Thursday, May 24, 2012

Rakyat Mesir pilih presiden baharu


CALON pergerakan Ikhwanul Muslimin, Mohammed Mursi menunjukkan dakwat hitam pada jari kelingkingnya selepas membuang undi di bandar Zagazig semalam.


KAHERAH, Mesir - Rakyat Mesir keluar mengundi semalam dalam pilihan raya presiden pertama yang diadakan selepas kejatuhan diktator, Hosni Mubarak pada tahun lalu.

Orang ramai berbaris panjang bagi menunaikan tanggungjawab mereka sejurus selepas pusat pembuangan undi dibuka tepat pukul 8 pagi (waktu tempatan ) di seluruh Mesir.

"Ini merupakan hari indah untuk Mesir," kata seorang penduduk, Nehmedo Abdel Hadi yang membuang undi di sebuah sekolah di sini.

"Hari ini bersejarah kerana kami sebagai rakyat, dapat memilih Presiden Mesir buat kali pertama," kata seorang pengundi wanita berusia 46 tahun, Rania yang keberatan mendedahkan calon pilihannya.

Lebih 50 juta pengundi berdaftar dijangka memilih seorang daripada 12 calon yang bersaing untuk menggantikan Mubarak.

Proses membuang undi dijadual berlangsung selama dua hari bermula semalam di 13,000 pusat pembuangan undi di seluruh Mesir manakala keputusan awal pilihan raya tersebut dijangka diketahui Ahad ini.

Calon utama yang bertanding termasuk bekas Menteri Luar dan ketua Liga Arab, Amr Mussa yang dilihat sebagai ahli politik berpengalaman.

Namun, seperti pesaingnya Ahmed Shafiq yang merupakan bekas Perdana Menteri, Amr juga dianggap memiliki fahaman lama rejim Mubarak.

Selain mereka, calon pilihan Ikhwanul Muslimin, Mohammed Mursi ditentang hebat oleh bekas ahli pergerakan Islam berkenaan yang mendakwa mendapat sokongan lebih meluas di peringkat akar umbi.

Ikhwanul Muslimin merupakan kumpulan Islam paling berpengaruh di Mesir.

Pilihan raya tersebut diadakan oleh Majlis Tertinggi Angkatan Tentera Mesir yang mentadbir negara selepas kejatuhan Mubarak pada awal tahun lalu.

Sementara itu, Mubarak, 84, yang jatuh sakit menyaksikan pilihan raya tersebut dari sebuah hospital tentera dekat sini.

Bekas Presiden Mesir itu kini menunggu keputusan perbicaraan pada 2 Jun depan kerana pembabitannya dalam pembunuhan sekitar 850 penunjuk perasaan semasa kebangkitan rakyat Mesir awal tahun lalu.

No comments:

Post a Comment

Tinggalkan Komen Anda Sini: