ISLAMABAD – Kalangan mangsa serangan asid yang menjadi fokus dalam dokumentari pendek Saving Face kini khuatir dipulau dan diancam jika filem itu ditayangkan di Pakistan.Pada Februari lalu, pengarah muda, Sharmeen Obaid-Chinoy, 33, mencipta sejarah apabila menjadi rakyat Pakistan pertama memenangi Anugerah Academy menerusi filem tersebut di Hollywood.
Filem berdurasi selama 40 minit itu mengisahkan tentang mangsa-mangsa serangan asid dan pakar bedah plastik kacukan Inggeris, Mohammad Jawad yang kembali ke Pakistan untuk membantu memulihkan wajah dan kehidupan mereka.
Dokumentari pendek terbaik itu mendedahkan penderitaan yang ditanggung sejumlah wanita apabila wajah mereka dirosakkan akibat serangan asid.
Bagaimanapun, kejayaan itu dilihat tidak bermakna apabila sesetengah mangsa kini khuatir tindak balas masyarakat negara itu yang amat konservatif.
“Kami tidak tahu ia akan memenangi Oscar. Ia betul-betul salah. Kami tidak pernah mengizinkan mereka menayangkan filem ini di Pakistan.
“Kami mungkin berada dalam keadaan lebih bahaya dan ketakutan. Kami mungkin berdepan insiden yang sama sekali lagi. Kami tidak mahu muka kami dilihat dunia,” kata Naila Farhat, 22, yang turut muncul dalam dokumentari itu.
Naila berusia 13 tahun semasa disimbah asid oleh seorang lelaki kerana menolak lamaran berkahwin sehingga mencacatkan sebelah matanya.
No comments:
Post a Comment
Tinggalkan Komen Anda Sini: