Saturday, July 21, 2012

Lawatan kebajikan

Kakitangan L'Occitane sempat mengadakan parti kejutan hari jadi untuk Ummul Aqilah Sheikh Dawood ketika sesi lawatan ke Kompleks MAB, Kuala Lumpur, baru-baru ini.

Ternyata begitu kental semangat mereka yang cacat penglihatan untuk meneruskan kehidupan seharian dalam melakukan pelbagai tugas hanya bertemankan 'cahaya hati' dan 'tongkat sakti' demi membantu mengurangkan kepayahan hidup.

Itulah ungkapan yang menjurus kepada insan cacat penglihatan di Kompleks Persatuan Orang Buta (MAB) di Jalan Tun Sambanthan, Kuala Lumpur. Rata-rata mereka seperti sudah biasa hidup berdikari, bekerja dan menerima pelbagai latihan intensif di situ.

Justeru, baru-baru ini atas dasar keprihatinan dengan nasib insan-insan istimewa seperti ini, jenama produk terkenal, L'Occitane Malaysia Sdn. Bhd. membuat kunjungan kebajikan ke bangunan kompleks MAB itu bagi meneruskan tanggung jawab sosial mereka dalam memenuhi isu-isu berbentuk kebajikan.

Menurut Pengurus Pemasarannya, Joyce Chan, ini merupakan kali ketiga L'Occitane berkunjung ke MAB dan tampil sebagai penaja selama tiga tahun bagi membantu golongan istimewa itu.

Pada tahun ini usaha kebajikan berterusan L'Occitane menyumbangkan RM48,240 daripada hasil kutipan derma yang akan juga turut dibahagikan kepada golongan ibu tungggal yang menjalani kursus bakeri dan pastri kelolaan dan kerjasama Jabatan Pembangunan Wanita Selangor.

"Usaha mengumpul sumbangan ini dilakukan pada 15 Disember tahun lepas apabila pihak L'Occitane telah menjual relaxing candles dengan harga RM12 sebatang di semua butik L'Occitane.

"Kempen berkenaan berakhir pada 31 Januari lalu dengan RM48,240 telah dapat dikutip hasil jualan berkenaan.

"Sebahagian daripada derma berkenaan akan disalurkan kepada unit terbaru MAB iaitu dikhaskan untuk mereka yang pekak, buta dan unit pelbagai kecacatan yang memerlukan banyak alatan bagi kaedah pembelajaran kanak-kanak berkenaan dan juga kepada Pusat Latihan Vokasional di Taman Harapan, Temerloh, Pahang," katanya.

Ketika lawatan itu juga, para petugas media telah diberi kesempatan melawat Kompleks MAB termasuk melihat beberapa unit mesin braile yang disumbangkan L'Occitane sebelum ini.

Majlis berkenaan diakhiri dengan sebuah parti kejutan buat seorang kanak-kanak istimewa, iaitu Ummul Aqilah Sheik Dawood, 15, sempena hari jadinya pada hari itu.

No comments:

Post a Comment

Tinggalkan Komen Anda Sini: