BUKIT TANAH, BESUT – Sepasang suami isteri melalui pe-ngalaman mencemaskan selama kira-kira 30 minit apabila leher mereka dihunus parang panjang oleh tiga lelaki yang menyamun rumah mereka di Kampung Bukit Tanah dekat Tembila awal pagi kelmarin.
Dalam kejadian kira-kira jam 1.30 pagi itu, Shafie Mohamad, 46, dan isterinya Hasniah Mat Hassan, 39, turut menyangka diri mereka akan mati disembelih penjenayah ketika pasangan itu bersama seorang anak perempuan mereka berumur empat tahun sedang tidur di dalam sebuah bilik disamun.
Menurut Shafie, salah seorang penyamun yang bertutur loghat Indonesia mengarahkan dia dan isteri diam dengan mengugut akan menyembelih mereka sekiranya bising.
Pintu ditolak, penyamun menerpa
KATANYA, sebelum itu ketika mereka tiga beranak tidur di dalam bilik, tiba-tiba dia dikejutkan dengan bunyi pintu bilik ditolak dengan kuat dan mendapati tiga lelaki yang menutup muka menerpa ke arah mereka.
“Sebaik mereka menyerbu ke dalam bilik kami, salah seorang penyamun membuka lampu bilik.
“Manakala yang lain terus berada di depan kami sambil menghunus parang panjang berkilat di leher saya dan isteri.
Shafie berkata, anaknya, Nor Syahira Azwa masih tidur.
“Lelaki itu turut bertindak membelah kelambu tempat kami tidur.
“Mereka kemudian meniarapkan saya sebelum mengikat tangan saya dari arah belakang lalu menutup muka saya dengan selimut,” katanya.
Kerugian dianggarkan bernilai RM8,000
SHAFIE berkata, salah seorang suspek mengambil tiga utas rantai leher, seutas gelang tangan, sepasang subang dan sebentuk cincin emas yang dipakai isteri serta anaknya sebelum salah seorang mengikat tangan isterinya dari depan.
Suspek yang turut menyelongkar segenap sudut di dalam rumah juga melarikan tunai RM500 dan enam unit telefon bimbit menyebabkan keseluruhan kerugian dianggarkan bernilai RM8,000.
Menurutnya, sebelum suspek melarikan diri melalui dapur, mereka mengugutnya jika melaporkan kepada polis, mereka akan datang lagi bakar rumah.
“Sebaik suspek melarikan diri, isteri saya membuka ikatan di belakang kemudian saya membuka ikatannya.
“Kami kemudiannya bergegas rumah keluarga saya yang terletak berdekatan,” katanya yang masih terkejut dengan kejadian dan bersyukur dia sekeluarga tidak mengalami kecederaan.
Anak terserempak suspek lari ke kawasan sawah
TRAUMA dengan kejadian tersebut, Shafie kemudiannya menghubungi dua anak lelakinya yang pergi menyuluh udang di pantai Kampung Gong Batu, Setiu agar pulang segera.
Katanya, ketika perjalanan pulang dengan menaiki motosikal, anaknya terserempak dengan suspek yang lari ke arah kawasan sawah padi Gong Machang berdekatan rumah mereka.
Namun, dua anaknya itu lari lintang-pukang kerana pada awalnya mereka menyangka kelibat lembaga itu adalah hantu kerana keadaan pada waktu itu gelap, tambahan pula kawasan tersebut dikatakan berpuaka.
Menurutnya, penduduk kampung yang pergi ke kawasan sawah itu mengesahkan terdapat kesan tapak kaki di kawasan itu menghala ke kawasan ladang kelapa sawit di Kampung Batu.
Penduduk kampung bantu mengesan suspek
MANGSA kemudian membuat laporan polis di Balai Polis Kampung Raja pagi kelmarin dan susulan daripada itu pasukan polis dari Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Besut dibantu IPD Setiu serta Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Kuala Terengganu melancarkan operasi mengesan suspek di kawasan ladang tersebut.
Anggota Ikatan Relawan Rakyat Malaysia (Rela) dan penduduk Kampung Gong Batu dan Fikri turut membantu mengesan suspek.
Ketua Polis Daerah, Superintendan Kamaruddin Mohd Zakaria ketika dihubungi mengesahkan kejadian.
Sementara itu, sehingga jam 3 petang semalam, difahamkan seramai 11 pekerja ladang kelapa sawit warga Indonesia di ladang tersebut ditahan dengan kerjasama penduduk kampung untuk membantu siasatan.
Difahamkan, dua daripada mereka mengaku terlibat dalam kejadian samun di rumah mangsa.
No comments:
Post a Comment
Tinggalkan Komen Anda Sini: