Sunday, July 15, 2012

Cabaran pesakit diabetes berpuasa

CUMA tinggal enam hari lagi umat Islam akan menjalani ibadah puasa Ramadan. Pada hari biasa, kita bebas menjamah apa saja makanan tidak mengira waktu mahupun kuantiti. Namun, sepanjang Ramadan, hidangan cuma dinikmati pada waktu tertentu dan tidak lagi boleh bebas makan di waktu siang.

Biasanya kita cuma makan sebanyak dua kali iaitu ketika waktu sahur dan berbuka. Bergantung kepada lokasi geografi dan musim, umat Islam di seluruh dunia tidak menjamah sebarang makanan dan minuman selama 10 hingga 19 jam sehari. Di negara kita, dalam sehari, anggaran tempoh kita berpuasa ialah 14 jam.

Bagi individu yang sihat, menjalani ibadah puasa sememangnya tidak menjadi halangan walaupun ada segelintir yang membuat helah tidak boleh berpuasa, kononnya ‘gastrik’.

Namun, cabaran berpuasa di kalangan pesakit diabetes ialah mengawal paras gula supaya tidak terlalu tinggi atau terlalu rendah. Ini kerana mereka bergantung kepada ubat dan suntikan insulin setiap hari untuk mengawal penyakit itu. Dengan nasihat doktor dan mengubah suai dos yang perlu diambil, pesakit masih mampu menjalani ibadat puasa.


Pakar Kesihatan Awam Bahagian Kawalan Penyakit Kementerian Kesihatan, Dr Feisul Idzwan Mustapha, berkata laporan Kajian Kesihatan dan Morbiditi Kebangsaan (NHMS) menunjukkan diabetes meningkat 31 peratus (%) dalam tempoh lima tahun, daripada 11.6% pada 2006 kepada 15.2 % (2011).


Kebanyakan kes disumbangkan oleh peningkatan penyakit itu yang tidak didiagnosis selain terdapat trend yang meningkat seiring dengan peningkatan usia. Pertambahan kes lebih tinggi di kawasan luar bandar dengan kadar 15.5%, berbanding bandar pada 15.1% (dengan perbezaan tidak ketara secara statistik).

Laporan Status Global 2010 cukup membimbangkan apabila Malaysia menduduki tempat teratas bilangan penduduk dewasa yang mempunyai berat badan berlebihan berbanding Thailand (tempat kedua), Singapura (ketiga), Filipina (keempat), Jepun (kelima) dan Indonesia (keenam).

Di kalangan negara Asia Tenggara, Malaysia juga mempunyai penduduk dewasa paling ramai yang mempunyai kadar tinggi gula dalam darah (11.7 %) berbanding Vietnam (7.9%), Singapura (7.7%), Thailand (7.6%), Indonesia (7.8%).

Pada 2008, berdasarkan keputusan kajian NHMS 1986, 1996 dan 2006, dianggarkan pada 2020, perkembangan diabetes akan meningkat menjadi 15.3% atau seramai 3.2 juta rakyat Malaysia berusia 18 tahun ke atas mempunyai kadar gula dalam darah yang tinggi.

Keputusan NHMS 2011 menunjukkan, Malaysia mencapai kadar perkembangan yang sama sembilan tahun lebih awal daripada yang diunjurkan. Perkembangan kes diabetes pada 2011 ialah 15.2% atau dihidapi oleh 2.6 juta rakyat Malaysia berusia 18 tahun ke atas.

Unjuran yang disemak semula menunjukkan pada 2020, diabetes akan meningkat kepada 21.6%, dengan anggaran dihidapi 4.5 juta rakyat Malaysia berumur 18 tahun ke atas.

Menurut Dr Feisul Idzwan, promosi kesihatan dan pendidikan akan meningkatkan kesedaran dan pengetahuan orang ramai mengenai langkah menjaga kesihatan.
Bagaimanapun, perubahan dalam tingkah laku lebih banyak dipengaruhi persekitaran hidup.

Perunding Kanan Endokrinologi, SP Chan, berkata berpuasa meningkatkan risiko hipoglisemia teruk disebabkan kombinasi pengambilan glukos rendah dengan pengambilan makanan yang kurang pada bulan Ramadan, ditambah dengan ubat diabetes yang merendahkan paras glukos darah pesakit.

Menurutnya, ia boleh menjadi satu gabungan yang bahaya kerana pesakit mungkin mengalami tahap glukos yang amat rendah. Jika dibiarkan tanpa rawatan, boleh menyebabkan kerosakan saraf yang kekal dan kematian.

Namun begitu, ramai pesakit diabetes jenis dua tidak mempunyai kesedaran dan tidak boleh melihat diri mereka sakit atau mungkin masih mahu berpuasa.
Pemahaman seorang pesakit terhadap pengurusan paras glukos penting dalam memastikan mereka sihat ketika berpuasa bulan Ramadan.

“Diabetes ialah penyakit yang berpunca daripada paras gula yang tinggi dalam darah. Penyakit itu juga boleh disebabkan ketidakupayaan badan untuk merembes atau menggunakan insulin. Disiplin yang tinggi dalam pengambilan ubatan diperlukan bagi mengurangkan paras gula dalam darah.

“Komplikasi diabetes boleh dikurangkan dengan mengamalkan pemakanan yang sesuai mengikut nasihat doktor, misalnya mengambil sayuran, bijirin penuh dan buahan.

“Pesakit diabetes akan mengalami hipoglisemia apabila paras gula dalam darah menurun di bawah paras normal. Pesakit diabetes mungkin berpeluh, pening, gelisah, lemah badan, sakit kepala, kabur penglihatan, sentiasa lapar, pengsan atau tidak sedarkan diri,” katanya.

Menurutnya, hipoglisemia boleh dielak dengan melakukan pemantauan berkala paras glukosa darah untuk menentukan sama ada paras gula terkawal. Simptom hipoglisemia yang lebih lanjut perlu diketahui supaya individu terbabit boleh mendapatkan rawatan segera.

“Jika berlarutan, hipoglisemia mungkin mengakibatkan masalah jantung dan otak yang boleh mengakibatkan kehilangan fungsi kognitif otak dan keadaan sawan sehingga koma.

“Pengambilan gula ringkas seperti glukosa atau gula-gula ialah cara yang efektif untuk meningkatkan paras gula dalam darah dengan cepat. Ketika hipoglisemia, pengambilan makanan dengan kandungan gula kompleks dan karbohidrat yang tinggi seperti coklat dan kek tidak digalakkan. Ini adalah kerana makanan sedemikian tidak dapat meningkatkan paras gula dalam darah dengan cepat,” katanya.

Bergantung kepada jenis ubatan yang diambil pesakit diabetes, ubat metformin yang biasa diambil pesakit diabetes jenis dua mempunyai kesan minimum risiko hipoglisemia. Ubat sulfonylurea (juga diambil pesakit diabetes jenis dua) pula boleh menyebabkan risiko tinggi hipoglisemia. Oleh itu, pesakit perlu mengurangkan dos ubat ini dan menterbalikkan masa pengambilan dos iaitu dos pagi diambil pada waktu malam manakala dos malam diambil pada waktu pagi (sahur). Ada pesakit diabetes yang terpaksa berbuka puasa apabila mengalami hipoglisemia.

Bagaimanapun, ubat terbaru, Incretins dapat membantu mengawal selia paras gula menerusi kesannya pada pankreas. Ia sesuai diambil oleh pesakit diabetes jenis dua.

Menurutnya, tanggapan bahawa pengambilan karbohidrat menyebabkan diabetes adalah salah kerana ia bukan disebabkan apa yang seseorang itu makan tetapi berpunca daripada genetik dan pertambahan berat badan.

Oleh itu, seseorang itu dinasihatkan mengamalkan diet yang seimbang dan mengurangkan pengambilan gula. Ketika berbuka puasa, mereka digalakkan mengambil kurma, makanan atau minuman manis bagi mengelakkan kekurangan gula dalam darah. Pesakit dinasihatkan mengambil makanan berserat tinggi, makan selepas solat tarawih dan pastikan bersahur. Ini kerana, sepanjang bulan Ramadan, mereka kurang makan menyebabkan tahap gula dalam darah rendah.


Apakah diabetes?

Setiap orang mempunyai glukos (gula) dalam darah mereka. Glukos datang daripada makanan yang anda makan serta bahan yang dihasilkan oleh tubuh. Hormon yang dihasilkan di dalam pankreas, dipanggil insulin, menggerakkan gula dari aliran darah ke sel dan ia digunakan untuk tenaga. Diabetes ialah apabila badan tidak dapat mengawal paras glukos dalam darah secara automatik, menyebabkan terlalu banyak glukos dalam darah. Diabetes boleh mengancam nyawa jika gula darah (glukos) meningkat atau jatuh.


Bagaimana cara mengawal penyakit diabetes?

Ketahui dengan lebih lanjut mengenai aktiviti dan senaman harian yang sesuai bagi pesakit diabetes:

Contohnya:

  • Berjalan dengan pantas.
  • Pilih untuk berjalan kaki daripada menaiki kenderaan.
  • Pilih untuk menggunakan tangga daripada menggunakan lif.
  • Letakkan kenderaan di tempat yang agak jauh agar anda dapat berjalan ke tempat yang hendak dituju.


    Diabetes jenis satu

    Diabetes jenis ini biasanya didiagnosis di kalangan kanak-kanak dan orang muda, dan sebelum ini dikenali sebagai diabetis juvenil. Dalam diabetes jenis 1, badan tidak menghasilkan insulin.

    Insulin ialah hormon yang mengawal pergerakan glukos dari darah ke dalam sel. Hanya lima peratus mereka yang menghidap diabetes mengalami diabetes jenis ini.
    Dengan bantuan terapi insulin dan rawatan lain, pesakit muda yang menghidap diabetes jenis satu boleh belajar menguruskan keadaan mereka, hidup lama, sihat dan gembira.


    Diabetes jenis dua

    Diabetes jenis dua berpunca daripada sel di dalam otot, hati dan lemak yang tidak menggunakan insulin. Akhirnya, pankreas tidak boleh membuat insulin mencukupi yang diperlukan badan. Akibatnya, glukosa dalam darah meningkat pada kala sel lain tidak mendapat tenaga.

    Sejak beberapa tahun kebelakangan ini, kadar gula dalam darah yang tinggi merosakkan saraf dan saluran darah, yang membawa kepada komplikasi seperti penyakit jantung, strok, buta, penyakit buah pinggang, masalah saraf, jangkitan gusi, dan pemotongan anggota badan yang terjejas akibat penyakit itu.


    Apakah hiperglisemia?

    Terdapat beberapa masalah yang mempunyai kaitan dengan diabetes. Antaranya, hiperglisemia yang menjadi punca utama banyak komplikasi yang berlaku terhadap pesakit diabetes. Hiperglisemia ialah istilah teknikal untuk glukos yang tinggi (gula). Gula dalam darah meningkat apabila badan mempunyai terlalu sedikit atau tidak mencukupi insulin atau apabila badan gagal menggunakan insulin secukupnya.


    Apakah hipoglisemia?

    Hipoglisemia, juga dikenali sebagai glukos darah yang rendah atau gula darah yang rendah, berlaku apabila gula dalam darah jatuh di bawah paras biasa.

    Insulin, hormon yang dihasilkan oleh pankreas, membantu sel-sel menggunakan glukos untuk tenaga. Jika seseorang mengambil glukos lebih daripada yang diperlukan badan dalam masa yang sama, badan menyimpan glukos tambahan di dalam hati dan otot dalam bentuk yang dipanggil glikogen. Badan boleh menggunakan glikogen untuk tenaga antara waktu makan. Glukos tambahan juga boleh ditukar kepada sel lemak dan disimpan dalam lemak. Lemak juga boleh digunakan untuk tenaga.


    Amalan pemakanan yang sihat

    Komplikasi diabetes boleh dikurangkan dengan mengamalkan pemakanan yang sesuai mengikut nasihat doktor, misalnya:

  • Sayur-sayuran
  • Bijirin penuh
  • Buah-buahan
  • No comments:

    Post a Comment

    Tinggalkan Komen Anda Sini: