HASIL seni menggunakan fabrik felt di Malaysia sudah menjadi satu trend yang menarik minat ramai remaja perempuan.
Barangan hasil seni kraf fabrik felt yang sangat comel dan berwarna-warni itu mampu menyuntik perasaan ceria kepada si pemakainya.
Salah seorang penggemar fabrik felt, Siti Norfathiah Md. Afandi, 25, telah menghasilkan kraf buatan tangan dengan kreativitinya sendiri.
"Saya mula menceburkan diri dalam pembuatan kraf ini sewaktu belajar subjek Ekonomi dan Perniagaan yang diwajibkan kepada semua pelajar untuk membuka gerai jualan di kampus secara berkumpulan.
"Atas sebab itu saya cuba beranikan diri membuat hasil kerja tangan untuk diletakkan di gerai jualan kami.
"Galakan daripada rakan-rakan dan keluarga memberi saya semangat untuk mencuba sesuatu yang baru. Alhamdulillah, hasil kerja saya mendapat sambutan yang agak memberangsangkan," jelasnya ketika ditemui di kediamannya di Kampung Pandan Dalam, Ampang, Selangor, baru-baru ini.
Sejak dari itu, anak sulung daripada tiga beradik itu serius mengusahakan perniagaan secara online fabrik felt itu pada awal tahun 2011.
Melihat hasil kerjanya yang teliti dan halus di setiap jahitan, menunjukkan Siti Norfathiah sangat mementingkan kesempurnaan dalam memenuhi kehendak pelanggan.
Pelbagai warna fabrik felt digunakan. Sama ada garang atau lembut. Kombinasi warna yang menarik dipadankan dengan penambahan perhiasan seperti butang, riben, manik dan lain-lain bagi mencantikkan lagi koleksi produk yang dihasilkan.
Antara barangan yang dihasilkannya ialah koleksi bantal, bingkai gambar, kerongsang, rantai kunci, bekas telefon atau iPad, penanda buku, klip rambut dan sebagainya.
Siti Norfathiah berkata, proses untuk menyiapkan sesuatu produk mengambil masa antara 15 hingga 30 minit.
"Jika saya tekun membuatnya, ia tidak mengambil masa yang lama untuk menjahitnya. Ditambah saat idea sedang mencurah-curah.
"Lagipun, proses untuk membuatnya pun ringkas selepas jahitan disiapkan, kemudian kelengkapan bagi perhiasan disediakan untuk menampal dilakukan dengan menggunakan gam pistol.
"Daya kreativiti diperlukan untuk membentuk corak dan bentuk yang diingini haruslah sempurna," jelasnya.
Menarik lagi, barangan perhiasan yang diguna pakai seperti butang dan hiasan lain dibeli terus dari negara China melalui bantuan rakannya.
Idea melahirkan barangan seni kraf fabrik felt itu adalah hasil ilhamnya tersendiri. Selain itu, dia juga memperolehi idea menerusi Internet.
"Pada masa yang sama, saya turut mendapatkan sedikit maklumat daripada pelanggan tentang apa bentuk hiasan yang mereka kehendaki," katanya.
Selain barangan fabrik felt, dia juga ada menjual pelbagai beg tangan, beg mekap, wanita dan lain-lain.
Mengenai perancangan pada masa depan, Siti Norfathiah ingin meluaskan lagi perniagaan tersebut dari masa ke semasa selain berkeinginan memiliki sebuah kedai sendiri suatu hari nanti.
"Emak yang banyak memberi galakkan dan membantu selain saya dapat menolong keluarga serba sedikit dari segi kewangan," ujarnya.
Tambah Siti Norfathiah, sempena Himpunan Sejuta Belia yang akan diadakan pada 23 hingga 27 Mei ini, dia akan membuka gerai jualan di Lorong Seni, Putrajaya. Orang ramai dijemput hadir ke sana selain memeriahkan lagi Hari Belia Negara pada tahun ini.
Untuk melihat lebih banyak lagi koleksi yang dihasilkan oleh Siti Norfathiah boleh layari itsacrafttime.blogspot.com atau sertainya di laman www.facebook.com/Snf-Craft.
No comments:
Post a Comment
Tinggalkan Komen Anda Sini: