Thursday, May 10, 2012

Mila hampir dinoda pengkid

WALAUPUN Mila, 21, (bukan nama sebenar) seorang gadis biasa dan normal, tetapi dia tidak kisah bergaul dan berkawan rapat dengan kawan sekuliahnya yang bergelar pengkid.

Dia mula mengenali pengkid dan berkawan rapat dengan golongan itu ketika memulakan pengajian tahun satu di sebuah politeknik di utara tanah air. Pergaulan dengan mereka itu langsung tidak mengubah perwatakannya sebagai seorang gadis sunti.

Malah ujarnya, niat berkawan itu pada mulanya adalah untuk membawa mereka kembali ke pangkal jalan. Tetapi dia tidak mampu melakukannya kerana banyak perkara negatif berbanding positif yang golongan itu lakukan.

Mengimbas kembali peristiwa dia cuba dinoda oleh pengkid iaitu Mel (bukan nama sebenar), 23, iaitu senior kepada kawan sebiliknya adalah pengalaman yang tidak akan dilupakan sehingga hari ini.

"Saat mula berkenalan dengannya, saya tahu dia seorang pengkid. Tetapi tidak menyangka dia ada menyimpan perasaan terhadap saya.

"Namun, lama kelamaan saya dapat menghidunya kerana dia sering mengambil berat dan mengetahui semua perkara yang saya lakukan setiap hari.

"Dia pernah meminta nombor telefon tetapi saya enggan memberinya sehinggalah dia bertindak mencurinya daripada teman sebilik," kata Mila.

Jelasnya pada pagi itu, rakan sebiliknya yang juga sahabat baik kepada Mel mempunyai kelas pada sesi pagi.

"Kerana menyedari saya tinggal berseorangan ketika itu, Mel telah mengambil kesempatan memasuki bilik saya dan berpura-pura ingin bersembang pada awalnya.

"Pada mulanya saya melayan sahaja kerenahnya. Tetapi saya dapat mengetahui niatnya yang sebenar melalui cara pandangannya.

"Kebetulan ketika itu, saya baru siap mandi dan berpakaian agak menggairahkan menyebabkan nafsunya tidak terkawal lantas menyerbu dan bertindak memeluk saya dari arah hadapan," katanya.

Tambah Mila, dalam keadaan terkejut dia tidak mampu melakukan apa-apa tindakan sehinggalah apabila dia mendapat kekuatan bertindak menendang dan memukul Mel.

"Mel sempat meninggalkan kesan gigitan cinta pada leher. Selepas itu saya memarahinya kerana tidak dapat menerima keadaan ini dan dia bertindak mencuri kad metrik sebagai cara untuk berjumpa lagi dengan saya.

"Sebenarnya golongan ini walaupun nampak seperti lelaki pada dasarnya jiwa mereka sangat lembut dan sensitif.

"Kejadian itu tidak diketahui oleh sesiapa sehinggalah gigitan cinta pada bahagian bawah leher itu telah dilihat oleh seorang lagi rakan pengkid iaitu Mona (bukan nama sebenar), 22, ketika dia berkunjung ke bilik saya," katanya.

Namun, Mila tidak menyangka bahawa selepas itu Mona bertindak menemui Mel dan memarahinya kerana kejadian tersebut.

"Sehingga sampai pada satu tahap mereka bergaduh dan saling berbalah disebabkan masing-masing mempunyai perasaan kepada saya.

"Selepas kejadian itu, baru saya sedar, Mel iaitu sahabat baik saya sendiri juga menyimpan perasaan kepada saya," katanya.

Jelasnya lagi, selepas kejadian itu, Mel telah meluahkan perasaan sayang dan cintanya namun Mila tidak boleh menerima dan memberitahunya secara elok.

"Dia tidak dapat menerima keadaan itu dan sebagai tanda memprotes terhadap rasa kekecewaannya, dia telah mula merokok dan mengambil minuman keras.

"Pernah saya menasihatinya untuk kembali berubah kerana sayang dengan persahabatan yang terjalin di antara kami. Tetapi dia tidak menghiraukannya," katanya.

Jelas Mila lagi, selepas kejadian itu, hubungan mereka semakin renggang dan jika bertemu di kampus sekalipun mereka tidak lagi bertegur antara satu sama lain.

Mila berkata, walaupun rakan sekuliah memandang serong kepadanya kerana pernah berkawan dengan pengkid tetapi dirinya tidak terkilan dan sedih.

"Walaupun hubungan saya dan Mel tidak seperti dahulu, saya berdoa agar dia boleh berubah dan menjalankan hidup seperti wanita normal," katanya.

No comments:

Post a Comment

Tinggalkan Komen Anda Sini: