Monday, May 7, 2012

Legasi perusahaan mentua

Beh Wong King menyelia kerja-kera menjemur ikan bilis di Pulau Pangkor.

Jika ramai mengatakan bandar Tawau di Sabah sinonim dengan ikan bilis kerana kepelbagaian saiz dan jenisnya, di Semenanjung Malaysia, pulau Pangkor juga tidak kurang hebatnya. Malah ada yang menganggap ikan bilis di pulau itu terbaik di Asia Tenggara.

Sejauh mana kebenarannya tidaklah dapat dibuktikan. Tetapi apabila berkongsi pengalaman seorang tauke ikan bilis di pulau tersebut baru-baru ini, dia ada sebab untuk berkata demikian.

Tauke ikan bilis yang dimaksudkan itu merupakan sebahagian kecil daripada penduduk Pulau Pangkor, Perak yang menikmati limpahan ekonomi hasil daripada kekayaan perairan pulau berkenaan.

Meskipun sekadar menyambung tradisi perniagaan keluarga yang diusahakan sejak lebih lima dekad lepas, Beh Wong King , 47, tetap bersyukur kerana projek ikan bilis kering itu kini telah mencapai satu tahap yang boleh dibanggakan.

Malah, dia bukan sahaja dikenali sebagai pembekal ikan bilis terbesar di pulau berkenaan tetapi juga pengeluar ikan bilis kering terbaik di Asia Tenggara.

"Ini warisan perusahaan ibu dan bapa mentua saya yang datang dari China. Mereka memulakan perniagaan ini dengan tangan kosong," katanya pada satu pertemuan di Pulau Pangkor baru- baru ini.

Perniagaan ikan bilis itu dimulakan pada 1950-an, di tapak asal sekarang di pekan Pangkor.

Ketika itu bapa mertuanya bekerja sebagai buruh kasar dan hasil daripada itu, mereka menyimpan wang dan jimat berbelanja.

Daripada berjimat-cermat itu mereka mampu membeli bot kecil dan menangkap ikan bilis secara kecil-kecilan serta menghasilkan sendiri produk kering berasaskan ikan berkenaan.

Usaha tanpa jemu dan dalam serba kekurangan, mereka berjaya membangunkan perusahaan keluarga secara perlahan-lahan

Bak kata pepatah, langit tidak selalunya cerah, kejayaan singkat dan paling manis yang dikecapi hanya sementara.

Perusahaan tersebut tanpa disangka-sangka menghadapi masalah dan gagal dimajukan sehingga hampir bankrap. Antara masalahnya ialah susahnya mendapat bekalan mentah.

Namun menurut Wong King, hasil kesabaran dan ketekunan, ia bukan sahaja dapat dipulihkan malah semakin maju.

Dia dan suaminya berkahwin pada 1987. Mereka mengambil alih perniagaan tersebut daripada mertuanya pada 2001.

Dengan 60 pekerja iaitu masing-masing 20 orang bertugas di setiap bot, 10 orang lagi untuk kerja-kerja mengurus ikan bilis di darat dan 10 lagi untuk menggredkan produk, perusahan mereka mampu menghasilkan minimum 10 tan ikan bilis kering sebulan.

Ikan bilis berkenaan sangat istimewa kerana ia rangup, tanpa pengawet dan tidak terlalu masin.

Dengan kualiti yang baik, ikan bilis tahan disimpan selama sebulan dalam peti sejuk. Harganya bergantung kepada saiz iaitu lebih besar lebih murah dan begitulah sebaliknya.

"Ikan bilis paling mahal ialah jenis mata biru," ujarnya sambil memberitahu bahawa harga ikan bilis kering adalah antara RM12 sekilogram dengan RM70 sekilogram.

No comments:

Post a Comment

Tinggalkan Komen Anda Sini: