TIADA siapa menduga peristiwa hitam akibat dikecewakan oleh teman lelaki kira-kira lima tahun lalu telah mengubah perwatakannya daripada seorang wanita normal kepada wanita yang berperwatakan seperti lelaki.
Peristiwa cinta tulusnya dikhianati telah memadamkan sepenuh kepercayaan Tom (bukan nama sebenar), 25, terhadap kaum Adam lantas memberi kesan kepada seluruh kehidupannya sehingga sekarang.
Dia bukan setakat tidak lagi meletakkan cintanya pada lelaki. Bahkan sedikit demi sedikit menghakis minatnya terhadap kaum itu sebaliknya telah beralih ke kaum sejenis
Berasal dari selatan tanah air, Tom mengakui dia terlalu mengikut perasaan ketika itu kerana tidak boleh menerima kenyataan ditinggalkan kekasih.
"Kami berkenalan ketika sama-sama belajar di universiti. Hubungan tersebut hanya mampu bertahan selama tiga tahun sahaja.
"Saya telah ditipu dan dipermainkan apabila dia berlaku curang dengan menjalinkan hubungan dengan kawan baik sendiri.
"Selepas peristiwa itu, saya tidak dapat mengawal diri dan mengalami tekanan yang amat sangat hingga pernah bertindak memakan pil tidur kerana tidak boleh melupakan bekas kekasih," katanya.
Tom berkata, selepas itu dia berazam mencari kebahagiaan dengan cara sendiri dan telah memilih jalan hitam.
"Jalan yang saya pilih ini ternyata memberikan saya kepuasan dan kebahagiaan yang patut saya miliki sejak dulu lagi biarpun terpaksa menagih cinta dari kaum sejenis.
"Selain perubahan ketara pada perasaan dengan menyukai wanita, perubahan aspek fizikal juga berlaku kepada golongan seperti kami seperti berambut pendek dan berperwatakan seperti seorang lelaki.
"Berhubungan dengan wanita lebih bahagia kerana mereka memahami dan tidak banyak kerenah seperti kaum lelaki," katanya.
Tambah Tom, cita rasa golongan penkid kepada wanita tidak ubah seperti lelaki. Mereka gemar mendekati wanita yang berkulit putih, berambut panjang dan manja.
"Kami gemarkan wanita kerana sifat yang berbeza dengan kami. Dengan mereka akan memperolehi kepuasan dan layanan yang baik.
"Selain itu, kami juga akan menggunakan modal mulut manis untuk memikat gadis-gadis muda terutama yang masih bersekolah dan tidak ada haluan hidup.
"Pada permulaan mereka akan disogokkan dengan kemewahan, kasih sayang dan perhatian sehinggalah mereka terjebak dan termakan budi dengan kami," katanya.
Katanya lagi, dalam situasi itu mereka yang terlibat tidak boleh melarikan diri kerana semua kehidupan telah di kawal.
"Pernah beberapa kali kami bergaduh sesama sendiri kerana berebut kekasih lantaran wujud perasaan cemburu dan sayang yang mendalam.
"Kami juga seperti insan lain, tidak boleh menerima jika kekasih berlaku curang. Akibatnya kami akan bertindak di luar kawalan seperti sanggup memukul dan mencederakan mereka yang cuba menjadi perampas," katanya.
Tambahnya, bukan dia tidak pernah memikirkan kesan kepada diri kerana terjebak dengan perkara ini tetapi keadaan tidak memihak kepadanya untuk kembali berubah.
"Pernah terdetik dalam hati untuk berubah tetapi ia seperti susah kerana dendam kepada bekas kekasih masih tidak boleh dibuang dan segar dalam ingatan.
"Sepanjang tempoh dua tahun juga saya tidak balik menjenguk keluarga di kampung.
"Hanya telefon yang menjadi penghubung antara kami kerana saya tidak mahu melihat mereka sedih dengan perubahan terhadap diri saya," katanya.
No comments:
Post a Comment
Tinggalkan Komen Anda Sini: