Monday, May 28, 2012

Penghasilan benih kerapu berkualiti

Telur ikan yang telah disenyawakan diletakkan dalam sebuah tangki khas.

TEKNOLOGI hibrid sebenarnya telah lama kita ketahui malah ramai di kalangan masyarakat awam turut menyokong penyelidikan dan pengembangan dalam teknologi ini.

Bermula daripada produk pertanian seperti padi hibrid sehingga kepada kenderaan yang juga dilengkapi teknologi tersebut.

Kini, produk akuakultur juga tidak ketinggalan melalui proses teknologi hibrid.

Terbaru adalah penghasilan kerapu hibrid hasil kacukan induk kerapu harimau (epinephelus fuscoguttatus) dan kerapu kertang (epinephelus lanceolatus).

Kerapu harimau, kerapu kertang dan kerapu hibrid hasil kacukan kedua-dua spesies tersebut merupakan antara yang paling banyak di ternak di Malaysia.

Ia berikutan faktor harganya yang mahal di samping memenuhi kriteria pemilihan spesies untuk akuakultur seperti tahan lasak, tahan penyakit dan benih yang mudah diperolehi.

Kerapu harimau merupakan spesies bersaiz sederhana yang lebih mudah dibiakkan tetapi agak lambat membesar.

Manakala kerapu kertang merupakan yang paling cepat membesar namun sukar untuk dibiakkan berikutan kegagalan induk betina mengeluarkan telur secara semulajadi atau aruhan.

Justeru, kacukan kedua-dua spesies tersebut berjaya menyelesaikan masalah berkenaan kerana benih kerapu hibrid mewarisi ciri-ciri perantaraan yang baik daripada kedua-dua induk asal.

Antaranya, lebih tahan penyakit, cepat membesar dan morfologi yang menarik di samping harga yang tinggi dipasaran.

Ciri-ciri tersebut menyebabkan kerapu hibrid menjadi pilihan penternakan marin tempatan sejak beberapa tahun kebelakangan ini.

Harga pasaran ikan kerapu hibrid pernah melonjak sehingga RM70 sekilogram (kg). Namun kini harganya agak menurun pada kadar RM40 hingga RM50 per kg di sebabkan faktor penawaran atau bekalan yang semakin meningkat.

Menurut Ketua Pengarah Perikanan, Datuk Ahamad Sabki Mahmood, ikan kerapu menyumbang kira-kira 20 peratus daripada keseluruhan hasil pengeluaran akuakultur ikan marin negara.

"Ia mendapat permintaan tinggi dalam bentuk ikan hidup di pasaran luar negara khususnya Hong Kong dan China.

"Malah, hasil pengeluaran akuakultur ikan marin negara kini mencecah 35,000 tan metrik setahun," katanya ketika berucap merasmikan Promosi Teknologi Akuakultur Ikan Kerapu di Pusat Teknologi Pembenihan Akuakultur Marin (FRI) Tanjung Demong, Jabatan Perikanan, Besut, Terengganu baru-baru ini.

Jelas Ahamad Sabki, ternakan ikan kerapu secara komersial dalam sangkar di kawasan laut terlindung bermula sejak 1973.

Antara spesies terawal dan paling digemari pada ketika itu adalah kerapu hijau (epinephelus suillus). Namun bekalan benih ikan tersebut amat terhad dan bermusim serta hanya diperolehi dari sumber semulajadi.

Bermula 1990an, bilangan spesies kerapu yang diternak semakin bertambah menggunakan benih liar dan benih yang diimport dari Taiwan dan Indonesia.

Ia termasuk kerapu merah (epinephelus bleekeri), kerapu tikus (cromeleptis altivelis) dan kerapu sunoh (plectropomus leopardus).

Kini, teknologi pembenihan kerapu hibrid berjaya dikembangkan oleh beberapa pengusaha tempatan termasuk pengusaha pusat pembenihan Industri Kecil Sederhana (IKS) yang mendapat bimbingan secara terus daripada FRI Tanjung Demong.

Harga semasa telur kerapu hibrid yang dihasilkan mencecah RM6,000 hingga RM10,000 bagi sejuta biji dan harga benih yang bersaiz 7.5 sentimeter (sm) di antara RM8 hingga RM10 per ekor.

Kerapu kertang dipilih sebagai spesies kacukan kerana ia mempunyai ciri-ciri fenotip yang baik seperti cepat membesar dan tahan kepada perubahan persekitaran.

Ciri-ciri tersebut dapat mengurangkan risiko semasa peringkat ternakan.

Kerapu hibrid boleh mencapai saiz pasaran satu kg hingga 1.2 kg dalam masa yang singkat iaitu 10 hingga 12 bulan berbanding kerapu harimau sehingga 15 bulan bermula dari peringkat telur.

Proses atau kaedah pembiakan dibuat secara in vitro, di mana mani dan telur disenyawakan di luar badan dengan bantuan suntikan hormon.

Apabila induk kerapu harimau betina telah sedia untuk mengeluarkan telur, lurutan dibuat pada bahagian abdomen secara perlahan bagi mengeluarkan telur-telur ke dalam bekas yang kering dan bersih.

Manis kerapu kertang akan dicampurkan dengan telur kerapu harimau dan di kacau sehingga sebati. Selepas beberapa minit, telur yang tersenyawa dimasukkan ke dalam tangki yang diisi air laut untuk proses perkembangan telur berlaku.

Penetasan telur berlaku di antara 16 hingga 18 jam selepas telur disenyawakan dan dianggarkan 300,000 hingga 500,000 biji telur diperolehi bagi setiap sekilogram induk betina.

Telur-telur yang disenyawakan akan dipindahkan ke dalam tangki pembenihan untuk jangka masa 30 hingga 40 hari sehingga selesai peringkat metamorfosis sebelum dituai.

Perubahan persekitaran dan faktor kualiti telur boleh menyebabkan kematian (mortaliti) yang tinggi pada peringkat sebelum metamorfosis.

Benih perlu dikelaskan dari masa ke semasa bagi mengurangkan kanibalisme (tabiat makan sesama sendiri) terutamanya pada saiz 2.5 sm hingga 7.5 sm.

Pada umur 100 hari selepas ditetaskan kerapu hibrid mencapai saiz 10-12 sm dan sedia untuk dipindah ke dalam sangkar atau kolam penternakan seterusnya di pelihara sehingga mencapai saiz matang untuk di jual.

1 comment:

  1. Taniah. Fakta dan maklumat yang berfaedah. Saya mendapati ia amat membantu bagi sesiapa yang ingain menceburi busines ini. Semoga Tuan dapat muatkan Kertas Cadangan untuk dijadikan bahan rujukan bagi kalian yang hendak/akan mengatur langkah ke halatuju Industri ini. Mudah mudahan Sektor Pertanian bertapak kukuh di negara kita.

    ReplyDelete

Tinggalkan Komen Anda Sini: