Tune Hotels
Tune Hotels

Rangkaian hotel bajet, Tune Hotels, terus mengukuhkan kehadiran di Filipina dengan membuka cawangan keempat di Makati, 17 Julai ini dengan tawaran istimewa kepada pelanggan iaitu RM21 semalaman.

Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulannya, Mark Lankester berkata, cawangan baru itu menyediakan 213 bilik dan tempahan penawaran dibuka bermula 14 hingga 21 Mei untuk tempoh penginapan dari 17 Julai hingga 31 Disember tahun ini.

Menurutnya, Makati adalah daerah paling berprestij di Metro Manila selain dikelilingi pusat membeli-belah bertaraf dunia seperti Rockwell Centre, Glorietta dan Greenbelt dan pusat perniagaan Makati dan Ayala Avenues.

“Kami mengambil inisiatif menjadikan Filipina sebagai salah satu destinasi pelancongan berbanding sebelum ini dan ia menjadi matlamat syarikat memperkenalkannya kepada umum.

“Aspirasi kami adalah memenuhi keperluan bukan sahaja daripada segi riadah tetapi juga pelancong yang menjalankan perniagaan di dalam atau luar negara termasuk ke Filipina,” katanya.

Pembukaan cawangan di Makati adalah kejayaan daripada pembukaan hotel di Bandar Angeles, Bandar Cebu dan Ermita di Manila.

Katanya, sehingga kini, Tune Hotels mempunyai 11 cawangan di Kuala Lumpur, dua di Indonesia, dua di England, dua di Thailand dan empat di Filipina.

“Tune Hotels berjaya menjadi perintis sebagai hotel bajet, mengetengahkan konsep ‘bayar apa yang digunakan’ dan menjadi semakin popular dalam kalangan pelancong di seluruh dunia.

“Menerusi konsep tersebut, pelanggan hanya membayar kadar bilik kemudian membuat pilihan tambahan untuk beberapa keperluan,” katanya.

Tune Hotels adalah sebahagian dari Tune Group, konglomerat perniagaan yang diasaskan Tan Sri Tony Fernandes dan Datuk Kamarudin Meranun, yang terlibat secara langsung dengan syarikat penerbangan tambah rendah terbesar Asia, AirAsia.