Monday, July 16, 2012

Dominasi srikandi moden


GAUN hitam terdedah di bahagian belakang menyuntik elemen elegan.


STRUKTUR, ketelitian, kegelapan dan kejelasan teknik menjadi antara kunci inspirasi bagi karya terbaharu Khoon Hooi. Pereka tersebut memaksimumkan penggunaan kain beralun bergosok bersama sut renang kasar fleksibel yang diperbuat daripada getah tiruan (neoprena) berbusa.

Sinonim dengan stail feminin dan romantik, Khoon Hooi sentiasa memaparkan ciri kewanitaan pada setiap kerja tangannya. Kali ini, kenyataan itu diperkukuhkan menerusi penegasan pada potongan badan terutama skirt yang mengembang dari pinggang.

Bagi memberi signatur avant-garde tidak berstruktur yang menggoda, Khoon Hooi menggunakan manik berwarna-warni yang meningkatkan gaya lembut koleksinya.

Bertemakan wirawati jelita, rekaan baharu tersebut siap sedia menawarkan golongan wanita perspektif segar, keintiman dan kreativiti buat pandangan mata mereka bagi setiap pasang pakaian yang diilhamkan.

Paling menonjol dalam koleksi baharu tersebut ialah penggunaan teknik ekor kuda bagi melahirkan sisi feminin. Bulu burung unta yang dicetak digital pada fabrik pula memberikan pernyataan kuat dan teguh.


KOLEKSI terbaharu Khoon Hooi ini ideal digayakan wanita yang berani bergaya.


Jaket sengaja direka melebihi saiz tubuh, manakala skirt yang distruktur dari atas paras pinggang membantu menyerlahkan potongan badan wanita. Mainan warna tegas seperti hitam, biru, kopi susu (latte), emas dan oren mandarin (tangerine) pula secara tidak langsung memaparkan karakter perempuan penuh rasa bangga.

Rekaan musim luruh/sejuk Khoon Hooi sentiasa cemerlang. Kali ini beliau mencuba aplikasi manipulasi fabrik dengan idea gabungan dan laminasi bersama elemen-elemen lembut seperti ekor kuda dan manik-manik.

Rekaan beliau membawa fesyen tempatan ke peringkat yang lebih tinggi terutama penggunaan teknik fabrikasi baharu yang memberi rupa mewah. Aura srikandi moden pasti meresap dalam diri wanita yang menyarungkan persalinan tersebut.

No comments:

Post a Comment

Tinggalkan Komen Anda Sini: