GERAKAN lembut bak tarian tradisional yang dilakukan sekumpulan gajah seolah-olah melambangkan rasa gembira mereka dalam menyambut kehadiran pengunjung ke destinasi tersebut.
Ayunan badan ke kiri dan kanan secara tidak langsung membuatkan belalai haiwan itu turut beralun mengikut rentak. Persembahan permulaan di Santuari Gajah Kuala Gandah yang terletak di Lanchang, Pahang itu kemudian diiringi tepukan gemuruh pengunjung yang hadir.
“Tempat ini sangat menakjubkan. Para pengunjung bebas bermesra dengan gajah-gajah yang sungguh istimewa ini. Mereka sangat menghiburkan,” ujar Kelly Mackenzie, 29, seorang pelancong dari Cornwall, England yang datang bersama suaminya, Sam Mackenzie untuk mendekati haiwan herbivor itu.
Menurut Sam, kedatangan mereka ke negara ini adalah untuk berbulan madu. Kuala Gandah dipilih kerana mereka tertarik dengan artikel berkaitannya yang ditemui di internet iaitu pengunjung bebas untuk berinteraksi dengan gajah-gajah yang dipelihara di sana.
Malah, pasangan yang baru sahaja berkahwin itu turut memuji kehebatan pelatih-pelatih yang mampu memberi arahan dan mengajar gajah-gajah mereka berkomunikasi dengan pengunjung.
Selain menonton persembahan gajah, Kelly, Sam dan juga pengunjung lain berpeluang memberi makan kepada haiwan berkenaan dengan tangan sendiri, menunggang serta mandi bersama anak gajah yang comel.
Program lawatan media ke pusat konservasi gajah tersebut dianjurkan oleh Zespri International, syarikat peneraju pasaran buah kiwi antarabangsa sebagai inisiatif mempromosikan buah berkenaan.
Inisiatif tahunan Zespri
Dinamakan Buah Kiwi, Pengembaraan Menarik Cedokan Berkhasiat Harian Anda, aktiviti itu bertujuan untuk mempromosikan permulaan musim 2012 bagi buah kiwi yang merupakan hasil pertanian terpenting di New Zealand.
Pengurus Pemasaran Asia Tenggara Zespri International, Judy Lee berkata, mereka memilih untuk membawa kumpulan media berkunjung ke pusat itu kerana ia dilihat mempunyai signifikan dengan khasiat yang ada pada buah tersebut.
“Aktiviti ini merupakan acara inisiatif media tahunan kami untuk memperkenalkan kebaikan buah kiwi. Justeru, Santuari Gajah Kuala Gandah ini merupakan destinasi terbaik untuk menggambarkan bahawa walaupun gajah sejenis binatang yang besar dan gagah, tetapi buah kiwi yang kecil ini juga sama gagahnya dalam aspek khasiat yang dimiliki,” jelas Judy.
Sementara itu, pemandu pelancong, Mohd. Ruslim Idrus yang turut menyertai lawatan tersebut sempat memberi pesanan kepada para wartawan, penulis dan jurugambar yang hadir agar cuba untuk meletakkan makanan di dalam mulut gajah itu sendiri.
“Masukkan buah kiwi atau makanan lain yang ingin diberi di dalam mulut gajah. Letak di atas lidahnya. Jangan bimbang kerana mereka tidak akan menggigit tangan anda,” kata Ruslim sambil disambut dengan jeritan kecil menandakan rasa takut oleh ahli media yang hadir.
Tidak gigit manusia
Menurut Ruslim, ia satu pengalaman menarik yang harus dilakukan setiap pengunjung. Tambahnya, apabila meletakkan sesuatu makanan di dalam mulut gajah itu, mereka tidak akan mengunyahnya selagi tangan kita tidak ditarik keluar.
“Ini kerana gajah adalah sejenis haiwan herbivor yang hanya memakan tumbuh-tumbuhan. Justeru, ia tidak akan menggigit, sebaliknya mencederakan manusia jika rasa diri terancam,” jelas beliau lagi mengenai santuari yang terletak kira-kira 200 kilometer dari Kuala Lumpur.
Sementara itu, Pegawai Hidupan Liar, Jabatan Perlindungan Hidupan Liar dan Taman Negara (Perhilitan) Santuari Gajah Kuala Gandah, Isma Hamidah Ismail memberitahu, sehingga kini terdapat 26 ekor gajah yang dipelihara di pusat tersebut.
“Ia terdiri daripada tujuh ekor gajah jantan dan 16 ekor gajah betina. Kesemua haiwan itu telah diselamatkan dari habitat mereka dan dihantar ke sini bagi tujuan konservasi atau pemuliharaan.
“Gajah paling muda berusia tiga tahun yang diperoleh dari India, manakala paling tua berusia 78 tahun. Setiap hari kesemua gajah ini memerlukan kira-kira 900 kilogram makanan seperti buah-buahan, rumput dan palet,” tutur Isma sambil memberi tip agar pengunjung tidak berdiri di belakang gajah kerana tindakan itu boleh mencederakan mereka.
Pada majlis itu juga, Zespri International telah menyumbang RM1,500 kepada pihak Santuari Gajah Kuala Gandah sebagai tanda sokongan mereka terhadap pusat tersebut.
Ditubuhkan pada tahun 1989 oleh Perhilitan, pusat itu berperanan untuk melindungi serta menempatkan semula gajah-gajah luar yang habitatnya telah diganggu.
Selain itu, ia bertujuan untuk meminimumkan risiko kepupusan haiwan tersebut.
No comments:
Post a Comment
Tinggalkan Komen Anda Sini: