Thursday, May 10, 2012

SMK Tun Perak kini dikenali SMK Agama

Pelajar SMK Tun Perak gembira selepas sekolah berkenaan dinaik taraf menjadi SMK Agama Tun Perak di Jasin, Melaka, semalam.

JASIN 8 Mei - Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Tun Perak di sini telah dinaik taraf dan dikenali sebagai Sekolah Menengah Kebangsaan Agama (SMKA) Tun Perak.

Pengarah Bahagian Pendidikan Islam Kementerian Pelajaran, Abdullah Md. Din berkata, langkah itu dibuat sejak 8 Mac lalu menjadikan sekolah tersebut sebagai SMKA ke-57 di seluruh negara.

SMKA Tun Perak yang mula dibuka pada 1965 dengan nama asalnya SM Rendah Jasin mula menawarkan aliran agama bermula 1998 sehingga 2002.

"Bilangan sekolah yang memohon untuk menaik taraf SMK kepada SMKA memang banyak, namun permintaannya berbeza dengan sekolah aliran biasa.

"Ia bergantung kepada data sekolah rendah dan SMKA ini bergantung kepada cadangan dan kalau permintaan banyak, barulah usaha itu dibawa ke peringkat mesyuarat Kabinet," katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas merasmikan majlis perisytiharan SMK Agama Tun Perak kepada SMKA di dewan sekolah tersebut di sini hari ini.

Hadir sama Pengarah Jabatan Pelajaran negeri, Datuk Mohd. Yusoff Osman dan Pengetua, Muhd. Hairi Tamam.

Sementara itu, Mohd. Yusoff dalam ucapannya berkata, langkah menaik taraf itu menjadikan SMKA Tun Perak sebagai sekolah aliran agama ketiga terdapat di negeri ini selepas SMKA Sultan Muhammad, Batu Berendam dan SMK Sharifah Rodziah, Telok Mas.

"Seramai 3,500 pelajar telah memohon untuk memasuki SMKA di seluruh negeri, bagaimanapun hanya 1,800 orang dapat diambil untuk ditempatkan di 17 sekolah aliran agama termasuk tiga SMKA tersebut," katanya.

No comments:

Post a Comment

Tinggalkan Komen Anda Sini: