Wednesday, July 11, 2012

Kisah Mak Yong dalam Usikan Rebab


DARI kiri: Datuk Faridah Merican, Khairul Baisah, Zamzuriah dan Norzizi Zulkifli bermain alat permainan tradisional pada sidang akhbar teater Usikan Rebab yang diadakan di Kuala Lumpur Performing Arts, (KLPAC), Sentul, Kuala Lumpur baru-baru ini. Teater tersebut telah mula ditayangkan hari ini sehingga 15 Julai di The Actors Studio Seni Teater Rakyat.


MAK YONG merupakan sejenis tarian tradisional Melayu yang menggabungkan pelbagai unsur merangkumi ritual, lakonan dan tarian yang digayakan, muzik vokal dan instrumental, lagu, cerita dan teks percakapan yang formal dan bersahaja.

Bagaimanapun, drama tari yang pernah popular di beberapa buah negeri seperti Kelantan, Terengganu dan Kedah kini semakin ditelan zaman sehingga tidak ramai yang berminat untuk mempelajarinya.

Bagi menggambarkan realiti sebenar terhadap situasi tarian tersebut, The Actors Studio Seni Teater Rakyat bakal mempersembahkan sebuah teater monodrama berjudul Usikan Rebab.

Mengisahkan detik-detik terakhir tentang seorang penari Mak Yong yang telah bersara, teater berkenaan dilakonkan oleh Zamzuriah Zahari yang turut bertindak selaku penulis skrip serta diarahkan oleh Norzizi Zulkifli.

Dalam satu sidang akhbar yang diadakan baru-baru ini, Zamzuriah menyatakan Usikan Rebab merupakan sebuah naskhah yang telah dihasilkan olehnya pada tahun 2005 sebagai salah satu projek tahun akhirnya semasa menuntut di Universiti Malaya dalam bidang Seni Persembahan (Drama).

“Pada mulanya, skrip ini saya hasilkan semata-mata sebagai syarat untuk projek tahun akhir di universiti dahulu, namun salah seorang pensyarah yang menilai skrip saya ini merasakan ia sangat sesuai untuk dipentaskan.

“Cerita yang dipaparkan dalam teater ini berkisarkan tentang tanggapan masyarakat terhadap tarian Mak Yong dan terdapat sedikit jalan ceritanya berdasarkan pengalaman yang pernah saya lalui sendiri,” ujarnya yang begitu meminati tarian Mak Yong sejak kecil.

Usikan Rebab mengisahkan tentang dugaan seorang ibu yang hendak mewariskan seni tari tersebut kepada anak-anaknya iaitu Ani, Idah dan Yam. Namun, ketiga-tiga anaknya itu enggan menjadi pewaris, manakala segelintir masyarakat menganggap Mak Yong tidak bermoral dan bercanggah dengan agama.

Mengenai pemilihan Norzizi sebagai pengarah teater tersebut, Zamzuriah memberitahu, dia memilih pensyarah di Fakulti Teknologi Kreatif dan Artistik Universiti Teknologi Mara, Shah Alam itu kerana kredibiliti yang dimilikinya.

Ujarnya, pada tahun 2009 dia dan Norzizi pernah bekerjasama menerusi pementasan teater Mak Yong Titis Sakti. Selepas pementasan itu hubungan mereka berdua semakin rapat.

“Sejak zaman belajar lagi saya sudah menanam impian untuk bekerjasama dengannya. Lagipun saya tahu Norzizi merupakan antara individu yang dikenali sebagai seorang pejuang tarian tradisional termasuk Mak Yong,” jelasnya.

Selain menampilkan Norzizi sebagai pengarah, Zamzuriah juga turut bergandingan dengan Kamarul Baisah Husin yang akan bermain beberapa alat muzik seperti rebab, gong dan gendang.

Kekal skrip asal

Bercerita mengenai kerjasama yang dilakukan, Norzizi memberitahu sekitar bulan Oktober 2011, Zamzuriah telah bertemu dengannya dan berminat untuk menjalinkan kerjasama dalam pementasan teater Usikan Rebab.

Ujarnya, setelah beberapa perbincangan dibuat dia telah bertemu dengan Datuk Faridah Merican dan meluahkan hasrat untuk mementaskannya menerusi The Actors Studio Seni Teater Rakyat.

“Pada asalnya, tajuk teater ini ialah Mak Yong Punah, kemudian saya buat keputusan untuk mengubahnya kepada Usikan Rebab. Malah, saya juga bercadang untuk mementaskan teater ini dalam bahasa Inggeris, namun ia tidak dipersetujui oleh Faridah.

“Berkenaan dengan skrip dan jalan cerita pula tidak banyak berbeza dengan skrip asalnya masih dikekalkan, tetapi saya lebih menerapkan elemen gabungan muzik dan teater agar penceritaannya kelihatan lebih menarik,” ujarnya.

No comments:

Post a Comment

Tinggalkan Komen Anda Sini: