KAMPUS Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM) Jalan Istana, Bandar Indera Mahkota Kuantan, Pahang yang keluasan kira-kira 333 hektar pasti menjanjikan satu keindahan yang menakjubkan setiap mata yang memandang.
Dipenuhi dengan bangunan-bangunan yang menempatkan enam fakulti pelbagai pengajian perubatan dengan masing-masing mempunyai rekaan dan seni bina unik, moden dan kontemporari.
Kampus ini bagai permata besar yang menyinar, di sebalik landskap hutan hijau yang masih tebal menyelimuti seluruh kawasannya.
Namunm sebaik sahaja menjengah masuk ke kampus itu, pandangan pasti tertumpu kepada sebuah binaan indah bagai terapung-apung di atas permukaan tasik yang tenang.
Malah, ia umpama sebuah bahtera yang sedang berlabuh. Itulah gambaran kedudukan Masjid Sultan Haji Ahmad Shah UIAM, yang merupakan masjid kampus - satu mercu tanda baru bandar ilmu UIAM kampus Kuantan.
Masjid yang waktu siangnya gemilang disimbah panahan matahari dan malam pula disinari neon yang indah bak sebutir mutiara putih tersergam menggamit para jemaah jauh dan dekat untuk datang beribadat dan beriktikaf.
Sebagaimana Masjid Sultan Haji Ahmad Shah kampus utama, di Gombak Kuala Lumpur, Masjid Sultan Haji Ahmad Shah di kampus Kuantan mengambil sempena nama Sultan Pahang, Sultan Haji Ahmad Shah ibni Sultan Abu Bakar yang merupakan Ketua Perlembagaan UIAM sejak 1983.
Menurut Pengerusi Jawatankuasa Masjid Sultan Haji Ahmad Shah, Mohamad Azmi Ismail, masjid yang dibina dengan kos RM15 juta itu bakal menjadi tumpuan orang ramai, bukan sahaja warga UIAM Kuantan sahaja malah seluruh warga bandar Kuantan itu sendiri.
“Sebaik perasmiannya, pelbagai aktiviti akan dijalankan di masjid ini yang tidak sahaja membolehkan umat Islam melaksanakan ibadat solat tetapi turut memanfaatkan pihak lain.
“Ini termasuklah empat buah bilik kuliah dimana satu daripadanya dicadangkan untuk dijadikan klinik kesihatan secara runding cara dan pemeriksaan awal kepada orang ramai. Terutamanya dalam menangani gejala ketagihan merokok dan lain-lain masalah kesihatan.
“Apabila ia dibuka, faedahnya bukan sahaja kepada umat Islam malah yang bukan Islam juga boleh mendapatkan khidmat daripada klinik tersebut.
“Ini membolehkan masjid dan seluruh kampus UIAM Kuantan dapat memberi gambaran akan keindahan dan kesempurnaan Islam kepada semua golongan terutama yang bukan Islam itu tadi," kata Mohamad Azmi.
UIAM Kuantan juga terkenal sebagai Kampus Perubatan.
Masjid yang dapat memuatkan 5,000 jemaah, iaitu 4,000 lelaki dan 1,000 wanita itu telah mula digunakan sejak Disember tahun lalu.
Sebelum ini, warganya terpaksa menggunakan kemudahan bilik di Kulliyah Perubatan untuk dijadikan surau yang mendapat kebenaran mendirikan solat sunat Jumaat.
Mengambil masa empat tahun untuk disiapkan, ia bakal menjadi sebuah masjid yang ‘sibuk’ terutama apabila siapnya hospital atau Pusat Perubatan UIAM yang lokasinya terletak berdekatan dengan tapak masjid itu.
“Kerja-kerja pembinaan hospital sedang berjalan lancar dan dijangka siap pada akhir 2014. Apabila dibuka sepenuhnya, tentu sahaja masjid ini akan menjadi lokasi penting umat Islam singgah beribadat dan merehatkan diri," katanya yang juga merupakan Pengarah (Pentadbiran) UIAM Kuantan.
Seperkara yang menarik mengenai masjid itu berbanding masjid lain ialah kewujudan pasukan yang dinamakan Pembantu Masjid yang terdiri daripada 50 pelajar UIAM Kuantan, iaitu 30 lelaki dan 20 perempuan yang berkhidmat secara sukarela.
“Ini kerana kita hanya mempunyai dua orang kakitangan tetap di masjid ini, iaitu seorang Pegawai Masjid (Imam) dan seorang Pembantu Pegawai Masjid (Bilal). Jadi pasukan Pembantu Masjid inilah yang banyak membantu pihak masjid mengendalikan dan mengimarahkan masjid ini.
“Walaupun, ramai di kalangan para pelajar di sini terdiri daripada pelbagai bidang pengajian tetapi mereka juga adalah bekas pelajar Darul Quran dan pelajar antarabangsa. Mereka ini masing-masing bergilir melaksanakan tanggungjawab sebagai imam, bilal, pengkhutbah dan tugasan lain di masjid ini.
“Secara tidak langsung, menjadikan masjid ini benar-benar dimiliki oleh para pelajarnya yang banyak membantu mengendalikan segala operasi dan aktiviti," tambah Mohamad Azmi.
Bercakap mengenai seni binanya pula, ia akan mengimbau kita kepada Masjid Kubah Batu atau Dome Of The Rock yang terletak di Masjid Al-Aqsa, Haram el Sharif, Baitulmaqdis, Palestin.
Terutamanya pada struktur kubah masjid itu yang berkilauan keemasan, mengambil inspirasi dari Masjid Kubah Batu. Ini, sekali gus mengingatkan umat Islam untuk berjihad bebas daripada cengkaman Zionis Israel.
Begitupun, dari aspek dalaman masjid, ia mengambil elemen terbuka, bagi membolehkan lebih banyak aliran udara segar menguasai sistem udara di masjid itu.
Seni hiasan masjid itu tentunya berjaya menjanjikan seribu satu ketenangan dalam diri ketika berada di dalamnya.
Hamparan permaidani tebal rona coklat terang yang dipadukan dengan pemilihan sapuan cat putih untuk keseluruhan luar dan dalam masjid, benar-benar membangkitkan keindahan.
Satu lagi keunikannya ialah terdapat sebuah skrin LCD digital bersaiz gergasi di sebelah kiri bahagian mihrab masjid - teknologi yang memberikan kemudahan kepada para jemaah bagi mendapatkan siaran dan gambaran lebih jelas dan dekat.
Hari ini pastinya cukup bermakna khasnya kepada warga kampus UIAM Kuantan kerana masjid yang menjadi mercu tanda kampus itu selamat dirasmikan oleh Sultan Pahang.
Mulai saat ini juga, Masjid Sultan Haji Ahmad Shah adalah milik seluruh umat Islam yang mesti dimanfaatkan sepenuhnya oleh mereka.
No comments:
Post a Comment
Tinggalkan Komen Anda Sini: