediakan serta menyokong sepenuhnya penganjuran anugerah tersebut.
Sementara itu, Presiden Profima, Khir Mohd. Noor memberitahu, Anugerah Profima pada tahun ini dilihat lebih baik berbanding tahun-tahun sebelumnya dan gembira kerana hasrat untuk mengadakannya di PWTC akhirnya terlaksana.
Ujarnya, pemilihan PWTC sebagai lokasi acara Anugerah Profima 2011 dibuat kerana pihaknya mahu membuktikan bahawa anugerah tersebut setanding dengan acara-acara anugerah yang lain.
“Walaupun Profima tidak mempunyai dana yang besar, tetapi kami mahu acara anugerah ini dapat berlangsung dengan lancar kerana ia merupakan anugerah yang sepenuhnya memberikan pengiktirafan kepada pekerja belakang tabir,” ujarnya.
Pada kali ini, Anugerah Profima 2011 telah mempertandingkan sebanyak 66 anugerah berbanding 62 pada tahun sebelumnya meliputi kategori filem, telefilem, filem pendek, drama, program tv, animasi, dokumentari, multiple camera production (MCP), iklan dan majalah.
Berjalan lancar
Walaupun anugerah yang dianjurkan bertujuan untuk memberi pengiktirafan kepada golongan tenaga kerja belakang tabir, namun sedikit mengecewakan apabila tidak ramai individu yang berjaya meraih anugerah hadir dan hanya wakil yang mengambil trofi kemenangan.
Mengulas mengenai keadaan yang berlaku, Khir menjelaskan dia tidak menyalahkan mereka yang tidak dapat hadir dan menganggap ketiadaan mereka disebabkan terikat dengan jadual penggambaran.
Mengenai kos penganjuran pula, Khir memberitahu pihaknya telah membelanjakan sebanyak RM400,000 termasuk menggunakan tenaga profesional untuk mengendalikan acara serta bayaran persembahan artis, set pentas dan pencahayaan.
No comments:
Post a Comment
Tinggalkan Komen Anda Sini: