Friday, May 18, 2012

Kaviti sifat bersama Faizal

KEHADIRAN Faizal Tahir serta keluarganya menjadikan majlis pelancaran lebih menarik dengan mempromosikan kempen Bulan Kesihatan Mulut.


SUNGGUHPUN jadualnya padat dan bergelut dengan masa bekerja yang tidak menentu, penyanyi, Faizal Tahir tetap tidak mengabaikan soal penjagaan gigi yang dikira amat penting dalam kerjayanya sebagai seorang penghibur.

Baginya, senyuman yang manis dan menarik pastinya menjadi aset penting ketika melakukan sesi penggambaran mahupun sesi bergambar bersama peminat kerana ia merupakan 'kekuatan' dalam sesebuah gambar.

Meskipun sibuk dengan kerja, selebriti sokongan bagi Kempen Bulan Kesihatan Mulut 2012 itu tetap tidak melupakan keluarga dan anak-anak yang berada di rumah.

Sebagai seorang ayah, tanggungjawab mendidik anak-anak dalam menerapkan penjagaan gigi yang betul datang secara semula jadi.

"Walaupun saya selalu pulang lewat malam, namun bila ada kesempatan, saya pasti akan memeriksa gigi anak-anak saya sebelum mereka masuk tidur.

"Semua kanak-kanak termasuklah anak-anak saya sukakan makanan yang manis. Namun, saya tidak menghalang mereka menikmati makanan tersebut, cuma saya tegaskan bahawa pengambilan makanan-makanan tersebut secara kerap tidak bagus untuk gigi," katanya yang menggunakan pendekatan yang lembut dalam soal mengajar anak-anak tentang penjagaan gigi.

Faizal memberitahu, sempena kempen Bulan Kesihatan Mulut tahun ini yang bertemakan Misi Kami: Kaviti Sifar, anak-anaknya mendapat pendedahan yang lebih menyeluruh tentang teknik-teknik penjagaan gigi yang betul.

Matlamat kesihatan mulut Organisasi Kesihatan Sedunia (WHO) iaitu Start Early, Healthy Mouth for a Healthier Life (Mulakan Awal, Mulut Sihat Demi Hidup Lebih Sihat) turut selari dengan tema kempen yang telahpun memasuki tahun kesembilan ini.

"Melalui laman sosial seperti Facebook dan Twitter, saya cuba menyebarkan kepada orang ramai tentang peluang mereka untuk mendapatkan pemeriksaan gigi secara percuma melalui klinik-klinik di bawah naungan Persatuan Doktor Pergigian Malaysia.

"Saya sedar betapa pentingnya pemeriksaan gigi dalam memastikan mulut saya dalam keadaan yang baik. Sukar untuk saya mencuri masa untuk berjumpa dengan doktor gigi kerana jadual yang ketat dan kerana itulah saya berada di sini. Bukan sekadar memberi peringatan kepada orang ramai, malah buat diri sendiri," ujarnya.

Faizal turut menyuarakan sokongan mengenai usaha Colgate yang bekerjasama dengan Persatuan Doktor Pergigian Malaysia (MDA) dan Bahagian Kesihatan Mulut Kementerian Kesihatan.

Ia bertujuan memberi penekanan terhadap pendidikan seawal mungkin bagi penjagaan kesihatan gigi yang tepat dan amalan teknik-teknik penjagaan gigi yang betul.

"Inisiatif-inisiatif yang dijalankan oleh Colgate dan MDA menunjukkan bahawa mereka berusaha keras untuk meningkatkan kesedaran orang ramai tentang kesihatan gigi," katanya.

No comments:

Post a Comment

Tinggalkan Komen Anda Sini: