Monday, July 9, 2012

Anggun bak puteri kayangan


GAUN kembang ala Inggeris menyuntik penampilan wanita bak puteri.


MELANGSUNGKAN hari persandingan bersama insan tersayang merupakan detik manis yang paling dinantikan buat pasangan bercinta. Pada saat inilah tersimpulnya janji dua hati untuk bersama-sama melayari bahtera perkahwinan sehingga ke hujung nyawa.

Namun begitu, sebelum melaksanakan detik indah tersebut, pelbagai perkara perlu diteliti dan dikendalikan oleh pasangan mempelai. Selain konsep pelamin, solekan ataupun senarai tetamu, pemilihan busana pengantin wajar dititikberatkan memandangkan tumpuan para hadirin pada hari itu lazimnya tertumpu kepada penampilan pengantin.

Ironinya, pakaian pengantin bukan sekadar busana yang digayakan pada hari bersejarah, sebaliknya ia merupakan simbolik kedudukan istimewa pasangan mempelai terutamanya pengantin wanita tatkala menempuhi hari penting berkenaan.

Mengambil kira falsafah itu, pereka fesyen tempatan, Zery Zamry berusaha mengukir impian wanita supaya tampil menawan dan mempesonakan pada hari bahagia dengan menghasilkan koleksi pakaian pengantin yang elegan.

Justeru bersesuaian dengan tema Love Spell 2, pereka muda itu menampilkan 10 koleksi pakaian pengantin yang romantis selaras dengan permintaan wanita moden hari ini.

Koleksi terbaharu tahun 2012 itu memberi penekanan pada konsep feminin dan mengetengahkan kombinasi idealistik budaya serta tradisi.

Himpunan Love Spell 2 yang kebanyakannya hadir dalam palet warna putih, lambang kesucian, bukan sekadar ideal digayakan pada majlis persandingan malah boleh dijadikan pilihan untuk hari pertunangan, pernikahan dan acara memotong kek.


KEISTIMEWAAN koleksi Love Spell 2 terletak pada perincian yang elegan dan mewah.


"Saya cuba menonjolkan rekaan yang berunsurkan tradisional tetapi disuntik nafas moden. Misalnya, kain dan bahagian bawah baju yang berkonsepkan potongan ala duyung, kembang dan empire waist yang dipadankan bersama baju kurung serta kebaya pendek.

"Keistimewaan koleksi ini terletak pada nilai estetika perincian seperti taburan manik dan tatahan butiran kristal Swarovski yang tidak terlalu sarat tetapi masih membantu menyerlahkan gaya anggun si pemakai bak puteri kayangan," jelas Zery yang berusia 28 tahun.

Pada masa yang sama, pereka kelahiran Shah Alam, Selangor itu turut menggunakan elemen kelopak bunga mawar dan camelia yang timbul atau tiga dimensi (3D). Ia direka khas oleh Zery sendiri.

Dari segi penggunaan fabrik, koleksi Love Spell 2 dihasilkan daripada kain sutera, satin, kain renda Perancis, kain renda Perancis bermanik, satin Belanda dan sutera sifon.

"Selain itu, saya turut mengaplikasi teknik jahitan tangan yang halus seperti teknik tindihan, lipatan, tampalan, dan sulaman manik," tambah Zery yang pernah menghasilkan busana pengantin buat selebriti Elyana dan Farah Diana, Akademi Fantasia musim kedua (AF2).

No comments:

Post a Comment

Tinggalkan Komen Anda Sini: