Friday, May 18, 2012

Ragam pengunjung di Fiesta Kosmo


Misha Omar, Nera, Amy Search dan Akim antara selebriti yang menghiburkan para pengunjung pada acara kemuncak Fiesta Bumi Kenyalang Kosmo! pada 13 Mei lalu.


Akhbar kompak Kosmo! yang memulakan operasi pada 30 Ogos 2004 di Semenanjung Malaysia kini sudah memasuki pasaran Sarawak sejak 7 Mei lalu.

Majlis pelancarannya disempurnakan oleh Menteri Pelancongan Sumber dan Alam Sekitar II Sarawak, Datuk Amar Awang Tengah Ali Hasan di Wisma Sumber Alam, Kuching.

Bagi mendekati dan meraikan para pembaca di Sarawak, akhbar Kosmo! dengan kerjasama stesen radio Cats FM dan turut disokong oleh Kampung Budaya Sarawak serta Jabatan Belia dan Sukan Negeri Sarawak menganjurkan Fiesta Bumi Kenyalang Kosmo!.

Senamrobik

Seawal pukul 6 pagi, orang ramai sudah mula memenuhi tapak fiesta kerana ingin menyertai acara senamrobik Kosmo!. Ramai yang tidak mahu melepaskan peluang berebut-rebut mendapatkan 500 helai baju-T eksklusif Kosmo! yang diedarkan secara percuma.

Acara senamrobik Kosmo! yang dikendalikan oleh kakitangan Kampung Budaya Sarawak berlangsung selama dua jam.

Para peserta diajak bersenam dan menari dengan seleksi genre lagu yang menyeronokkan. Selain itu, pengunjung yang terdiri daripada pelbagai lapisan umur turut dihiburkan dengan pertandingan Badang Kosmo!.

Pada acara tersebut para peserta dikehendaki menarik sebuah trak pikap Isuzu Dmax seberat 300 kilogram. Kemudian, pada sebelah petang pula gelanggang Muay Thai Kosmo! dibuka. Seramai 20 peserta bertarung bagi merebut hadiah berupa wang tunai. Bagi memeriahkan lagi suasana Fiesta Bumi Kenyalang Kosmo!, orang ramai turut dialu-alukan menyertai acara menyumpit.

Walaupun hujan mula membasahi tapak fiesta sekitar pukul 4 petang, tetapi orang ramai tetap tidak berganjak. Masing-masing tidak sabar menyerbu gerai Kosmo! untuk menebus baju-T eksklusif Kosmo!.

Pada masa yang sama, pengunjung dihiburkan dengan lima kumpulan muzik popular dalam kalangan belia di bandar raya Kuching.

Mereka bersaing menunjukkan kehebatan dalam pertandingan Battle of The Band untuk merebut wang tunai RM1,000.

Lebih menarik, para pengunjung berpeluang membeli lima unit iPad bernilai 50 sen setiap satu dan empat unit basikal pada harga 50 sen setiap satu.

Kosmo! juga menawarkan tujuh unit kamera digital jenama Nikon dan polaroid yang dijual pada harga 10 sen setiap satu.


ACARA Muay Thai disertai 20 peserta yang tangkas beraksi. "MERIAH. Itulah suasana yang sesuai untuk menggambarkan Fiesta Bumi Kenyalang Kosmo! yang berlangsung di The Square Tower, Kuching, Sarawak pada Ahad lalu.


Bagi melayakkan diri membeli barangan tersebut pengunjung perlu menyertai Teka Fiesta Kosmo! dengan meneka jumlah kacang, epal dan biskut yang diletakkan di dalam balang kaca.

Bermacam-macam ragam pengunjung dapat dilihat. Mereka cukup teliti dan berhati-hati ketika mengira kerana enggan melepaskan peluang memiliki hadiah-hadiah berkenaan.

Menjelang acara kemuncak Fiesta Bumi Kenyalang Kosmo!, sebuah konsert diadakan dibarisi artis popular tanah air seperti Amy Search, Misha Omar, Bob AF2, Akim AF5 dan Nera AF9.

Turut serta ialah selebriti kelahiran Sarawak iaitu Iwan Dasri, Norhafizah Busman dan Mal Imran (Juara Soulstar 2011) serta penampilan khas 15 orang finalis Miss World Harvest Festival 2012.

Tidak ketinggalan persembahan Rainforest Group Kaban Ka’au’ yang cukup menghiburkan.

Hadir merasmikan Konsert Fiesta Bumi Kenyalang Kosmo! yang berlangsung pada pukul 8 malam itu ialah Menteri Pelancongan Sarawak, Datuk Amar Abang Johari Tun Openg dan Menteri Muda Pelancongan Sarawak, Datuk Talib Zulpilip.

Majlis berkenaan turut dihadiri Ketua Pengarang Kumpulan Utusan, Datuk Aziz Ishak dan Pengarang Kosmo!, Baharom Mahusin.

Fiesta Bumi Kenyalang Kosmo! turut diadakan dengan kerjasama daripada Daiichi, OneDrop Perfumes, MyIPO, Suruhanjaya Syarikat Malaysia (SSM), Giant, Zarlith Events and Catering Sdn.Bhd., Buena Vista International, Popmyberry dan Nikon.

No comments:

Post a Comment

Tinggalkan Komen Anda Sini: