Wednesday, May 23, 2012

Siswa perubatan UKM berbakti

AZMI Che Hussain (kanan) manyampai bantuan makanan kepada seorang penduduk, Khatijah Ahmad sempena program anjuran UKM di Kampung Iboi, Baling, Kedah baru-baru ini.

SERAMAI 29 penuntut Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) Kampus Kuala Lumpur dipilih menyertai program kemasyarakatan di Kampung Iboi, Baling, Kedah baru-baru ini.

Setiausaha program itu, Nor Shahirah Abdul Patah berkata, pelbagai perkara baru dan menarik dapat dipelajari melalui aktiviti yang dijalankan.

"Kami memberi taklimat kesihatan sempena pameran kesihatan dan kemudian menyumbangkan barang makanan kepada hampir 50 orang penduduk dari Kampung Tanjung Nering, Bok Bak, Masjid Iboi, Padang Empang dan Bukit Iboi," katanya yang mewakili peserta program yang terdiri daripada penuntut Fakulti Perubatan dan Sains Kesihatan UKM.

Menurutnya, peserta adalah bakal doktor muda dan aktiviti yang diadakan itu adalah program wajib sebelum untuk mereka.

"Program seperti ini mampu membantu penuntut mengenali masyarakat kampung dan memperbaiki kelemahan diri sendiri," jelasnya.

Usaha yang dilakukan itu juga katanya boleh mengerat hubungan dengan masyarakat setempat.

Seorang peserta program, Ayesyah Abdullah, 20, dari Taman Tun Dr. Ismail Kuala Lumpur berkata, dia gembira kerana berpeluang menyertai aktiviti mencabar itu.

"Tidak semua penuntut UKM berpeluang untuk menjejak kaki ke kampung begini, kalau ada peluang saya ingin menyertainya lagi," katanya.

Menurutnya, dia gembira kerana dapat berbual dengan masyarakat kampung, terutama dengan golongan belia.

Kelvin Wong Hur Min, 19, dari Taman Tasik Indah, Kuala Lumpur pula berkata, dia juga mendapat layanan baik daripada penduduk kampung.

"Saya dapat mempelajari cara hidup masyarakat orang Melayu di Kampung Iboi, walaupun program agak singkat tetapi begitu bermakna sekali," katanya.

Sebagai peserta, dia juga dapat menunjuk ajar beberapa hal berkaitan penyakit HIV, Hepatitis B, Diabetes dan Obesiti, sakit jantung dan darah tinggi kepada penduduk tempatan.

"Saya harap maklumat disampaikan itu, dihayati sepenuhnya untuk kesihatan diri sendiri," katanya.

Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Bayu, Azmi Che Hussain ketika merasmikan program itu berkata, mahasiswa perlu belajar bersungguh-sungguh dan tidak melakukan sesuatu yang boleh merosakkan diri sendiri.

"Sebagai penuntut universiti, kita boleh melaku sesuatu yang terbaik untuk dicontohi oleh masyarakat.

"Kerajaan sanggup mengeluar peruntukkan amat besar bagi membiayai setiap pelajar sebaik jejak kaki ke universiti, jika mereka buat kesilapan dengan menyertai kumpulan tidak sihat, mereka sendiri pasti menanggung risiko," katanya.

Manakala Pengerusi Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Kampung Persekutuan (JKKKP) Kampung Iboi, Sidik Ismail pula memberitahu, apa yang menarik, ramai ahli belia di beberapa kampung sekitarnya dapat hadir bagi memeriahkan program berkenaan.

No comments:

Post a Comment

Tinggalkan Komen Anda Sini: