DIA bukan seorang ikon atau selebriti tetapi telefon bimbit jenis Nokia 3310 miliknya tidak henti-henti berbunyi.
“Saya cuma seorang usahawan yang berniaga dengan cara tukar barang,” ujar Chou Wei Sein, 36, yang berasal dari Seremban, Negeri Sembilan memulakan perbualan.
Konsep perniagaan menggunakan sistem barter atau tukar barang jarang ditemui kini. Amalan perniagaan pada ribuan tahun dahulu itu membolehkan individu melakukan urus niaga dengan menukarkan barangan kepunyaan mereka dengan barangan lain yang dikehendaki.
Apa yang mungkin berbeza ialah modul perniagaan lelaki yang tidak lekang dengan senyuman ini ialah dia tidak menerima barang makanan termasuk haiwan.
“Makanan tidak boleh disimpan lama kerana cepat busuk. Haiwan pula memerlukan penjagaan seperti memberinya makan.
“Tetapi sebab utama adalah kerana ruang kedai saya sedia ada pun sudah dipenuhi pelbagai barangan hingga ada yang perlu diletakkan di luar premis. Bayangkan bagaimana sesaknya kalau saya masih menerima makanan atau haiwan ternakan,” tutur Sein.
Penjelasan Sein sememangnya benar. Sebaik sahaja memasuki premis Barter Corner yang terletak di tingkat satu di sebuah bangunan komersial lima tingkat, ribuan barangan memenuhi segenap ruang.
Pelanggan bagaikan rambang mata melihat berjenis-jenis barang, daripada produk elektrik, perhiasan rumah, baju hinggalah aksesori kereta dan motosikal.
Sein juga secara bergurau memakai topi keselamatan api dan kemudian menunjukkannya kepada penulis.
“Barangan sebegini pun ada, begitu juga barangan antik seperti kotak permainan muzik, alat timbangan serta telefon meja lama,” katanya.
Sambutan
Sein memberitahu, pelanggannya terdiri daripada semua kaum dan lapisan masyarakat.
“Konsepnya sama iaitu bertukar barangan. Tiada wang tunai yang terlibat dalam urus niaga itu. Sekiranya nilai barang yang ingin ditukarkan lebih tinggi berbanding harga barang yang dikehendaki, mereka akan menerima sekurang-kurangnya 10 mata bonus.
“Mata itu boleh ditebus semasa mereka menukar barangan seterusnya,” kata Sein yang kadangkala meminta bantuan rakan-rakannya yang terlibat dalam industri kitar semula untuk menaksir nilai barang yang dibawa pelanggan.
Tambahnya, ada pelanggan Melayu yang menukar barangan sebagai persiapan untuk majlis perkahwinan.
“Mereka menukarkan majalah, surat khabar dan baju lama dengan ratusan bekas telur.
“Selain itu, ada pelanggan yang menukar barangan untuk dijadikan hadiah perkahwinan rakan mereka seperti alat pemanas air, seterika dan periuk nasi,” ujarnya.
Di samping menggalakkan sistem tukar barang, barang-barang di kedai itu boleh dibeli secara tunai. Barangan elektronik seperti komputer, alatan audio dan mesin akan dibaiki terlebih dahulu sebelum dijual.
“Selain itu, cip komputer serta dan gajet elektrik turut dibeli penjual barangan elektrik. Sesetengah urus niaga itu melibatkan nilai jualan yang mencecah ribuan ringgit.
“Namun, hasrat sebenar saya ialah ingin menjaga alam sekitar dengan mengelakkan barangan terpakai dibuang begitu sahaja,” ujarnya.
Sein memberitahu, sejak memulakan perniagaan itu pada enam tahun lalu, pelanggan gemar berurus niaga setiap hujung minggu dan musim perayaan.
“Saya cuma berniaga secara sendirian, sayalah pekerja dan bos. Jadi kadangkala tidak menang tangan dibuatnya.
“Tetapi ramai yang berminat sehingga ada pelanggan dari London, Britain sanggup datang hanya kerana ingin merukar barangan selain tertarik dengan konsep perniagaan ini,” ujarnya.
Katanya, lelaki dari London itu singgah sebentar di kedainya semasa melancong ke Malaysia beberapa tahun lepas.
Bagi seorang pelanggan, Riduan Sabli, 40, dia tidak menyangka ada syarikat yang menjalankan perniagaan berasaskan sistem tukar barang sekarang.
“Sistem ini praktikal dan saya terkejut kerana masih ada yang mengamalkannya. Saya juga menukarkan sebuah radio dan televisyen lama milik saya dengan sebuah komputer riba terpakai. Walaupun komputer itu perlu dibaiki semula, ia ternyata lebih menjimatkan,” katanya.
No comments:
Post a Comment
Tinggalkan Komen Anda Sini: