Monday, May 14, 2012

Sajian stik pelbagai potongan

MELANGKAH saja kaki ke El Toro Butchery and Grill yang terletak di Subang Avenue, terasa santai dengan dekorasi berwarna merah diselang-seli papan hitam yang memberikan penerangan mengenai bahagian badan lembu.

Sesuai dengan nama El Toro yang bermaksud lembu jantan, restoran yang mula beroperasi Julai tahun lalu menghidangkan makanan Barat berasaskan daging sebagai menu utama.

Kedatangan penulis yang disambut dengan hidangan Soup of the day bersama-sama dengan kepingan roti sememangnya membangkitkan selera dengan aromanya yang memikat.

Supnya yang pekat dengan rasa unik, enak apabila dicicah dengan kepingan roti memberikan kelainan.

Lebih menarik, sebelum membuat pesanan, pelanggan boleh memilih daging segar yang dipamerkan dalam peti sejuk sebelum dimasak oleh chef dan dihidangkan.

Pemiliknya Adrian Sani berkata, dengan memilih sendiri pelbagai jenis daging yang ditawarkan seperti wagyu, black angus, grain fed beef, rib-eye, sirloin dan tenderloin, pelanggan akan lebih puas hati.

"Ia khusus untuk stik yang dimasak sama ada rare, medium rare, medium, medium well atau well done.

"Semua daging saya beli segar daripada pembekal yang membekalkan daging yang dibungkus secara vakum dari Australia dan New Zealand.

"Di sini pelanggan bukan saja boleh memilih daging untuk dimasak dan dimakan terus tetapi juga boleh membeli daging segar untuk dimasak di rumah," katanya yang lebih 10 tahun berkecimpung dalam industri berkenaan.

Jelas Andrian, pelanggan boleh memilih stik yang dihidangkan dengan kentang goreng dan salad yang ditabur dengan hirisan keju.

Jika pelanggan mahukan sesuatu yang yang lebih ringan, mereka boleh mencuba beef roll iaitu kepingan nipis daging dengan inti keju, hirisan asparagus dan lobak merah yang digoreng menggunakan marjerin atau minyak zaitun.

"Baunya yang harum hasil adunan daging goreng dan keju menjadikannya antara hidangan yang diminati pelanggan," katanya yang sebelum ini membantu rakannya membuka restoran konsep Barat di Kuala Lumpur.

Selain stik, pelanggan juga boleh memilih hidangan lain seperti burger kambing, hotdog dan grilled chicken chop selain menu sampingan seperti meatballs with fries.

Malah bagi mereka tidak makan daging, El Toro juga menyediakan makanan laut seperti pan fried salmon in teriyaki sauce.

"Pelanggan boleh memilih pelbagai hidangan dengan harga bermula RM15 hingga lebih RM150," katanya.

Mereka yang ingin merasai pilihan jenis daging daripada wagyu sehingga ke tenderloin untuk stik, apa kata berkunjung ke El Toro untuk merasai perbezaannya.

No comments:

Post a Comment

Tinggalkan Komen Anda Sini: