Wednesday, May 23, 2012

Graduan IKBN Peretak cemerlang

PENERIMA anugerah Konvokesyen kelapan IKBN bersama Ahmad Shabery Cheek (tengah) dan Ahli Majlis Jawatankuasa Kerja Alumni IKBN Peretak (berbaju korporat) selepas majlis Konvokesyen IKBN di Putrajaya baru-baru ini.

EMPAT graduan Institut Kemahiran Belia Negara (IKBN) Peretak berjaya meraih Anugerah Pekerja Cemerlang, Anugerah Usahawan Cemerlang bagi kategori lelaki dan perempuan serta Anugerah Graduan Terbaik tahun 2011 pada Konvokesyen kelapan IKBN di Pusat Konvensyen Antarabangsa Putrajaya (PICC), baru-baru ini.

Mereka adalah Kamaruddin Ahmad daripada jurusan fotografi, Wan Mohamad Azhar Wan Mohamad (Pembuat Pakaian Lelaki), Rozita Adnan (Terapi Kecantikan) dan Nurshahida Sackdan (Perekaan Gaya Rambut).

Kamarudin Ahmad anak kelahiran Johor mula mengikuti pengajian pada 1986 selama setahun dan berkhidmat dengan Kumpulan Akhbar The News Straits Times Press (M) Bhd. sebagai Jurufoto Kadet sebaik sahaja menamatkan pengajiannya.

Berdasarkan pengalaman dan ketekunan dalam kerjayanya beliau kini merupakan Editor Foto Kumpulan dan berpeluang membuat liputan ke luar negara seperti Lebanon, Indonesia, Pakistan, Iraq dan China.

Manakala graduan Wan Mohamad Azhar dari Kelantan pula yang memulakan perniagaan dengan bermodalkan RM7,000 kini telah berjaya dalam perniagaannya dan menjadi pembekal pakaian lelaki bagi individu, agensi kerajaan dan swasta.

Rozita yang berasal dari Putrajaya pula berjaya membuka perniagaan Salon dan Spa Imej di Putrajaya disamping menjadi konsultan penampilan diri, spa, kecantikan dan solekan.

Kejayaan ketiga-tiga graduan itu juga diharap akan menjadi pemangkin kepada graduan terbaik perekaan gaya rambut Nurshahida Shahdan bagi sesi 2011 ini.

Majlis penyampaian hadiah disempurnakan oleh Menteri Belia dan Sukan, Datuk Seri Ahmad Shabery Cheek.

Dalam pada itu, Alumni IKBN Peretak juga mencipta sejarah apabila Yang Dipertuanya, Samsudin Oli Mohamed dan Ahli Majlis Kerjanya (AMJK) buat pertama kali dijemput secara rasmi oleh Kementerian Belia dan Sukan untuk menghadiri Majlis Konvokesyen berkenaan.

"Saya bukan sahaja bangga kerana dijemput bersama AMJK lain tetapi lebih membanggakan produk IKBN Peretak mengungguli konvokesyen kali ini apabila berjaya menyapu bersih semua anugerah yang diujudkan," katanya.

Samsudin yang merupakan bekas Pengerusi Majlis Perwakilan Pelajar 1985 dari Jurusan Seni foto dan pelajar terbaik kelas dan keseluruhan terbaik bangga kerana graduan seni foto yang dilahirkan oleh IKBN Peretak ini berjaya memenuhi pasaran kerja di sektor awam, swasta, badan berkanun dan juga berjaya menjadi usahawan dinegara ini.

Malah kalangan graduan seperti terapi kecantikan, jahitan, penyajian, penyediaan roti, penyediaan pastry, makanan dan perekaan gaya rambut juga menjadi rebutan di kalangan mereka yang memerlukan pekerja mahir.

Dia juga mengharapkan graduan dari IKBN Peretak akan menyambung pengajian ke peringkat yang lebih tinggi sama ada di institusi pengajian tinggi awam mahupun swasta.

Menurutnya, alumni IKBN amat berbangga dan berterima kasih kepada pihak Menteri Belia dan Sukan kerana bukan sahaja sudi menerima kunjungan mereka tempoh hari kepejabatnya malah memberi peluang untuk menghadiri konvokesyen pada tahun ini.

Konvokesyen kelapan itu menyaksikan 3,085 graduan dari 15 IKBN menerima diploma dan sijil mereka termasuk Institut Kemahiran Tinggi Belia Negara (IKTBN) dan Akademi Kemahiran Belia Golf (AKBG).

Pembinaan IKBN membuktikan kesungguhan kerajaan menyediakan lebih banyak peluang latihan kemahiran kepada belia dalam pelbagai bidang teknikal dan vokasional selaras dengan keperluan tenaga mahir di negara ini.

No comments:

Post a Comment

Tinggalkan Komen Anda Sini: