Monday, May 14, 2012

Safari buru pembuka penutup

KOLEKSINYA turut terdiri daripada jenama air minuman popular seperti Coca Cola, Pepsi, F&N dan Yeo's.

WALAUPUN memiliki sebuah kedai menjual barangan antik yang diusahakan keluarganya, Mohd. Safari Yusof bertegas tiada siapa yang boleh mengusik koleksi kesayangannya, pembuka penutup botol.

Berbanding barangan antik lain yang berada dalam kedainya, Ipoh Loken yang terletak di Anggerik Mall, Shah Alam, koleksi kesayangannya itu mempunyai fungsi yang ringkas iaitu sekadar membuka penutup botol tetapi tetap dianggap paling berharga baginya.

Mengagumkan, Safari masih ingat setiap koleksinya yang berjumlah hampir 400 buah yang pelbagai bentuk iaitu bagaimana serta bila dia memperolehinya.

Kegilaan mengumpul pembuka penutup botol yang berasal dari kira-kira 40 buah negara berbeza itu, cerita Safari, semuanya bermula secara tidak sengaja pada 1985.

"Saya membeli pembuka penutup botol yang pertama ketika itu untuk kegunaan sendiri di rumah kerana pada zaman itu banyak air minuman dalam botol yang dijual berbanding sekarang yang berbentuk tin.

"Kemudian, saya menemui penutup pembuka botol yang lebih cantik daripada yang telah saya beli ketika berjalan-jalan lalu terus mendapatkannya.

"Semakin banyak saya berjalan, makin banyak pembuka penutup botol yang unik dan cantik saya temui membuatkan saya seronok untuk mengumpulnya," cerita Safari ketika ditemui di Garage Sale di Anggerik Mall, Shah Alam yang diadakan setiap Ahad.

Terang Safari yang berasal dari Ipoh, pemburuan koleksinya itu semakin rancak apabila dia kerap ke luar negara untuk bercuti mahupun kerana urusan kerja iaitu di Korea, Hawai, Los Angeles, Australia, Jepun, Indonesia, Thailand dan banyak lagi.

Rakan-rakan dan keluarga terutama isterinya bekas pramugari amat menyokong hobinya itu dengan mendapatkan pembuka penutup botol untuknya setiap kali mereka ke luar negara.

Ada antara pembuka penutup botol simpanan Safari boleh dikatakan antik dan diperolehinya di pasar-pasar barangan antik seperti di Loken, Ipoh malah ada dari kedai Cash Converter.

Safari turut memiliki pembuka penutup botol yang mempunyai logo produk minuman F&N yang kini telah berkarat kerana dimamah usia daripada bapanya dan ia meninggalkan memori tersendiri kerana ketika kecil, dia sering melihat pembuka penutup botol itu digunakan di rumahnya.

Antara koleksi yang paling disayanginya pembuka penutup botol berupa replika penyodok yang disadur emas dari New Zealand kerana ia mempunyai sejarah tersendiri.

Pembuka penutup botol yang ditemuinya di pasar Loken, Ipoh itu adalah replika penyodok yang digunakan ketika misi pencarian emas di Coromandel, New Zealand pada 1852.

1 comment:

  1. saya berminat nak buat liputan mengenai safari ini..please call me asap..
    im sue..0133464767..saya nak menghubungi safari secepat mungkin

    ReplyDelete

Tinggalkan Komen Anda Sini: