|
|
UMUR si cantik manis ini baru mencecah 25 tahun, namun dalam usia semuda itu, beliau sudah menimba banyak pengalaman dalam bidang perniagaan khususnya pengurusan acara.
Dunia bisnes pemilik nama Nor Farahana Ghani ini sudah bermula sejak kecil lagi. Beliau dibesarkan dalam keluarga usahawan, bahkan merupakan insan penting yang membantu membangunkan jenama Aura Seri yang diasaskan oleh kakaknya, Datin Ira Ghani.
Selesa membahasakan diri sebagai Farah, penyandang jawatan Ketua Pengarah Eksekutif Fitzans Group of Entertainment Sdn. Bhd. (Fitzans) ini memberitahu, semangat bekerja untuk berniaga sangat kuat dalam jiwanya.
“Saya memang minat berniaga. Kebetulan pula, saya sentiasa dikelilingi oleh orang yang berniaga, baik keluarga mahupun rakan-rakan. Saya teruja melihat kejayaan orang lain. Saya fikir, kalau orang lain boleh berjaya, mengapa tidak saya.
Idea baru
“Jadi, saya mulakan langkah dengan membantu keluarga, namun selepas yakin dengan kemampuan sendiri, saya memulakan perniagaan bersama rakan-rakan,” katanya yang menyifatkan potensi bidang pengurusan acara tidak pernah surut.
Kini, dalam lima tahun penglibatannya dalam Fitzan, sudah lebih 100 acara yang dikendalikan di bawah seliaannya bersama dua rakan, Mohd. Haffizan Alimudin dan Mohd. Hafiz Abdol Manas.
Antara acara yang pernah mendapat sentuhannya ialah Karnival Jelajah Celcom Prabayar Baharu, pelancaran Hospital Pantai Cheras dan saluran Disney Astro, serta pengenalan Program KAM1 Anak Malaysia (KAM1) di Bukit Bintang, Kuala Lumpur.
“Selain menawarkan khidmat pengurusan pelbagai acara antaranya majlis korporat, perkahwinan, majlis amal dan pelancaran produk, Fitzans turut mengendalikan rumah produksi, studio rakaman serta sewaan sistem bunyi dan lampu,” kata pemegang Diploma Pengurusan Perniagaan, Universiti Teknologi Malaysia ini.
Menyimpan cita-cita untuk bergelar usahawanita berjaya, Farah mahu menggapai impiannya pada usia 30 tahun.
“Saya hanya ada lima tahun lagi untuk bekerja keras dan membina platform untuk lebih berjaya dalam bidang ini. Saya yakin, walaupun cabarannya banyak, Insya-Allah saya boleh mencapai impian tersebut,” jawab Farah penuh optimis.
Jika dilihat daripada wajah putih mulus dan susuk tubuh tinggi lampainya, penampilan diri Farah memang sedap dipandang.
Sungguhpun begitu, bagi yang sudah lama bekerjasama dengan Farah, mereka berpendapat, kelembutan tutur bicara dan keayuan gadis ini mengenakan hijab pelbagai gaya sering dimanipulasi pihak tertentu apatah lagi selepas mengetahui umur sebenarnya.
Dek kerana ada yang kurang percaya dengan kemampuannya, Farah memberitahu, beliau pernah menipu umurnya hanya kerana ingin menghapuskan stigma bahawa anak muda tidak boleh berjaya.
Malah, semasa umurnya baru 21 tahun, beliau tidak segan untuk mengiyakan jika ada yang meneka umurnya 27 tahun.
“Ramai yang menganggap Farah lembut orangnya. Mereka tidak tahu, beliau boleh jadi ketua yang tegas,” ujar rakan sekerjanya, Hafiz.
Menyifatkan rakannya itu sebagai wanita yang pandai membawa diri dan mempunyai kemahiran komunikasi yang luar biasa, lantas, Farah diberi tanggungjawab untuk mewakili syarikat ke mana-mana pertemuan bersama pelanggan.
“Farah seorang yang rajin, teratur dan selalu hadir dengan idea-idea yang baru dan segar. Dia juga bijak mengatur dan mengagihkan kerja,” ujar Hafiz.
Sebagai orang kanan dalam syarikat, rutin harian Farah memang sentiasa sibuk, namun itu tidak bermakna beliau terpaksa mengorbankan masa rehat untuk dirinya sendiri.
Jaga makan
“Kerja dalam bidang ini tidak tentu masa, ada masanya memang sibuk, adakalanya saya masih boleh luangkan masa berehat bersama keluarga. Apa pun, saya tidak berasa tertekan dengan keadaan ini, mungkin juga sebab saya masih solo,” ujarnya sambil menguntum senyum.
Dibesarkan sebagai anak bongsu daripada lima beradik, Farah sering dilabel sebagai anak manja.
“Arwah bapa meninggal dunia semasa saya berusia enam tahun. Semenjak itu, dunia saya hanya ada ibu, dua abang dan dua kakak. Dahulu, ibu saya pula tegas orangnya. Jadi kalau nak bermanja, saya akan cari abang dan kakak. Lagipun jurang umur yang jauh memudahkan mereka melayan saya,” kenang Farah yang juga seorang model sambilan.
Ditanya tentang rejim kecantikannya, Farah tergelak kecil, mungkin beliau sedang mencari jawapannya.
“Saya tidak ada rejim kecantikan yang keterlaluan sebaliknya mementingkan penjagaan kesihatan yang optimum. Pendirian saya, kalau badan sihat dan cergas, kecantikan akan hadir sendiri.
“Saya cuma mengamalkan senaman ringan sebelum menunaikan solat Subuh. Jika ada kelapangan, saya suka berjoging. Saya juga sangat menitikberatkan pengambilan makanan dan minuman.
“Ada juga rakan-rakan yang kata saya sangat selektif dalam bab makan atau minum. Kalau ikutkan selera, rasanya semua makanan hendak dicuba, tetapi ada risikonya.
“Tubuh saya banyak mengikut genetik sebelah di ibu, kalau makan sembarangan, memang cepat mengembanglah jawabnya,” katanya yang sudah lama berpantang daripada minum ais, air bikarbonat, minuman bergula dan kordial. Pilihannya cuma satu iaitu air suam.
wah..umai leh..CEO damini..kade kaganangan urg disini lg dah..hehe
ReplyDelete