Thursday, May 10, 2012

Bahagia hidup dikelilingi anak

Anak-anak penghibur Jusmiera pada setiap masa.

SESUNGGUHNYA darjat seorang ibu amat tinggi. Pengorbanan yang dicurahkan untuk anak tidak pernah diminta balasan walaupun jiwa dan raga menderita. Apa yang diharapkan ialah kebahagiaan anak dunia dan akhirat.

Justeru bait-bait lagu Kasihnya Ibu Membawa Ke Syurga memang amat bertepatan sekali. Ia menggambarkan bagaimana besarnya kasih sayang seorang ibu terhadap anak-anak walaupun ada anak yang tidak dapat 'melihat' kasih ibu terhadap mereka.

Bagi segelintir manusia yang bergelar anak mungkin hanya menyedari kasih ibu setelah mereka sendiri menjadi seorang ibu. Di kala itu, terbayang di fikiran seperti sebuah lakon layar apa yang pernah dilakukan oleh ibu kepada mereka.

Sempena Hari Ibu kali ini, Mega berkongsi pengalaman beberapa fasa kehidupan sebagai seorang ibu bersama peragawati Jusmiera Jamaluddin, 35.

Bertemu dengan Jusmiera di kediamannya, baru-baru ini, beliau baharu sahaja genap dua bulan melahirkan bayi kembar lelaki yang merupakan anak ke empat dan ke limanya. Bayi kembar itu merupakan hasil perkahwinan kedua bersama suaminya, Dr. Mohamed Faizal Anwar, seorang pakar bedah plastik di sebuah hospital swasta di ibu negara.

Tareeq Zaffar dan Tareeq Zayyad, dua bulan, dilahirkan melalui pembedahan caesarean semasa kandungan Jusmiera berusia lapan bulan.

"Doktor memberitahu saya terpaksa bersalin awal, iaitu semasa kandungan berusia lapan bulan kerana kedudukan uri di bawah dan berlaku pendarahan sejak awal kehamilan lagi. Kedua-dua bayi juga besar dan saya dinasihatkan supaya bersalin melalui pembedahan.

"Lucu juga apabila bersalin melalui pembedahan ini kerana kita boleh memilih tarikh yang dikehendaki. Selain itu keadaan fizikal kita tidak dalam kesakitan.

"Malah pada hari yang sama, saya telah menelefon Kak Sherry (pendandan rambut yang juga kenalan lama) supaya datang ke rumah untuk mendandan rambut saya.

"Di hospital, saya dan suami teruja sangat hendak melihat anak kembar kami. Suami turut masuk ke dalam bilik bersalin untuk merakamkan video proses pembedahan tersebut. Saya turut dapat melihat bayi-bayi saya dikeluarkan daripada rahim kerana diberikan bius separuh.

"Tareeq Zaffar lahir dahulu dan seminit kemudian Tareeq Zayyad pula menyusul. Syukur tidak terkata kerana kedua-duanya sihat. Tareeq Zaffar seberat tiga kilo setengah manakala Tareeq Zayyad dua kilo setengah,'' ujar Jusmiera yang merasai pengalaman melahirkan anak semula setelah anak keduanya berumur 13 tahun.

Menurut Jusmiera, pengalaman pertamanya melahirkan anak adalah semasa berumur 21 tahun, iaitu usia yang masih muda.

Kelahiran secara normal anak sulungnya, Natasha Amiera, kini 14 tahun diikuti dengan Neesya Irdina Sofea, dua tahun kemudian.

Katanya, memang banyak bezanya proses bersalin anak pertama, kedua dan sekarang. Bersalin secara normal menuntut banyak kesabaran kerana perlu menanggung kesakitan yang lama.

Mempunyai dua orang anak pada usia yang masih muda dan menjadi ibu tunggal semasa Natasha berumur tiga tahun dan Sofea setahun, Jusmiera banyak dibantu oleh ibunya untuk membesarkan kedua-dua anaknya itu.

Kini Natasha dan Sofea meningkat remaja dan Jusmiera dianugerahkan cahaya mata lagi malah anak kembar lelaki pula. Oleh kerana seronok mendapat bayi semula setelah anak-anak membesar, Jusmiera seperti 'tamak' kerana hendak menjaga sendiri kedua-duanya.

"Saya hendak menjaga sendiri anak-anak dan tidak mahu serahkan kepada pembantu atau emak yang menjaga saya sepenuhnya semasa berpantang. Bagaimanapun kerana tidak cukup rehat maka saya terpaksa menyerahkan seorang untuk dijaga emak pada waktu malam.

"Esok malamnya, saya ambil bayi yang emak jaga dan minta mak jaga bayi yang seorang lagi. Jadi saya dapat menjaga bayi-bayi saya secara bergilir-gilir dan memberikan sepenuh perhatian kepada mereka.

"Walaupun bersalin secara pembedahan dan bagi sesetengah wanita, tidak perlu terlalu mengikut tempoh berpantang, namun saya tetap mahu berpantang apatah lagi suami banyak menggalakkan.

"Walaupun suami seorang doktor, dia memberikan sepenuh sokongan untuk saya berpantang. Dia percaya kepada proses berpantang secara tradisional kerana mahu saya dan anak-anak turut sihat.

"Daripada segi pemakanan, saya amalkan makan sup ayam kampung, ikan panggang, daging tanpa lemak yang digoreng dengan lada hitam, hati goreng lada hitam dan minum air halia. Ais langsung tak ambil. Urutan pula selama 40 hari. Setiap hari saya mandi air yang dicampur daun-daun herba bagi menyegarkan badan,'' jelas Jusmiera yang berazam untuk mengurangkan berat badannya sehingga 55 kilogram daripada 70 kilogram sekarang.

Ambil anak angkat

Jusmiera yang aktif dalam bidang peragawati dan pernah menjadi pengacara untuk beberapa rancangan televisyen seperti 3 hari 2 malam, Herba Secret, Kediaman Idaman, Bergaya dan Pesona menambah, walaupun telah mempunyai cahaya mata sendiri, namun beliau telah mengambil seorang anak angkat lelaki yang kini telah berusia dua tahun dan dinamakan Abbas Ryan.

Kata Jusmiera, beliau tidak pernah terfikir untuk mengambil anak angkat kerana telah mempunyai anak sendiri.

Namun apabila adiknya bertanya jika beliau hendakkan seorang bayi untuk dijadikan anak angkat, beliau tidak mampu menolak apalagi setelah mengendong bayi tersebut.

Menurutnya, naluri seorang ibu deras mengalir dalam jiwanya dan terpaut kasih sayang antaranya dengan Abbas. Beliau lantas bersetuju untuk mengambil Abbas sebagai anak angkat dan kanak-kanak itu memang bertuah kerana mendapat sepenuh kasih sayang daripada Jusmiera, suami, anak-anak dan ahli keluarga yang lain.

"Saya banyak praktis menjaga bayi daripada Abbas kerana saya mengambilnya semasa dia berumur tujuh hari. Dia mudah dijaga dan tidak banyak memberikan masalah,'' jelas Jusmiera.

No comments:

Post a Comment

Tinggalkan Komen Anda Sini: