PETALING JAYA: Pelakon jelita Diana Danielle Danny Beeson menolak tuduhan kononnya dia bersikap besar kepala dan berlagak ‘diva’ kerana enggan berkongsi kisah hubungannya dengan aktor dan pengarah filem Farid Kamil.
Diana, 21, berkata, dia berharap permintaannya untuk tidak bergambar bersama atau kerap bercerita mengenai hubungan mereka tidak disalahertikan dengan tuduhan sedemikian.
“Saya berharap orang tidak tuduh saya begitu (berlagak diva) hanya kerana saya kurang selesa untuk memenuhi permintaan media untuk bergambar dengan Farid atau mencanangkan mengenai kisah kami.
“Rasanya semua orang sudah tahu mengenai hubungan kami, jadi tidak perlulah saya asyik berkongsi setiap perkembangan kami dari semasa ke semasa. Saya kurang selesa jika kami terus dikaitkan berdua pada kebanyakan waktu,” katanya kepada mStar Online.
Katanya, dia berasa lebih selesa jika kisah hubungannya dengan aktor Farid Kamil tidak terus diperkatakan kerana bimbang ia akan mengaburi cerita kerjaya mereka.
“Saya bimbang orang akan berasa kurang selesa dan bosan jika kami asyik 'melekat' dan mencanangkan cerita hubungan berbanding kerjaya masing-masing.
“Demi kebaikan semua pihak, saya memohon prinsip dan permintaan saya itu dihormati,” katanya.
Mengenai keputusannya membintangi filem arahan Namewee iaitu Hantu Gangster di samping Farid Kamil sedangkan dia pernah berkata enggan berlakon bersama, Diana menjelaskan dia tidak akan menerima tawaran berkenaan jika mengetahui aktor itu turut berlakon.
“Ketika ditawarkan, saya tidak tahu mereka (produksi) turut menawarkan projek ini kepada Farid. Saya menerima tawaran filem ini kerana mahu bekerja dengan Namewee dan mencabar diri untuk membawa watak komedi yang pertama kali ditawarkan kepada saya,” katanya.
Terbaru, Diana yang berehat daripada komitmen lakonan selama enam bulan pertama tahun ini, bakal sibuk di lokasi penggambaran filem berjudul Kami Histeria terbitan Red Films sepanjang Ramadan ini.
No comments:
Post a Comment
Tinggalkan Komen Anda Sini: